Thursday, January 29, 2015

DCA HARI INI ISYTIHAR KEHILANGAN #MH370 SEBAGAI SATU 'KEMALANGAN'

KHAMIS, 29 JANUARI 2015
WALAUPUN ianya amat sukar diterima oleh kaum keluarga mangsa kehilangan misteri pesawat #MH370, mahu tak mahu terpaksa terima kenyataan apabila  Malaysia hari ini secara rasminya mengisytiharkan kehilangan Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 sebagai satu kemalangan, kira-kira 11 bulan selepas pesawat itu hilang pada 8 Mac 2014. Pengumuman itu dibuat oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) menurut Konvensyen Chicago Pertubuhan Penerbangan Sivil Antarabangsa (ICAO) yang membolehkan anggota keluarga 239 penumpang untuk mengemukakan tuntutan ganti rugi. Selepas 327 hari (dari 28 Januari 2015) dan berdasarkan semua data yang ada serta keadaan disebut sebelum ini, kemungkinan untuk terus hidup di kawasan disebut adalah sangat mustahil, kata Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman dalam satu kenyataan di sini, sambil merujuk kepada selatan Laut India. Perisytiharan itu dibuat oleh Azharuddin dalam satu pengumuman khas yang disiarkan menerusi TV1 dan TV3 kira-kira jam 6 petang tadi. Beliau berkata, perisytiharan itu membolehkan keluarga mangsa MH370 mendapatkan bantuan yang mereka perlukan terutamanya dalam proses pampasan. 

Beliau bagaimanapun berkata Malaysia memberi jaminan pencarian pesawat MH370 tetap diteruskan dan kekal sebagai keutamaan. Carian dasar laut untuk pesawat MH370 adalah berterusan, melibatkan empat kapal. Malaysia amat terhutang budi kepada semua negara dan individu atas bantuan dan sokongan yang diterima untuk MH370, katanya. Diimbas kembali pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang serta 12 anak kapal, berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi, 8 Mac 2014, namun ianya hilang daripada radar sejam selepas itu ketika dalam penerbangan ke Beijing. 

Dan, pada 24 Mac 2014, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dengan rasa sedih dan terharu mengumumkan pesawat berkenaan hilang di kawasan selatan Lautan Hindi di barat Perth, Australia. Terdahulu, sidang media berhubung perkembangan terkini insiden pesawat berkenaan yang dijadualkan pada jam 3.30 petang tadi dibatalkan atas sebab teknikal. Kata perpatah, setiap yang mati ada kubornya, dan setiap yang hilang akan dapat dikesan akhirnya, cuma lambat atau cepat. Tapi, misteri kehilangan #MH370 ini amat luar biasa. Sukar untuk digambarkan. Hanya tuhan sahaja yang tahu. Mungkinkah 'esok masih ada buat MH370' ? Wallah wa'alam. Wassalam ~ IBM
Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...