Tarikh Peristiwa Pada 18.12.1990
Pada hari ini 18.12.1990 Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr. Abdul Hamid bin Othman telah merasmikan Seminar Pemikiran Islam Peringkat Kebangsaan yang Ketiga, bertempat di Pusat Islam, Kuala Lumpur. Seminar tersebut telah dihadiri oleh tokoh-tokoh pengajian Islam tempatan dan luar negara. Matlamat utama Seminar itu diadakan ialah untuk membincangkan peranan dan sumbangan imam Al-Nawawi kepada perkembangan dan pembangunan ilmu dan pemikiran Islam di seluruh dunia. Beberapa kertas kerja telah dibentangkan di seminar tersebut. Di antaranya ialah Kertas Kerja yang disediakan oleh Profesor Madya Abdul Hayei Abd. Syukur mengenai kitab syarh muslim. Kertas kerja itu membentangkan metod Imam AlNawawi dan menyarankan supaya kitab berkenaan dijadikan bahan rujukan utama untuk pelajar-pelajar di peringkat tinggi, di mana akan membolehkan mereka lebih arif dengan sumber-sumber yang dapat memberikan maklumat dan ilmu Islam yang ringkas, tepat dan betul. Dalam ucapannya Dato' Dr. Abdul Hamid berkata bahawa cendekiawan- cendekiawan Islam di negara ini perlu meningkatkan usaha untuk membetulkan salah faham mengenai pendidikan Islam dan sekular di kalangan umat Islam. Kedua-dua sistem itu perlu didekatkan untuk kebaikan semua umat Islam. Sesungguhnya seminar pemikiran Islam peringkat kebangsaan yang diadakan pada hari ini, diharap akan dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang berkaitan dengan umat Islam di negara ini. |