Friday, February 25, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

25 FEBRUARI



ASSALAMUALIKUM.

Sesiapa yang pergi ke Negeri Kedah, kalau tidak singgah di Pekan Rabu yang terletak di bandar Alor Setar, saya harus memang tak lengkap sekirannya tuan/puan bercuti-cuti Malaysia. Banyak yang boleh kita dapati di Pekan Rabu tersebut. Mari kita baca sejarah bermulanya Pekan Rabu ini.......

PERASMIAN KOMPLEKS PERNIAGAAN PEKAN RABU, KEDAH.

Tarikh Peristiwa : 25-02-1978

Pada hari ini dalam tahun 1978, Kompleks Perniagaan Pekan Rabu telah dirasmikan oleh Y.A.B. Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamed, Timbalan Perdana Menteri. Bangunan yang menempatkan kompleks perniagaan ini dibina khas bagi memudahkan para peniaga Bumiputera khususnya Orang Melayu menjalankan perniagaan mereka. Bangunan ini telah dapat direalisasikan pembinaannya dengan bantuan sebanyak $3.2 juta daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA). Sejarah Pekan Rabu bermula daripada sebuah pasar minggu yang diadakan pada setiap hari Rabu di Tanjung Chali, Alor Setar. Ianya telah diasaskan oleh YTM Tunku Yaakob Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah pada tahun 1920. Pada tahun 1932, Pekan Rabu telah berpindah ke lokasinya kini iaitu di Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar, Kedah. Bangunan Pekan Rabu yang terdapat kini terdiri daripada 2 fasa di mana Fasa Pertama adalah terdiri daripada 3 tingkat bangunan perniagaan yang mengandungi 274 buah kedai, manakala Fasa Kedua adalah terdiri daripada 3 tingkat bangunan yang mengandungi 73 buah kedai. Sesungguhnya, penubuhan Pekan Rabu telah berjaya menyatupadukan peniaga-peniaga Melayu di bawah satu bumbung serta melahirkan lebih ramai pemborong dan peniaga Melayu serta mengetengahkan barangan keluaran kampung ke dalam pasaran terbuka

DAN PADA HARI YANG SAMA......


YTM TUNKU ABDUL RAHMAN MERASMIKAN BANGUNAN SYED KECHIK FOUNDATION
Tarikh Peristiwa : 25.02.1980

Pada hari ini 25.2.1980, bekas Perdana Menteri Malaysia YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah merasmikan Bangunan Syed Kechik Foundation yang menelan belanja 12 juta ringgit yang terletak di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur. Dalam ucapan perasmiannya, YTM Tunku telah memuji usaha gigih Datuk Syed Kechik sehingga berjaya dalam bidang perniagaannya. Semangat kegigihan inilah yang perlu diteladani oleh orang-orang Melayu untuk meningkat maju dalam bidang perniagaan. YTM Tunku juga menyeru usahawan bumiputra supaya mengikis sikap berniaga secara 'Ali Baba', sebaliknya hendaklah berusaha sendiri dengan semangat yang kuat dan keazaman yang teguh. Beliau juga menyatakan bahawa dengan terbinanya bangunan yayasan yang indah itu, ianya menjadi lambang kebanggaan kejayaan bumiputera dalam bidang perniagaan. Datuk Syed Kechik pula semasa ucapannya telah menyeru masyarakat Melayu supaya bersikap radikal dan praktikal serta sanggup bekerja keras dalam usaha untuk meningggikan taraf ekonomi bangsa. Dengan pemikiran yang positif ke arah kemajuan maka dapatlah golongan bumiputera menggunakan peluang-peluang yang disediakan oleh kerajaan untuk kemajuan masyarakat. Beliau juga menyatakan tujuan utama pembinaan bangunan Syed Kechik Foundation ini dalam bulan September 1973 dulu ialah untuk menguruskan berbagai jurusan dalam bidang pelajaran, sains dan mengamalkan kerja-kerja kebajikan untuk faedah orang ramai. Kini dengan siap terbinanya bangunan tersebut mencatatkan satu lagi kejayaan bumiputera dalam bidang ini dan juga melambangkan kegigihan usahawan bumiputera menyahut seruan kerajaan.


SELAMAT MEMBACA SEMUA PARA PEMBACA YANG BUDIMAN - IBM

[SUMBER : ARKIB NEGARA]

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...