ASSALAMUALAIKUM DAN SELAMAT TAHUN BAHARU SEMUA,
SARANAN dan nasihat TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin ini patut kita semat di sanubari kita jika kita sayangkan negara dan inginkan kesejahteraan. IBM sebagai seorang penulis blog bebas yang pro kepada kerajaan juga berhasrat untuk meningkatkan tulisan yang berupakan nasihat, tapi, berjanji akan terus melawan arus kejahatan, kepalsuan yang dilakukan oleh pembangkang dan Cyber trooper pembangkang yang sengaja ingin menimbulkan kekecohan terhadap kerajaan. Maka, dengan itu rakyat perlu terus membuktikan bahawa mereka bersatu hati dalam apa juga keadaan selain mengetepikan segala perbezaan demi negara dicintai terutama ketika sedang dilanda pelbagai ujian termasuk banjir besar. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau begitu bangga melihat penyatuan hati rakyat Malaysia dalam menghadapi krisis yang berlaku termasuk bencana alam itu ketika dunia memasuki tahun baharu 2015. Katanya, walaupun ada segelintir yang memperlekehkan usaha kerajaan dan menyebarkan api kebencian, majoriti rakyat Malaysia berfikiran rasional dan tidak terikut-ikut dengan rentak permainan pihak yang mempunyai niat memporak-perandakan masyarakat Malaysia yang harmoni.

Katanya lagi, kemajuan ekonomi negara telah mendapat pengiktirafan antarabangsa yang amat membanggakan pada tahun 2014 apabila dalam Laporan Bank Dunia ’Doing Business 2015 Report’, Malaysia telah berjaya naik dua anak tangga ke kedudukan ke-18 daripada 189 buah negara manakala pencapaian negara di dalam Laporan Daya Saing Global 2014 juga meningkat ke tempat ke-20, dari kedudukan ke-24 daripada 148 buah negara pada tahun 2013. Ini mencerminkan bahawa Kerajaan komited dan bertanggungjawab dalam mewujudkan persekitaran yang benar-benar kondusif bagi pembangunan ekonomi negara, terutamanya dalam memacu faktor-faktor yang akan menjana produktiviti dan nilai tambah yang lebih tinggi setiap tahun, katanya. Selamat Tahun Baharu 2015 semua. Wassallam ~ IBM