Sunday, May 22, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

Assalamu'alaikum w.b.t dan salam ukhwah untuk semua pembaca.

HARI INI DALAM SEJARAH :

22 MEI


HUBUNGAN TELEFON DI ANTARA TANAH MELAYU DENGAN LONDON DIMULAKAN
Tarikh Peristiwa : 22.05.1950

Pada hari ini 22.5.1950 satu era baru dalam bidang telefon telah bermula di Persekutuan Tanah Melayu dan London, melalui Singapura. Pihak BBC telah memasang alat perhubungan khas tersebut di Singpura untuk tujuan program Perkhidmatan Penyiaran timur jauhnya. Sebagai permulaan satu talian sahaja telah disediakan untuk berhubung dengan London dan akan ditambah kemudian. Pada tahun 1939 perkhidmatan seperti ini pernah digunakan di Stesen Radio Jalan Cochrane Kuala Lumpur ke Bandung, di Indonesia. Stesen Bandung pula menerima panggilan dari London melalui Amsterdam. Walaupun perkhidmatan ini melalui talian yang amat jauh tetapi ia telah berjalan dengan amat memuaskan. Perkhidmatan ini terus berjalan sehingga timbulnya perselisihan faham di antara pihak Kerajaan Indonesia dengan Britain pada tahun 1939 hingga menyebabkan perkhidmatan ini terpaksa dihentikan di atas sebab-sebab keselamatan. Setelah dihentikan, usaha-usaha lain telah dijalankan untuk menghidupkan semula perkhidmatan ini. Akhirnya pada hari ini dalam tahun 1950 perhubungan telefon di antara Persekutuan Tanah Melayu dengan London telah disambung semula melalui Singapura. Perhubungan telefon di antara Persekutuan Tanah Melayu dengan London ini telah dibahagikan kepada panggilan persendirian, panggilan rasmi dan panggilan perniagaan. Kemajuan Perkhidmatan ini dapat dilihat 6 tahun kemudiannya iaitu pada tahun 1956 apabila sebanyak 19,500 panggilan luar negeri telah dapat dikendalikan. Pada tahun 1957 angka ini telah meningkat lagi kepada 24,000 panggilan. Perhubungan telefon ini akan dapat memberi kemudahan yang amat besar bukan sahaja untuk kegunaan rasmi tetapi juga untuk tujuan perniagaan dan perdagangan.


SELAMAT MEMBACA. IKHLAS DARI : IBM

SUMBER : ARKIB NEGARA

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...