Wednesday, August 15, 2012

Pelita Raya Daripada Bahan Buangan


MERASAI pengalaman suasana perkampungan yang masih mengekalkan tradisi memasang pelita buatan sendiri agak sukar ditemui apatah lagi apabila mengharungi hiruk-pikuk kehidupan di ibu kota. Bahkan, arus kemodenan yang dikecapi pada hari ini, membuatkan ramai yang lebih gemar memasang lampu kelip berwarna-warni untuk menghiasi ruang rumah menyambut kedatangan Aidilfitri. Bagaimanapun, sejak beberapa tahun lalu, kemeriahan memasang ribuan pelita terutama buatan sendiri daripada bahan buangan sudah menjadi tradisi penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, Kuala Terengganu, Terengganu.

Ia lebih bermakna apabila kerajaan negeri mengambil inisiatif menganjurkan Pertandingan Pelita Raya bersama Lembaga Muzium Negeri sejak beberapa tahun lalu apabila ia mendapat sambutan di luar jangkaan daripada penduduk setempat. Pada tahun ini, terdapat kira-kira 200 penduduk dari lima buah kampung di DUN Tepoh, mengambil bahagian dalam Pertandingan Pelita Raya 2012 selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Ogos lalu.
Pelbagai hasil ciptaan kreatif pelita-pelita menerangi lima kampung iaitu Kampung Padang Hangus, Kampung Raja Tepoh, Kampung Baru, Kampung Pagar Ubi dan Kampung Tokeng dalam menyemarakkan suasana Ramadan serta menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri. Hasil rekaan kreatif seperti penyu, kapal terbang, pelita gergasi, kereta pacuan empat roda, kapal layar dan banyak lagi mewarnai rumah-rumah penduduk setempat.
Lebih menarik, peserta bukan sahaja menggunakan pelita siap dibeli, malah menggunakan kreativiti sendiri dengan mencipta pelita bahan buangan daripada tin minuman, tin susu, botol, buluh, kayu dan banyak lagi. Ia bukan sahaja dapat mengimbau kembali kenangan golongan terdahulu yang menghasilkan pelita sendiri ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri, bahkan meningkatkan kesedaran penduduk mengenai barangan kitar semula.
Pelita Toyota Hilux

Inilah Toyota Hilux yang direka oleh Rustam menggunakan 500 tin minuman, 150 botol vitamin dan 50 biji tempurung kelapa.



Salah satu hasil karya yang mencuri tumpuan dalam pertandingan kali ini ialah reka bentuk sebuah kereta pacuan empat roda Toyota Hilux menggunakan bahan buangan. Ia hasil ciptaan Rustam Naman, 54, dari Kampung Padang Hangus. "Saya menggunakan pelbagai bahan buangan untuk dijadikan pelita pada tahun ini, malah telah mengumpul bahan-bahan tersebut sejak satu bulan lalu.
"Dalam pembikinan kereta pacuan empat roda ini, saya menggunakan kira-kira 500 buah tin, 150 botol vitamin, 50 biji tempurung kelapa, dua botol minyak masak, kayu dan buluh," katanya ketika ditemui baru-baru ini. Rustam yang membikin kapal layar pada tahun lalu memberitahu, dia menggunakan guni untuk dijadikan sumbu bagi pelita-pelita buatannya.
Katanya, tin, botol dan tempurung kelapa dikutip di kawasan sekitar serta bandar untuk memastikan ia mencukupi untuk menghasilkan karya pelita berkenaan. "Selain daripada itu, saya turut memperoleh buluh dan kayu di hutan berhampiran untuk melengkapkan rangka kereta pacuan empat roda tersebut.
"Saya mengambil masa kira-kira tiga hari untuk menyiapkan hasil rekaan ini, malah proses pembuatan dilakukan pada pukul 7 hingga 10 pagi," ujarnya. Dia memberitahu, penggunaan bahan buangan tersebut adalah untuk menjimatkan kos pembikinan, malah ia mampu mencabar kreativiti di dalam dirinya.
Katanya, ia juga dapat memberi pendedahan dan kesedaran kepada orang ramai bahawa bahan buangan mampu dijadikan produk kreatif jika kena pada gayanya. "Kereta pacuan empat roda Toyota Hilux menjadi pilihan kerana saya mengidam untuk memiliki kenderaan tersebut pada suatu hari nanti. "Sebelum memiliki kenderaan itu, saya membikin terlebih dulu replika kereta pacuan empat roda berkenaan di sebelah rumah," katanya sambil tersenyum.
Jimat

 PEMANDANGAN indah seperti ini hanya dapat dilihat di Tepoh.

Dalam pada itu, Rustam mengakui pertandingan tersebut sememangnya dinanti-nantikan penduduk kerana memeriahkan suasana perayaan. Katanya, ia sedikit sebanyak dapat membantu menyemai nilai-nilai menghargai tradisi lama dalam jiwa golongan belia di kampung itu. Sementara itu, seorang lagi peserta, Zaleha Matmin, 51, berkata, dia hanya membelanjakan kurang daripada RM200 untuk menghasilkan kapal layar bagi menyertai pertandingan kali ini.
"Saya dan suami banyak menggunakan bahan buangan dalam pembinaan kapal layar ini termasuk tin minuman, kayu, akar dan paku. "Sebanyak 700 tin minuman digunakan untuk menghasilkan kapal layar yang mempunyai tulisan Malaysia Merdeka Raya ini. Saya dan suami mengambil masa kira-kira tiga hari untuk melengkapkan semua persiapan," ujarnya. Bagaimanapun, mata pengunjung lebih tertumpu kepada pelita gergasi yang berdiri kukuh di hadapan rumah Zaleha.
Zaleha yang lebih dikenali sebagai Mok Leha, memberitahu, dia menggunakan kolah yang diisi dengan minyak tanah untuk membuat pelita gergasi berkenaan. "Saya turut menggunakan tiga helai kain untuk membuat sumbu pelita gergasi berkenaan. "Boleh dikatakan hampir kesemua bahan yang digunakan untuk membuat karya pertandingan merupakan bahan buangan sekali gus dapat menjimatkan kos dan memelihara alam sekitar," ujarnya.
Dia memberitahu, pertandingan pelita raya sememangnya telah mempopularkan Tepoh kerana pengunjung dari pelbagai tempat akan singgah ke kampung mereka untuk merasai kemeriahan pertandingan tersebut.

LIMA buah kampung di Tepoh terang benderang dihiasi lampu pelita minyak tanah yang dibuat sendiri.


Bagi Roslim Ismail, 41, pula, dia banyak mengutip tin-tin kosong di kawasan sekitar kampung dan kawasan lain untuk menghiasi karya pertandingan kali ini. "Lebih 500 tin saya gunakan untuk pertandingan kali ini, malah ia dipotong dua dan disambungkan untuk mencari kelainan serta kelihatan lebih kecil. "Dalam pada itu, saya turut mencari besi-besi buruk dan kayu-kayu untuk dijadikan sebahagian daripada bahan hasil karya," katanya.
Program tahunan yang mendapat kerjasama Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri Terengganu itu menyaksikan setiap peserta yang mengambil bahagian dikenakan syarat minimum iaitu menyalakan 50 sumbu pelita pada waktu pertandingan. Keputusan pertandingan akan diumumkan pada Hari Raya Aidilfitri dengan menawarkan hadiah berupaya wang tunai.
________________________________________________________________
Memang seronok jika dapat kembali ke alam kanak-kanak seperti kita lalui di masa dahulu. Tengok gambar dan cerita yang di atas, memang amat menyeronokkan. Masa itu, dunia ini kita yang punya. Apapun ianya sudah berlalu dan hanya tinggal kenangan sahaja. IBM mengambil kesempatan di sini ingin mengucapkan 'Selamat Hari Raya AidilFitri', maaf zahir dan batin kepada semua pembaca yang selalu melawat blog IBM. Terima kasih di atas sokongan anda semua. Ikhlas dari saya ~ IBM.
SUMBER : KOSMONLINE.COM
TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA
Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...