Wednesday, February 16, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

16 FEBRUARI



Rasanya tak cukup bercuti semalam. Alahai, satu hari saja....apapun semalam telah berlalu. Mari kita mengimbau apa yang berlaku pada hari ini :

PERKHIDMATAN POS LAJU ANTARA MALAYSIA - SINGAPURA MULA DIPERKENALKAN
PERKHIDMATAN POS LAJU ANTARA MALAYSIA - SINGAPURA MULA DIPERKENALKAN
Tarikh Peristiwa : 16-02-1982

Pada hari ini dalam tahun 1982, Jabatan Perkhidmatan Pos Malaysia memperkenalkan Perkhidmatan Pos Laju buat kali pertamanya dengan Singapura. Perkhidmatan Pos Laju ini adalah satu perkhidmatan yang pantas khusus bagi golongan perniagaan. Pada peringkat permulaan perkhidmatan ini akan hanya diperkenalkan bagi hantaran dari Bandaraya Kuala Lumpur dengan Singapura kecuali pulau-pulau yang berhampiran dan sebaliknya. Walaupun sasaran ialah golongan perniagaan yang memerlukan satu cara yang cepat menghantar dokumen perniagaan, data-data komputer dengan segera namun ianya juga dibuka kepada orang ramai. Perkhidmatan Pos Laju ini menawarkan dua jenis perkhidmatan iaitu Perkhidmatan Kontrak dan Perkhidmatan Atas Permintaan. Di bawah perkhidmatan kontrak, Pejabat Pos akan memungut benda-benda atau kiriman dari tempat pelanggan pada masa yang telah dipersetujui seperti setiap hari, setiap minggu atau pada tarikh yang dijadualkan. Penghantaran benda-benda itu akan mengikut penerbangan yang ditentukan. Pelanggan dikehendaki membayar terlebih dahulu setiap bulan dan layak mendapat rebat. Perkhidmatan Pos Laju atas permintaan pula ditujukan kepada firma-firma atau orang awam yang sering mengepos benda-benda tetapi diberi layanan yang serupa dengan perkhidmatan kontrak. Sesungguhnya Perkhidmatan Pos Laju yang dimulakan buat pertama kalinya pada hari ini dalam tahun 1982 antara Malaysia dengan Singapura bukan sahaja mempercepatkan perhubungan perdagangan kedua negara tetapi juga sebagai permulaan sebelum diperkenalkan ke negara-negara lain atau dalam Malaysia sendiri.
Kepada para penuntut Universiti ini, harus ambil tahu akan sejarah Universiti Utara Malaysia ini. Jom baca....


PENUBUHAN UNIVERSITI UTARA MALAYSIA

Tarikh Peristiwa Pada : 16.021984
Pada hari ini dalam tahun 1984, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah ditubuhkan di bawah Perintah (Perbadanan) Universiti Utara Malaysia. Universiti keenam ini ditubuhkan bagi memenuhi permintaan terhadap pendidikan tinggi dan menampung kekurangan tempat di lima Universiti tempatan yang sedia ada. Pada bulan Ogos 1983, kerajaan telah mengarahkan Kementerian Pendidikan supaya menjalankan kajian kemungkinan ke atas projek Universiti Keenam ini dan menyediakan satu kertas kerja. Pada 19 Oktober 1983, Kabinet telah meneliti dan meluluskan penubuhan Universiti ini. Seramai 295 orang penuntut telah memulakan pengajian bagi Fasa pertama pada 7 Julai 1984. Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah telah dilantik sebagai Canselor. Manakala Profesor Tan Sri Dato’ Awang Had Salleh telah dilantik sebagai Naib Canselor yang pertama. Kampus tetap UUM di Sintok yang berkeluasan seluas 1,061 hektar telah memulakan operasi pada 15 September 1990. Sesungguhnya, selepas 50 tahun kemerdekaan negara bidang pendidikan terus diberi keutamaan oleh kerajaan bagi memastikan aspek pembagunan insan tidak ketinggalan.

Selamat Membaca semua - IBM

Sumber : Arkib Negara.
Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...