Friday, December 24, 2010

Hari Ini Dalam Sejarah

24 DISEMBER

Salam.

Apa Yang Berlaku Pada Hari Ini ?....Jom kita baca.......

PENENTANGAN KESATUAN MELAYU PULAU PINANG TERHADAP MALAYAN UNION
Tarikh Peristiwa Pada 24.12.1945

Pada hari ini dalam tahun 1945, Kesatuan Melayu Pulau Pinang telah mengadakan mesyuarat, bertujuan untuk menyatakan pendirian menentang cadangan Malayan Union. Mesyuarat tersebut telah diadakan di Madrasah Mashhurul Islamiyah, Pulau Pinang. Ia telah dipengerusikan oleh Naib Yang Di Pertua Kesatuan itu, iaitu Tuan Haji Ahmad bin Haji Yunus dan telah dihadiri oleh beberapa ahli Jawatankuasa Kesatuan serta ahli-ahlinya. Dalam mesyuarat tersebut, ahli-ahli Kesatuan Melayu Pualau Pinang telah sebulat suara menolak cadangan British untuk mewujudkan Malayan Union. Faktor penolakan tersebut disebabkan oleh pemberian taraf kerakyatan yang sama rata kepada semua bangsa oleh Malayan Union. Cadangan tersebut sekaligus akan menghapuskan hak keistimewaan orang-orang Melayu. Namun begitu, cadangan untuk mewujudkan Kesatuan Negeri-negeri Melayu (United Malay States) yang memberi makna kepada hak bagi orang-orang Melayu tidak mendapat bangkangan. Berikutan daripada pendirian Kesatuan Melayu Pulau Pinang itu, tentangan terhadap Malayan Union telah bertambah sebagaimana Kesatuan Melayu di negeri-negeri lain menentang Malayan Union.

Juga Berlaku Pada Hari Ini.......

PROJEK BEKALAN AIR SUNGAI MUDA DITANDATANGANI

Pada hari ini 24.12.1968, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menandatangani satu perjanjian projek bekalan air dengan Syarikat Binnie and Partners di Bilik Gerakan, Bangunan Tunku Syed Putra, Pulau Pinang. Perjanjian itu telah ditandatangani oleh Ketua Menteri, Tan Sri Wong Paw Nee bagi pihak kerajaan negeri dan G. Smethurst bagi pihak syarikat tersebut. Projek yang menelan belanja sebanyak lebih kurang $113 juta itu disediakan oleh Syarikat Binnie and Partners yang merupakan penasihat jurutera yang telah dilantik oleh kerajaan Pulau Pinang. Syarikat itu juga akan bertanggungjawab untuk menyelia pembinaannya. Pembinaan rancangan bekalan air Sungai Muda akan dijalankan dalam 3 peringkat. Peringkat pertama dianggarkan menelan belanja sebanyak $42 juta. Ini termasuk juga pembinaan sebuah benteng yang menyeberangi Sungai Muda. Projek itu akan dimulakan pada tahun berikutnya dan dijangka selesai pada tahun 1971. Perbelanjaan untuk menjalankan projek ini dibiayai oleh pinjaman dari kerajaan Pusat dan Bank Pembangunan Asia. Sesungguhnya, hasil dari perjanjian yang ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1968 membolehkan bekalan air di Sungai Muda ditambah sebanyak 445 juta liter sehari.

SELAMAT MEMBACA !!

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...