PUTRAJAYA - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tidak ada pendatang asing yang didaftar sebagai pemilih kerana pengesan utama yang digunakan dalam menentukan kelayakan permohonan sebagai pemilih ialah kad pengenalannya.
Jelas beliau semasa proses pendaftaran pemilih melalui Sistem Pendaftaran Pemilih Sepanjang Tahun (e-SPPST) yang diguna pakai oleh SPR, pengenalan pemohon akan dihubung kait dengan ‘Agency Link-Up System’ (ALIS) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menurutnya ALIS yang mempunyai 33 jenis tapisan atau semakan wajib bagi setiap permohonan, akan menolak permohonan mereka yang bukan warganegara untuk didaftar sebagai pemilih.
Bercakap dalam satu dalam satu temubual khas di pejabatnya di sini baru-baru ini beliau berkata, jika ada sebarang cubaan untuk mendaftar permohonan yang tidak sah, sistem yang ada akan menolak transaksi atau kemasukan data itu secara automatik.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan pihak-pihak tertentu yang menurutnya mempertikai kononnya berlaku pendaftaran pendatang asing sebagai pengundi, di samping mempertikai proses pendaftaran anggota polis sebagai pengundi.
Abdul Aziz berkata tapisan dan semakan yang dilaksanakan oleh sistem ALIS bukan sahaja menolak mereka yang bukan warganegara, malah ia juga menolak permohonan daripada mereka yang belum layak dari segi umur dan yang mengemukakan kad pengenalan palsu.
Katanya jika ada pihak tertentu yang mempunyai sebarang bukti berhubung perkara itu, beliau meminta supaya ia dikemuka kepada pihak SPR bagi membolehkan siasatan dilakukan.
“Saya ingin dapatkan senarai itu (pendaftaran pendatang asing sebagai pengundi) yang lengkap dengan nama mereka, nombor pasport dan butirannya sebagai pengundi. Saya nak dapat bukti kerana adalah suatu perkara yang tidak mungkin bagi pendatang asing boleh didaftar sebagai pemilih,” katanya.
Mengenai pendaftaran polis sebagai pengundi pos dan juga pengundi awam, Abdul Aziz berkata permohonan untuk mendaftar nama sebagai pemilih pos bagi anggota polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Di Raja Malaysia di Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Daerah, di tempat anggota itu bertugas.
Katanya tapisan yang ketat dibuat ke atas permohonan anggota polis dengan mengikut catatan nombor kad pengenalan awam mereka dan SPR pasti akan dapat mengesan jika berlaku pendaftaran berganda.
Abdul Aziz berkata SPR juga menjalin kerjasama pintar dengan pihak polis dan tentera untuk membantu SPR membersihkan nama-nama pengundi dengan mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya sebulan sekali, dan proses pembersihan termasuk berkaitan pertukaran daripada pengundi pos kepada pengundi awam.
Mengenai dakwaan pihak-pihak tertentu kononnya perpindahan nama pengundi ke tempat lain berlaku tanpa permohonan dibuat oleh pemohon itu sendiri, Abdul Aziz berkata ia tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya kerana perubahan tempat mengundi hanya boleh dilakukan oleh pemilih itu sendiri dan perkara itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya.
“Kemukakan kepada SPR (jika ada) senarai orang yang dipindahkan ke tempat jauh oleh pihak lain dan bukan oleh pemohon itu sendiri, jangan cakap sahaja,” katanya.