Sunday, February 27, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

27 FEBRUARI

Malaysian Chinese Association

ASSALAMUALIKUM SEMUA

Mari kita baca apa yang berlaku pula pada hari ini.....

PENUBUHAN PERSATUAN CINA MALAYA (MCA
Tarikh Peristiwa : 27-02-1949
Pada hari ini dalam tahun 1949, Persatuan Cina Malaya (MCA) telah ditubuhkan. Penubuhannya adalah hasil daripada perjumpaan seramai 300 orang perwakilan cina dari seluruh Persekutuan Tanah Melayu kecuali negeri Kelantan. Ianya telah diadakan di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur. Tan Cheng Lock telah dipilih sebagai Presiden. Pada perhimpunan tersebut juga, telah melihatkan pemilihan seramai 100 orang ahli jawatankuasa Pusat dan wakil-wakli negeri dan Kuala Lumpur sebagai Ibu Pejabat MCA. Antara tujuan penubuhannya ialah sebagai sebuah badan perwakilan orang-orang cina dan merapatkan hubungan di antara masyarakat cina dengan masyarakat lain di Tanah Melayu serta menentang Komunis. Pada peringkat awal penubuhannya, MCA lebih menjurus sebagai Pertubuhan Kebajikan, namun pada tahun 1952 ia telah menjadi sebuah parti politik dengan menyertai Perikatan UMNO-MCA bagi tujuan memenangi Pilihanraya Perbandaran Kuala Lumpur. Berikutan daripada permuafakatan ini, ianya telah membawa kepada kerjasama dalam perjuangan untuk memperolehi kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.


JUGA PADA HARI YANG SAMA.....


PERLETAKAN BATU ASAS MASJID NEGARA

Tarikh Peristiwa : 27-02-1963

Pada hari ini dalam tahun 1963, D.Y.M.M Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail telah menyempurnakan perletakan batu asas kepada pembinaan Masjid Negara di Kuala Lumpur. Pembinaan Masjid yang bernilai $10 juta ini adalah bertitik tolak daripada keputusan Majlis Kerja Persekutuan yang ingin mendirikan sebuah masjid sebagai tanda penghargaan kepada Perdana Menteri ketika itu, iaitu Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj terhadap jasa-jasanya kepada rakyat. Majlis Raja-raja telah memperkenankan projek tersebut selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Pembinaan masjid ini memakan masa selama 3 tahun dan telah dibuka dengan rasminya pada tanggal 27 Ogos 1965 oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail. Reka bentuk dan penyeliaan bangunan ini telah dilakukan oleh para arkitek Bahagian Reka Bentuk dan Penyelidikan, Jabatan Kerja Raya Persekutuan di bawah arkitek utamanya iaitu Baharuddin Abu Kassim. Antara kemudahan-kemudahan yang disedikan di masjid ini ialah dewan sembahyang seluas 22 500 kaki persegi, dewan persidangan, perpustakaan, bilik diraja dan sebuah bilik imam.

SELAMAT MEMBACA - IBM

[Sumber : Arkib Negara]

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...