Wednesday, August 24, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

[DARI MEJA IBM] :
Assalamua'laikum w.b.t salam Ramadan salam Ukhwah dan salam sejahtera kepada semua

24 OGOS

HARI INI DALAM SEJARAH >>>

PEMBUKAAN RASMI STUDIO FILEM NEGARA MALAYSIA

TARIKH PERISTIWA : 24.08.1965

Pada hari ini 24.8.1965, studio baru Filem Negara Malaysia telah dibuka dengan rasminya oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Tuanku Syed Hassan Jamalullail. Studio berharga 4.1 juta ringgit ini terletak di kawasan seluas 4.5 ekar di Petaling Jaya, Selangor.Ianya dilengkap dengan peralatan moden dan merupakan salah sebuah studio filem yang terbaik di Asia Tenggara. Filem Negara Malaysia bermula sebagai Malayan Filem Unit yang ditubuhkan dalam tahun 1946. Ianya diletakkan di bawah Jabatan Perhubungan Raya. Dengan anggota asas seramai 20 orang, iaitu 7 orang anak tempatan dan 13 orang ahli teknik dari Crown Filem Unit, Malayan Film Unit memulakan tugasnya dalam bulan Jun 1947. Filem pertamanya bertajuk 'Face of Malaya no.1' sebuah filem mengenai masalah perumahan ketika itu. Di tahun yang sama Malayan Filem Unit telah berpecah dari Jabatan Perhubungan Raya. Malayan Filem Unit telah diberi tugas digarisan hadapan dalam usaha menawan hati dan jiwa rakyat untuk menentang pergerakan komunis secara perang saraf. Dalam tahun 1953, Malayan Film Unit telah diletakkan di bawah Jabatan Penerangan dengan tugas utamanya menanamkan semangat taat setia dan persefahaman antara kaum sebagai asas pembentukan negara yang akan mencapai kemerdekaan. Apabila terbentuknya Malaysia dalam tahun 1963, Malaysia Filem Unit bertukar nama kepada Filem Negara Malaysia. Filem-filem keluaran Negara Malaysia diedarkan untuk tontonan rakyat melalui unit-unit bergerak Jabatan Penerangan, pawagam-pawagam dan juga Televisyen Malaysia. Sementara edaran keluar negeri dibuat melalui perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negeri. Pada 24 Ogos, iaitu pada hari ini dalam tahun 1965 adalah merupakan kemuncak sejarah penubuhan Filem Negara Malaysia. Setelah sekian lama bekerja di dalam keadan yang kurang sesuai dan bernaung dibawah bumbung bangsal kertas peninggalan tentera Jepun di Jalan Bangsar, akhirnya kakitangan dan alat-alat kelengkapan Filem Negara Malaysia telah berpindah ke studio yang terletak di tapak yang ada sekarang ini. Pada hari pembukaan ini juga Menteri Penerangan dan Penyiaran ketika itu, Yang Berhormat Encik Senu bin Abdul Rahman, telah mengumumkan bahawa Filem Negara Malaysia menjadi sebuah Jabatan yang berasingan dari Jabatan Penerangan dan Penyiaran Malaysia.

~ SELAMAT MEMBACA KEPADA SEMUA PEMBACA YANG BUDIMAN. IKHLAS DARI : IBM
[SUMBER : ARKIB NEGARA]
Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...