
SIAPA sangka, dalam kesibukan menjaga negara, kehulu-kehilir dan bermacam-macam perjumpaan yang harus beliau buat, namun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat juga meluangkan masa melawat Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) kelmarin. Kunjungan DS Najib memberi makna yang cukup besar kepada keluarga bekas Menteri Besar itu. Itu yang diungkap oleh anak Nik Aziz yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh. Katanya dengan begitu terharu, walaupun lawatan daripada pemimpin tertinggi negara itu bagi melihat sendiri perkembangan kesihatan bapanya itu hanya sekejap, namun amat berharga buat mereka sekeluarga. Terima kasih atas ziarah Perdana Menteri kepada ayah (Nik Abdul Aziz). Walaupun sekejap dan ayahanda keletihan, ini bermakna buat kami sekeluarga. Terima kasih rakyat Malaysia, katanya melalui laman Facebook beliau malam tadi, Ahad.
Pada Khamis yang lepas, Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira 15 minit bagi melihat sendiri perkembangan kesihatan bekas Menteri Besar itu yang dirawat di hospital berkenaan sejak 20 Januari lalu. Beliau yang tiba kira-kira pukul 2.15 petang itu. Kunjungan DS Najib itu diiringi oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Makhtar Mustapha. Apabila ditanya oleh pemberita akan kesihatan bapa beliau, Nik Mohamad Abduh berkata, keadaan kesihatan bapanya kini bertambah baik dan beliau mungkin dibenarkan keluar dari wad Hospital HUSM dalam tempoh terdekat. Kata Nik Mohamad Abduh, selain berselera makan, bapanya juga sudah mampu berdiri sendiri selama kira-kira setengah jam ketika menjalani rawatan di Gimnasium Pemulihan Neurosains HUSM.
