SEMBANG-SEMBANG POLITIK :

Golongan pro-ulama mahu tahaluf siyasi PAS dengan sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dikaji semula kerana ia dikatakan tidak memberi keuntungan politik kepada PAS manakala golongan bukan ulama pula mahu hubungan politik itu dikekalkan. Walaupun golongan ulama sudah menegaskan, kajian itu bukanlah berkisar soal PAS meninggalkan pakatan pembangkang namun bagi sesetengah pemimpin golongan bukan ulama, mereka bagaikan diburu mimpi ngeri kononnya ada kecenderungan PAS yang dipimpin oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden mahu mewujudkan kerajaan perpaduan dengan UMNO. Mengulas perkara ini, Prof.Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak menganggap, pemilihan kali ini ibarat pertarungan "hidup mati" antara dua golongan dalam PAS memandangkan ia bukan berkisar soal menentukan barisan kepimpinan semata-mata sebaliknya jauh daripada itu bakal menentukan hala tuju dan dasar perjuangan PAS.

Sebab itulah golongan ulama tidak boleh bergantung kepada doa sahaja, mereka perlu menyusun strategi dan perancangan bagi mempertahankan PAS. Ini memandangkan jika mereka gagal berbuat demikian kemungkinan PAS akan dikuasai oleh satu kumpulan yang bersedia berkompromi apa sahaja demi mengikut kehendak politik PKR dan DAP, katanya ketika dihubungi. Berdasarkan hujah itu juga, Prof. Mohamed Mustafa secara terbuka tidak menolak andaian bahawa pemilihan PAS tersebut akan turut menyaksikan campur tangan secara langsung daripada kedua-dua parti itu yang mahu memastikan kepimpinan PAS berubah. Bukan lagi rahsia, PKR dan DAP sememangnya tidak senang dengan corak kepimpinan ulama yang dibawa oleh Abdul Hadi. Apatah lagi pendirian golongan ulama dalam beberapa isu termasuklah "Langkah Kajang" dilihat tidak selari dengan kemahuan kedua-dua parti itu. Justeru mereka sudah tentu mahu memastikan pemilihan PAS pada Jun nanti dikuasai oleh barisan kepimpinan yang "sehati sejiwa" dengan mereka dan bersedia mengikut hala tuju yang ditentukan oleh mereka,’’ katanya. Menjawab satu soalan.



Sumber itu juga menegaskan, tumpuan sepatutnya diberikan kepada kerusi Timbalan Presiden yang sudah pasti akan menyaksikan pertembungan antara golongan bukan ulama dengan proulama. Mat Sabu sudah pasti akan mempertahankan kedudukan itu tetapi difahamkan ada permintaan beliau bertanding Presiden bagi membolehkan calon daripada bukan ulama menggantikan tempat beliau, katanya. Walaupun ada cakap-cakap politik kononnya Mat Sabu akan mencabar Abdul Hadi namun ia boleh dianggap khabar angin semata-mata kerana Timbalan Presiden PAS itu sudah pasti akan memikirkan segala risiko jika beliau berbuat demikian.
Apa pun ia belum dapat mengalih perhatian terhadap persoalan golongan manakah yang akan mendominasikan pemilihan kali ini. Apakah golongan ulama yang berpegang teguh kepada perjuangan PAS termasuk mahu melaksanakan hukum hudud atau golongan bukan ulama yang segelintir daripada mereka bersedia berkompromi apa sahaja demi menjaga hubungan politik dengan PKR dan DAP?. Hanya ahli-ahli PAS yang berhak menentukan hidup matinya PAS. Wassalam ~ IBM