Thursday, September 1, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

[DARI MEJA IBM] :
Assalam Mualaikum w.b.t Salam AidilFitri Salam Ukhwah dan Salam Sejahtera kepada semua
01 SEPTEMBER

~ HARI INI DALAM SEJARAH ~

BAHASA MELAYU DIISYTIHARKAN SEBAGAI BAHASA RASMI NEGARA

TARIKH PERISTIWA : 01.09.1967

Pada hari ini dalam tahun 1967 DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Negara yang tunggal bagi Persekutuan Malaysia. Perisytiharan ini adalah ekoran daripada tindakan Parlimen yang telah meluluskan Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan dalam sidangnya yang berlangsung pada bulan Mac 1967. Dalam warkah perisytiharan melalui Titah Diraja yang disiarkan melalui radio dan televisyen, baginda mensifatkan pendaulatan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi yang tunggal merupakan permulaam suatu zaman baru dalam sejarah kemerdekaan negara ini. Baginda telah menyeru seluruh rakyat supaya mengguna dan memajukan bahasa Melayu dengan bersungguh-sungguh sebagai bahasa rasmi negara ini. Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia pula dalam satu kenyataannya telah menegaskan bahawa pendaulatan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi menjadikan kemerdekaan Malaysia lengkap apabila penggunaannya sudah dapat diterima sepenuhnya oleh rakyat. Kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tercatat dengan jelas sebagai Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan telah dimuatkan dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan sebagai bahasa rasmi dan pengantar yang tunggal di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi melalui Penyata Razak 1956 dan disokong kuat oleh Penyata Rahman Talib 1960. Usaha-usaha untuk mendaulatkan dan memperluaskan penggunaan Bahasa Kebangsaan ini telah dijalankan dengan lebih giat dan serius melalui minggu dan bulan Bahasa Kebangsaan perjuangan politik bahasa, serta menambahkan buku-buku ilmu pengetahuan dalam Bahasa Melayu. Usaha-usaba mendaulatkan Bahasa Kebangsaan ini telah menghadapi berbagai kesulitan yang lahir dari soal-soal politik bahasa itu, soal sikap dan penerimaan rakyat terhadap masalah bahasa itu sendiri dan juga sikap tidak tegas pegawai-pegawai, guru-guru dan kakitangan-kakitangan kerajaan dalam menggunakan bahasa itu. Bagaimanapun hasil dari sikap dan pendirian tegas Kerajaan dalam soal ini, pada hari ini dalam tahun 1967 DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah mengisytiharkan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi yang tunggal bagi Persekutuan Malaysia. Berikutan dari pengisytiharan baginda itu,pada hari yang sama, Jabatan Perdana Menteri telah mengeluarkan surat Pekeliling Am No. 12 Tahun 1967 yang mengarahkan bahawa daripada tarikh itu, Bahasa Kebangsaan iaitu bahasa Melayu sahaja hendaklah digunakan untuk maksud-maksud rasmi dalam pentadbiran sehari-hari yang dijalankan oleh kementerian-kementerian, Jabatan-Jabatan Kerajaan, Kerajaan-kerajaan Negeri, Kerajaan-kerajaan tempatan dan badan-badan berkanun di Negeri-Negeri Tanah Melayu kecuali di Parlimen, Dewan-Dewan Negeri dan Mahkamah di mana bahasa Inggeris boleh digunakan setakat masa yang telah diperuntukan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Jikalau Bahasa Kebangsaan tidak dapat digunakan sepenuhnya Surat Pekeliling itu membolehkan penggunaan bahasa Inggeris mengikut yang diperuntukkan dalam Sek. 4 Akta tersebut.

~ SELAMAT MEMBACA KEPADA SEMUA. IKHLAS DARI : IBM
[SUMBER : ARKIB NEGARA]
Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...