RENCANA KHAS
WALAUPUN sudah menjangkau usia 81 tahun pada Sabtu (hari ini), Tentera Darat (TD) sentiasa mewujudkan dasar dan perancangan strategik dalam pengoperasian bagi memastikan negara bebas daripada sebarang ancaman dan pencerobohan luar. Bertepatan dengan tema sambutannya iaitu 'Tentera Darat Teguh Siaga, ATM Gah, ATM Perkasa', TD salah satu cabang utama dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melengkapkan usaha itu dengan mengamalkan triologi 3M iaitu Manusia, Mesin dan Method (kaedah). Panglimanya, Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, TD sentiasa memberi penekanan kepada memperlengkapkan manusia (anggota) dengan meningkatkan kualiti sumber manusia yang meliputi pengetahuan, kemahiran, sikap dan kompetensi.

Selain itu, Raja Mohamed Affandi berkata pelan-pelan yang bersesuaian diwujudkan dan diperkasakan bagi memastikan TD sentiasa releven dengan keadaan semasa dan masa hadapan. "Kombinasi ketiga-tiga elemen tersebut ditambah dengan tahap kesiagaan yang tinggi membolehkan TD mengunjurkan kuasa pada masa, tempat dan tujuan yang betul. "Malah, ia sejajar dengan peranan TD dalam memastikan visi pasukan tercapai bagi menjamin kelangsungan transformasi ATM," katanya. Beliau berkata demikian pada wawancara khas sempena sambutan ulangtahun ke-81 Tentera Darat di Wisma Pertahanan di sini baru-baru ini. Jelas beliau, peranan TD sebagai sebahagian daripada ATM bukan kecil, malah ketumbukan ini merupakan nadi utama kepada ATM. Katanya, pelbagai episod mencabar yang dilalui antaranya perang dunia kedua, konfrontasi dan merasai bahang peperangan Vietnam serta kejatuhan Kemboja.

Ketika ditanya mengenai perancangan untuk menguatkan mobiliti pasukan TD dengan pembelian peralatan baharu, beliau berkata buat masa ini ia bukan menjadi keutamaan kerana perlu mengambil kira kekangan dan kemampuan pasukan itu. "Maka, saya hanya meletakkan tumpuan terhadap usaha memastikanperalatan sedia ada berada dalam keadaan baik supaya tahap kesiapsiagaan kitakukuh," katanya. Jelas beliau, salah satu aset TD adalah anggota tentera itu sendiri yang perlu dilatih berpegang pada prinsip 'kita perlu bersatu'. "Prinsip itu adalah sesuatu yang perlu ada dalam diri setiap anggota TD. Selepas itu, perancangan kita adalah memperoleh peralatan canggih," katanya.
Mengenai sambutan ulang tahun pasukan itu, Raja Mohamed Affandi berkata ia diadakan di Port Dickson yang juga dikenali sebagai bandar tentera bermula Sabtu. “Pada hari ini (Sabtu), satu perbarisan dan bacaan perutusan akan diadakan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) Port Dickson. "Orang ramai boleh datang ke Pantai Saujana Batu 4, Port Dickson, pada Ahad untuk menyaksikan demonstrasi keupayaan TD dan perbarisan memperingati setahun kejadian pencerobohan di Lahad Datu," katanya.
P/S ~ Terlalu besar pengorbanan tentera kita. Tak terkira jasa-jasa mereka. Dikala kita bersuka-ria, bercuti, merekalah yang menjaga keamanan negara tak kira di sempadan negara atau di dalam negara. Jasa mu juga dikenang kerana mengharumkan negara ketika menjalankan tugas bersama-sama pengaman antara bangsa di luar negara .Apapun selamat hari jadi ke 81 tahun kepada Tentera Darat. Hidup Pahlawan ku. Wasallam ~ IBM
"TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA