Sunday, December 19, 2010

HARI INI DALAM SEJARAH

19 DISEMBER

JAWATAN PENASIHAT BRITISH DI PERAK DIMANSUHKAN
Tarikh Peristiwa Pada 19.12.1956

Pada hari ini dalam tahun 1956, DYMM Sultan Perak iaitu Raja Sir Yusuf ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil telah menandatangani dua dokumen memansuhkan jawatan Penasihat British di Perak. Upacara tersebut telah diadakan di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, Perak. Kedua-dua dokumen tersebut adalah mengenai pindaan-pindaan kepada Perlembagaan Negeri Perak dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu. Perak merupakan negeri pertama yang menerima seorang pegawai British sebagai penasihat kerajaan. Penasihat yang dikenali sebagai Residen itu mempunyai kuasa yang lebih besar daripada Sultan yang mana kuasa baginda hanya terhad kepada hal ehwal Agama dan adat Melayu sahaja. Pegawai British pertama yang menjadi Residen iaitu J.W.W Birch telah dilantik melalui Perjanjian Pangkor yang ditandatangani oleh Sultan Abdullah ibni Almarhum Sultan Jaafar pada 20 Januari 1874. Jawatan tersebut kekal sehinggan tamat Perang Dunia Kedua pada 1945 apabila ia ditukarkan kepada Penasihat British. Dengan pemansuhan jawatan tersebut, maka berakhirlah sejarah campur tangan pegawai British secara langsung selama 82 tahun dalam pentadbiran negeri Perak.

MESYUARAT PERTAMA SURUHANJAYA SUNGAI
Tarikh Peristiwa Pada 19.12.1927

Pada hari ini 19.12.1927, pihak Suruhanjaya Sungai telah mengadakan mesyuarat pertama di Kuala Lumpur.

Di dalam majlis mesyuarat itu pihak suruhanjaya telah membentangkan beberapa perkara iaitu:

  1. Keperluan memperbaiki dan memelihara tebing dan alur sungai.
  2. masalah melombong timah daripada dasar sungai dan tanah landai samada menggunakan kapal korek atau cara-cara lain yang sesuai.
  3. mencari kaedah perlombongan yang praktikal
  4. kerjasama pengusaha lombong dengan kerajaan.

Mesyuarat itu diadakan berikutan dengan adanya perbezaan pendapat antara pengusaha lombong, jabatan 'hydraulic' dan Jabatan Kerja Raya berhubung dengan masalah banjir di sungai-sungai yang berdekatan dengan kawasan lombong. Berhubung dengan perkara tersebut pihak suruhanjaya mencadangkan agar arah aliran Sungai Kelang dan Sungai Kinta diubah bagi mengelak kemungkinan berlaku banjir di bandar Kuala Lumpur dan Ipoh. Walau bagaimanapun, suruhanjaya perlu mendapatkan persetujuan pengusaha lombong, jabatan 'Hydraulic' dan Jabatan Kerja Raya serta memeriksa sungai yang berkenaan sebelum melaksanakan sebarang usaha. Sehubungan dengan usaha mengatasi banjir pihak Suruhanjaya juga telah mengemukakan dua perkara penting iaitu:

  1. baik/tidak untuk membenarkan melombong timah dari dasar sungai secara kapal korek.
  2. penyediaan 'tailing' di kawasan lombong sebagai saluran untuk sungai.

Kesimpulannya, mesyuarat pertama Suruhanjaya Sungai ini merupakan usaha awal untuk mencari kaedah yang sesuai bagi mengelak kemungkinan berlaku banjir di kawasan berhampiran lombong-lombong bijih timah.

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...