Showing posts with label Info sejarah. Show all posts
Showing posts with label Info sejarah. Show all posts

Thursday, September 1, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

[DARI MEJA IBM] :
Assalam Mualaikum w.b.t Salam AidilFitri Salam Ukhwah dan Salam Sejahtera kepada semua
01 SEPTEMBER

~ HARI INI DALAM SEJARAH ~

BAHASA MELAYU DIISYTIHARKAN SEBAGAI BAHASA RASMI NEGARA

TARIKH PERISTIWA : 01.09.1967

Pada hari ini dalam tahun 1967 DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Negara yang tunggal bagi Persekutuan Malaysia. Perisytiharan ini adalah ekoran daripada tindakan Parlimen yang telah meluluskan Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan dalam sidangnya yang berlangsung pada bulan Mac 1967. Dalam warkah perisytiharan melalui Titah Diraja yang disiarkan melalui radio dan televisyen, baginda mensifatkan pendaulatan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi yang tunggal merupakan permulaam suatu zaman baru dalam sejarah kemerdekaan negara ini. Baginda telah menyeru seluruh rakyat supaya mengguna dan memajukan bahasa Melayu dengan bersungguh-sungguh sebagai bahasa rasmi negara ini. Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia pula dalam satu kenyataannya telah menegaskan bahawa pendaulatan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi menjadikan kemerdekaan Malaysia lengkap apabila penggunaannya sudah dapat diterima sepenuhnya oleh rakyat. Kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tercatat dengan jelas sebagai Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan telah dimuatkan dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan sebagai bahasa rasmi dan pengantar yang tunggal di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi melalui Penyata Razak 1956 dan disokong kuat oleh Penyata Rahman Talib 1960. Usaha-usaha untuk mendaulatkan dan memperluaskan penggunaan Bahasa Kebangsaan ini telah dijalankan dengan lebih giat dan serius melalui minggu dan bulan Bahasa Kebangsaan perjuangan politik bahasa, serta menambahkan buku-buku ilmu pengetahuan dalam Bahasa Melayu. Usaha-usaba mendaulatkan Bahasa Kebangsaan ini telah menghadapi berbagai kesulitan yang lahir dari soal-soal politik bahasa itu, soal sikap dan penerimaan rakyat terhadap masalah bahasa itu sendiri dan juga sikap tidak tegas pegawai-pegawai, guru-guru dan kakitangan-kakitangan kerajaan dalam menggunakan bahasa itu. Bagaimanapun hasil dari sikap dan pendirian tegas Kerajaan dalam soal ini, pada hari ini dalam tahun 1967 DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah mengisytiharkan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi yang tunggal bagi Persekutuan Malaysia. Berikutan dari pengisytiharan baginda itu,pada hari yang sama, Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan surat Pekeliling Am No. 12 Tahun 1967 yang mengarahkan bahawa daripada tarikh itu, Bahasa Kebangsaan iaitu bahasa Melayu sahaja hendaklah digunakan untuk maksud-maksud rasmi dalam pentadbiran sehari-hari yang dijalankan oleh kementerian-kementerian, Jabatan-Jabatan Kerajaan, Kerajaan-kerajaan Negeri, Kerajaan-kerajaan tempatan dan badan-badan berkanun di Negeri-Negeri Tanah Melayu kecuali di Parlimen, Dewan-Dewan Negeri dan Mahkamah di mana bahasa Inggeris boleh digunakan setakat masa yang telah diperuntukan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Jikalau Bahasa Kebangsaan tidak dapat digunakan sepenuhnya Surat Pekeliling itu membolehkan penggunaan bahasa Inggeris mengikut yang diperuntukkan dalam Sek. 4 Akta tersebut.

~ SELAMAT MEMBACA KEPADA SEMUA. IKHLAS DARI : IBM
[SUMBER : ARKIB NEGARA]

Monday, August 29, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

[DARI MEJA IBM] :
Assalam Mualaikum w.b.t Salam Ramadan Salam Ukhwah dan Salam Sejahtera kepada semua

29 OGOS

HARI INI DALAM SEJARAH ~ ~

SERI PADUKA BAGINDA YANG DI PERTUAN AGONG MENANDATANGANI PENGISYTIHARAN PENETAPAN HARI MALAYSIA

TARIKH PERISTIWA : 29.08.1963

Pada hari ini 29.8.1963, Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail, telah menandatangani pengisytiharan menetapkan Hari Malaysia iaitu pada hari Isnin bersamaan 16hb. September 1963. Penetapan tarikh hari Malaysia ini telah diputuskan oleh kerajaan Persekutuan disebabkan oleh beberapa perkara iaitu:-

  1. Setiausaha Agong Bangsa-bangsa Bersatu, U Thant telah menyatakan bahawa ia menduga akan menyelesaikan tugas-tugasnya di Borneo menjelang 4hb. September.
  2. Tarikh baru 16hb. September itu telah dipersetujui oleh kerajaan-kerajaan British, Singapore, Sabah dan Sarawak.
  3. Kerajaan Persekutuan tidak sekali-kali bertindak melanggar kata sepakat persetujuan Manila dengan penetapan tarikh baru itu.
  4. Peninjuan Bangsa-bangsa Bersatu di Borneo sekarang bukan menjadi syarat yang menentukan sama ada Malaysia akan wujud atau tidak. Kerajaan Persekutuan yakin rakyat Borneo mendukung Malaysia.

Kerajaan Indonesia dan Filipina telah diberitahu mengenai tarikh baru Hari Malaysia ini. Surat-surat pemberitahuan itu telah disampaikan melalui Duta Besar masing-masing di Kuala Lumpur. Kerajaan Persekutuan telahpun menyatakan pada kerajaan-kerajaan Filipina dan Indonesia tentang tujuannya untuk menubuhkan Malaysia pada 31hb.Ogos,1963 sebagai mana yang dipersetujui di London pada 9hb.Julai 1963. Kerajaan-kerajaan Filipina dan Indonesia telah mengumunkan di dalam Persetujuan Manila bahawa mereka akan menyambut baik penubuhan Malaysia itu dengan syarat sokongan rakyat di Wilayah Borneo ditentukan oleh satu badan yang bebas. Kerajaan Persekutuan sangat yakin bahawa sebahagian besar rakyat Sabah dan Sarawak mahu merdeka melalui Malaysia dan percaya bahawa hasil siasatan Bangsa-bangsa Bersatu akan memberikan pendapat yang sama. Oleh kerana faktor yang berkenaan telah diambil kira maka Hari Malaysia di tetapkan oleh kerajaan pada 16hb.September 1963.


~ SELAMAT MEMBACA KEPADA SEMUA DAN SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI DAN HARI KEMERDEKAAN YANG KE 54 TAHUN. IKHLAS DARI : IBM
[SUMBER : ARKIB NEGARA] ~

Sunday, August 28, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

[DARI MEJA IBM] :
Assalam Mualaikum w.b.t Salam Ramadan Salam Ukhwah dan salam Sejahtera kepada semua
28 OGOS

Barisan Kabinet Pertama Tanah Melayu 1957

HARI INI DALAM SEJARAH ~ ~

PENGUMUMAN JEMAAH KABINET YANG PERTAMA SELEPAS MERDEKA

TARIKH PERISTIWA : 28.08.1957

Pada hari ini dalam tahun 1957, Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dalam satu persidangan akhbar di Kuala Lumpur telah mengumumkan mengenai anggota jemaah yang akan menduduki Kabinet selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Ia melibatkan perubahan ke atas kesemua ahli-ahli kabinet yang sedia ada. Antara yang menganggotai Kabinet baru yang dicadangkan oleh Tunku ini ialah Dato' Abdul Razak bin Hussein (Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan); Kolenel Sir Henry Han Shik Lee (Menteri Kewangan); Encik Sulaiman b. Dato' Abdul Rahman (Menteri Dalam Negeri dan Keadilan); Encik Tan Siew Sin (Menteri Perniagaan dan Perusahaan); Encik V.T. Sambanthan (Menteri Kesihatan); Encik Mohamad Khir Johari (Menteri Pelajaran); Encik Ong Yoke Lin (Menteri Buruh dan Kebajikan Masyarakat); Encik Abdul Rahman b. Hj. Taib (Menteri Pengangkutan); Encik Bahaman Samsudin (Menteri Hasil-hasil Bumi); Encik Abdul Aziz Ishak (Menteri Pertanian); Encik Sardon Hj. Jubir (Menteri Kerja, Pos dan Talikom); dan Dr. Ismail b. Dato' Abdul Rahman. Menteri Mutlak (Tidak Berjawatan) dan Wakil ke Bangsa-bangsa Bersatu serta Duta ke Washington.


~ SELAMAT MEMBACA KEPADA SEMUA RAKAN-RAKAN YANG BUDIMAN. IKHLAS DARI SAYA : IBM
[SUMBER : ARKIB NEGARA] ~

Saturday, August 27, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

[DARI MEJA IBM] :
Assalam Mualaikum w.b.t Salam Ramadan Salam Ukhwah dan Salam Sejahtyera kepada semua
27 OGOS
Masjid Negara Dalam Tahun 1960

HARI INI DALAM SEJARAH :

PERASMIAN MASJID NEGARA

Tarikh Peristiwa : 27.08.1965

Pada hari ini dalam tahun 1965, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail telah berkenan merasmikan pembukaan Masjid Negara. Turut hadir di upacara ini adalah Raja-Raja Melayu, Perdana Menteri Malaysia, YTM Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan orang-orang kenamaan yang lain. Terletak di dalam kawasan seluas 13 ekar di Jalan Sultan Hishamuddin dan berhadapan dengan stesen keretapi Tanah Melayu, Kuala Lumpur. Masjid yang dibina dengan kos sebanyak $10 juta ringgit hasil sumbangan kerajaan persekutuan dan negeri ini telah direkabentuk oleh Encik Baharuddin bin Abu Kassim, Arkitek Jabatan Kerja Raya. Upacara perletakan batu asas masjid telah diadakan pada 27 Februari 1963 oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong. Dalam titah ucapan perasmian ini, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berharap segala kebajikan, kemajuan dan kemakmuran yang dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia akan terus berlipat ganda. Sesungguhnya, pembinaan masjid negara ini merupakan antara pengisian yang dapat dikecapi dalam sebuah
~ SELAMAT MEMBACA KEPADA SEMUA. MAAF LAMBAT BUAT POSTING KERANA MASALAH INTERNET. IKHLAS DARI : IBM ~
[SUMBER : ARKIB NEGARA]

Friday, August 26, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

[DARI MEJA IBM] :
Assalam Mualaikum w.b.t Salam Ramadan Salam Ukhwah dan Salam Sejahtera kepada semua

26 OGOS

~ HARI INI DALAM SEJARAH~

TUNKU ABD.RAHMAN DILANTIK PRESIDEN UMNO

TARIKH PERISTIWA : 26.08.1951

Pada hari ini 26.8.1951,UMNO telah melantik Yang Teramat Mulia Tunku Abd. Rahman sebagai Presiden Parti Umno yang ke 2 di Persidangan Agung ke 6 yang diadakan di Hotel Majestic Kuala Lumpur. Polisi Dato' Onn mengenai undang-undang kerakyatan dan membuka keahlian UMNO kepada kaum asing telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli-ahli UMNO yang telah menimbulkan penentangan terhadapnya. Dato'Onn yang tetap dengan pendiriannya telah dengan rela hati meletakkan jawatan sebagai Presiden parti yang telah dipegangnya selama kira-kira 5 tahun. Keadaan cemas telah timbul di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO untuk mencari ketua parti yang baru. Dalam suasana pergolakkan parti itu, Tunku Abdul Rahman Putra telah menawarkan dirinya untuk menjadi Yang DiPertua UMNO sambil menegaskan bahawa beliau sanggup meletakkan jawatannya sebagai Pendakwa Raya. Di perlantikan Presiden baru parti telah dibuat, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman telah ditentang oleh 2 orang tokoh lama yang terkenal di kalangan ahli-ahli UMNO iaitu En. C.M. Yusof dan Tuan Haji Ahmad Fuad. Akhirnya Tunku Abdul Rahman telah dipilih dengan mendapat 57 undi dari seramai 79 perwakilan UMNO yang hadir di persidangan itu. Di dalam ucapan yang pertama sebagai presiden parti Tunku telah berikrar akan bekerja untuk mencapai kemerdekaan Tanah Melayu untuk orang-orang Melayu. Beliau menegaskan Tanah Melayu telah diambil oleh Inggeris dari tangan orang Melayu maka hendaklah diserahkan kembali ke tangan orang Melayu. Dalam menjalankan tugas di peringkat awal Tunku menghadapi banyak masalah terutama ramai ahli UMNO yang keluar parti mengikut Dato' Onn yang menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya atau IMP, di antaranya termasuklah Setiausaha Agung UMNO sendiri. Kemudianya menjalankan tindakan yang tegas dengan memecat ahli UMNO yang menjadi ahli parti IMP. Hasil tindakan Tunku ini, UMNO terus maju dan bertambah kuat. Perjuangan UMNO di atas Slogan Hidup Melayu telah bertukar kepada Merdeka. Perubahan ini memperlihatkan UMNO memasuki satu era baru. Di atas inisiatif UMNO Parti Perikatan telah dibentuk yang mengandungi UMNO, MCA, MIC. Pada mulanya Parti Perikatan ini telah berjaya dalam Pilihanraya Perbandaran Kuala Lumpur, kejayaan ini membuka jalan bagi matlamat kemerdekaan Tanah Melayu. Maka tidak hairanlah Y.T.M. Tunku Abd. Rahman Putra telah diberi gelaran sebagai bapa kemerdekaan.

SELAMAT MEMBACA KEPADA SEMUA. IKHLAS DARI : IBM
[SUMBER : ARKIB NEGARA]

Thursday, August 25, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

[DARI MEJA IBM]
Assalam Mualaikum w.b.t salam Ramadan salam Ukhwah dan salam sejahtera kepada semua

25 OGOS

HARI INI DALAM SEJARAH ~~

GERAKAN MENENTANG KOMUNIS TERBESAR

TARIKH PERISTIWA : 25.08.1957

Pada hari ini 25.8.1957, 2000 orang penduduk Tanjung Malim telah mengadakan satu gerakan menentang komunis. Gerakan menentang komunis yang terbesar pernah diadakan di Tanah Melayu ini telah dimulakan sejak awal pagi 25 Ogos 1957. Dua ribu orang awam tersebut telah memasuki hutan belantara dan menyeru 5 orang pengganas komunis yang masih tinggal dalam kawasan hutan Tanjung Malim. Di udara kapal terbang yang mempunyai alat pembesar suara yang dapat didengar sehingga 4 batu jauh telah digunakan mengarah pengganas-pengganas komunis keluar menyerah diri. Gerakan menentang komunis ini diadakan selama 4 jam sejak jam 9.00 pagi dan hutan belantara yang dimasuki oleh 2000 orang awam itu seluas 30,000 ela persegi. Kebanyakan orang awam yang menyertai gerakan ini ialah anggota-anggota Jawatankuasa Rakyat Setia Tanjung Malim. Semasa orang awam meredah hutan ini mereka dilindungi oleh askar-askar dari Batalion ke-5 Askar Melayu serta 13 unit Pasukan Polis Persekutuan serta tentera udara. Sesungguhnya gerakan rakyat menentang komunis pada hari ini dalam tahun 1957 tersebut merupakan satu perpaduan dan kerjasama semua pihak untuk membantu kerajaan membanteras komunis.


SELAMAT MEMBACA KEPADA SEMUA RAKAN-RAKAN YANG BUDIMAN. IKHLAS DARI : IBM
[SUMBER : ARKIB NEGARA]

Wednesday, August 24, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

[DARI MEJA IBM] :
Assalamua'laikum w.b.t salam Ramadan salam Ukhwah dan salam sejahtera kepada semua

24 OGOS

HARI INI DALAM SEJARAH >>>

PEMBUKAAN RASMI STUDIO FILEM NEGARA MALAYSIA

TARIKH PERISTIWA : 24.08.1965

Pada hari ini 24.8.1965, studio baru Filem Negara Malaysia telah dibuka dengan rasminya oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Tuanku Syed Hassan Jamalullail. Studio berharga 4.1 juta ringgit ini terletak di kawasan seluas 4.5 ekar di Petaling Jaya, Selangor.Ianya dilengkap dengan peralatan moden dan merupakan salah sebuah studio filem yang terbaik di Asia Tenggara. Filem Negara Malaysia bermula sebagai Malayan Filem Unit yang ditubuhkan dalam tahun 1946. Ianya diletakkan di bawah Jabatan Perhubungan Raya. Dengan anggota asas seramai 20 orang, iaitu 7 orang anak tempatan dan 13 orang ahli teknik dari Crown Filem Unit, Malayan Film Unit memulakan tugasnya dalam bulan Jun 1947. Filem pertamanya bertajuk 'Face of Malaya no.1' sebuah filem mengenai masalah perumahan ketika itu. Di tahun yang sama Malayan Filem Unit telah berpecah dari Jabatan Perhubungan Raya. Malayan Filem Unit telah diberi tugas digarisan hadapan dalam usaha menawan hati dan jiwa rakyat untuk menentang pergerakan komunis secara perang saraf. Dalam tahun 1953, Malayan Film Unit telah diletakkan di bawah Jabatan Penerangan dengan tugas utamanya menanamkan semangat taat setia dan persefahaman antara kaum sebagai asas pembentukan negara yang akan mencapai kemerdekaan. Apabila terbentuknya Malaysia dalam tahun 1963, Malaysia Filem Unit bertukar nama kepada Filem Negara Malaysia. Filem-filem keluaran Negara Malaysia diedarkan untuk tontonan rakyat melalui unit-unit bergerak Jabatan Penerangan, pawagam-pawagam dan juga Televisyen Malaysia. Sementara edaran keluar negeri dibuat melalui perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negeri. Pada 24 Ogos, iaitu pada hari ini dalam tahun 1965 adalah merupakan kemuncak sejarah penubuhan Filem Negara Malaysia. Setelah sekian lama bekerja di dalam keadan yang kurang sesuai dan bernaung dibawah bumbung bangsal kertas peninggalan tentera Jepun di Jalan Bangsar, akhirnya kakitangan dan alat-alat kelengkapan Filem Negara Malaysia telah berpindah ke studio yang terletak di tapak yang ada sekarang ini. Pada hari pembukaan ini juga Menteri Penerangan dan Penyiaran ketika itu, Yang Berhormat Encik Senu bin Abdul Rahman, telah mengumumkan bahawa Filem Negara Malaysia menjadi sebuah Jabatan yang berasingan dari Jabatan Penerangan dan Penyiaran Malaysia.

~ SELAMAT MEMBACA KEPADA SEMUA PEMBACA YANG BUDIMAN. IKHLAS DARI : IBM
[SUMBER : ARKIB NEGARA]

Tuesday, August 23, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

[DARI MEJA IBM] :
Assalamua'laikum w.b.t salam Ramadan salam Ukhwah dan salam sejahtera kepada semua

23 OGOS

Perarakan UMNO-MCA menuntut kemerdekan negara (Gambar Hiasan)

HARI INI DALAM SEJARAH >>>

PERHIMPUNAN KEBANGSAAN ANJURAN UMNO-MCA

TARIKH PERISTIWA : 23.08.1953

Pada hari ini dalam tahun 1953, buat julung-julung kalinya telah diadakan perhimpunan peringkat kebangsaan bertempat di Kuala Lumpur anjuran bersama UMNO dan MCA. Perhimpunan yang telah dipengerusikan oleh Tunku Abdul Rahman Putra ini, telah dihadiri wakil-wakil pertubuhan politik, dengan 14 perwakilan dari UMNO, 2 wakil Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan, 14 orang wakil PAS serta Perwakilan daripada MCA. Matlamat utama diadakan perhimpunan ini ialah untuk memperolehi kata sepakat dan kerjasama dari semua pertubuhan politik di Tanah Melayu bagi mempercepatkan proses kemerdekaan Tanah Melayu. Berikutan itu, sebuah jawatankuasa kerja telah dilantik untuk menyusun dan mengemukakan satu penyata kepada perhimpunan kebangsaan ini. Antara yang menduduki Jawatankuasa ini terdiri ialah H.S.Lee, Ong Yoke Lin, Dr. Ismail Abd. Rahman, Encik Sardon Jubir, Tunku Abdul Rahman, Leong Yew Koh, Tan Sew Sin, dan Mohd. Yassin bin Abd. Rahman. Satu kata sepakat juga telah dipersetujui daripada perhimpunan kebangsaan ini, untuk mendapatkan kemerdekaan dengan cara perlembagaan dan dalam suasana damai serta mewujudkan sebuah negara Merdeka berdaulat di dalam lingkungan Commenwealth British.

(Gambar Hiasan)


SELAMAT MEMBACA KEPADA SEMUA. IKHLAS DARI : IBM
[SUMBER : ARKIB NEGARA]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...