Thursday, December 16, 2010

HARI INI DALAM SEJARAH

16 Disember

PENUBUHAN BATTALION PERTAMA REGIMEN PERSEKUTUAN
Tarikh Peristiwa Pada 16.12.1953

Pada hari ini dalam tahun 1953, Battalion Pertama Regimen Persekutuan telah ditubuhkan dengan rasminya bersempena dengan perbarisan ulungnya di Taiping, Perak. Upacara berwarna-warni ini telah mencatatkan satu detik yang bersejarah ke arah perkembangan angkatan tentera yang menjadi benteng pertahanan di negara ini. General Sir Gerald Templer merupakan 'bapa' kepada regimen ini tidak dapat turut bersama dan telah diwakili oleh General Sir Hugh Stockwell. Di dalam perutusannya, Sir Gerald Templer telah mengingatkan anggota-anggota tentera bahawa tingkah laku, disiplin dan keberanian mereka adalah perkara yang penting dan mempengaruhi keadaan negara ini. Battalion Pertama Regimen Persekutuan tersebut merupakan pasukan tentera yang dianggotai oleh semua kaum. Anggota-anggotanya terdiri daripada 40 peratus Melayu, 40 peratus Cina dan 20 peratus India serta kaum-kaum lain. Kumpulan pelatih pertama adalah seramai 140 orang mula menjalani latihan dalam bulan September 1952. Pegawai Pemerintah Pertama Battalion tersebut adalah Leftenan Kolonel T. H. Trevor. Sesungguhnya, penubuhan Battalion Regimen Persekutuan ini merupakan satu catatan bersejarah dalam perkembangan angkatan tentera di negara ini yang menuju ke arah kemajuan dan pembentukan identitinya.


BELANJAWAN MALAYSIA YANG PERTAMA DIBENTANGKAN

Tarikh Peristiwa Pada 16.12.1963

Pada hari ini 16.12.1963, Belanjawan Malaysia yang pertama telah dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Menteri Kewangan Encik Tan Siew Sin. Peruntukan bagi Persekutuan Tanah Melayu sahaja adalah sebanyak $1,254 juta dan sebanyak $71 juta dari jumlah ini adalah untuk perbelanjaan kerajaan pusat. Hasil yang akan diperolehi oleh Persekutuan Tanah Melayu dalam tahun 1964 adalah dianggarkan sebanyak $1,118 juta. Peruntukan bagi negeri Sarawak sebanyak $53 juta, negeri Sabah $42 juta dan anggaran belanjawan perkhidmatan bekalan bagi negeri Singapura adalah sebanyak $78 juta. Sebanyak $256.5 juta telah diperuntukan bagi Kementerian Pertahanan. Pertambahan adalah sebanyak $26.5 juta atau 69 peratus lebih dari jumlah peruntukan bagi tahun 1963. Encik Tan Siew Sin menerangkan penambahan ini perlu bagi persediaan mempertahankan negara dari ancaman luar. Sebanyak $28,959,209 telah diperuntukan bagi Kementerian Pembanguan Luar Bandar. Dengan peruntukan ini penduduk luar bandar akan dapat menikmati kemajuan dalam rancangan pembangunan negara yang sedang pesat dilancarkan.

Manakala peruntukan lain ialah:-

  1. Kementerian Kesihatan $98,022,372.
  2. Kementerian Pertanian $15,364,986.
  3. Kementerian Keselamatan Dalam Negeri $103,670,525.
  4. Peruntukan Khas Polis Diraja Malaysia sebanyak $101.6 juta.
  5. Kementerian Penerangan dan Penyiaran $19,948,309 dan
  6. Kementerian Pelajaran sebanyak $355 juta.

Dalam anggaran belanjawan ini juga kerajaan telah meluluskan pinjaman wang sebanyak $30 juta kepada Pesuruhjaya Ibu Kota Kuala Lumpur untuk pembinaan rumah-rumah bagi kakitangan kerajaan di Kuala Lumpur, rumah-rumah pangsa dan rumah-rumah murah untuk rakyat yang berpendapatan rendah. Anggaran belanjawan Malaysia yang pertama yang dibentangkan pada hari ini dalam tahun 1963 merupakan satu usaha kerajaan untuk mempertinggikan taraf hidup rakyat selaras dengan kemajuan ekonomi di samping mewujudkan sebuah negara yang kukuh.

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...