Monday, May 12, 2014

ULANG TAHUN UMNO KE-68 DISAMBUT SEDERHANA, TAPI BERMAKNA

ISNIN, 12 MAY 2014
Majlis sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-68 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini berlangsung secara sederhana tetapi penuh bermakna. Ini kerana UMNO antara sebilangan kecil parti di dunia yang masih utuh bertahan dan menjadi pilihan utama orang Melayu untuk berpaut walaupun usianya sudah melewati 60 tahun. Walaupun pernah dilanda ma­salah hingga diharamkan pada 1988, diikuti pemecatan timbalan presidennya pada 1998 dan dilanda tsunami politik pada 2008, UMNO bangkit menjadi lebih gagah. Hakikat itu terbukti apabila pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, UMNO menang 89 kerusi Parlimen iaitu peningkatan 10 kawasan berbanding 79 kerusi pada pilihan raya umum sebelumnya. Namun kini, cabaran getir yang harus didepani UMNO ialah bagaimana untuk menangani perpecahan orang Melayu selain kebiadapan pihak tertentu yang berani mempertikaikan Perlembagaan.

Majlis dimulakan dengan solat maghrib, tahlil, bacaan Yasin, doa kesyukuran dan solat Isyak yang dipimpin Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Selepas menunaikan solat Isyak berjemaah, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak di­iringi barisan kepimpinan UMNO berarak memasuki dewan bagi memulakan upacara sambutan. Di dalam dewan, acara dimulakan dengan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW diikuti dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Bersatu, Bersetia, Berkhidmat serta upacara menaikkan bendera UMNO, Sang Saka Bangsa. Majlis kemudian diteruskan pula dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Jamil Khir diikuti dengan upacara memotong pulut kuning menandakan rasminya majlis sambutan Ulang Tahun Ke-68.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketiga-tiga Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta kesemua ketua sayap parti. Selain itu, beberapa pemimpin parti Barisan Nasional (BN) antaranya Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel turut sama memeriahkan majlis. Pada majlis yang sama, Najib turut menyampaikan anugerah Tokoh Melayu Terbilang bagi kate­gori lelaki kepada tokoh agama terkenal Tan Sri Hassan Azhari yang juga merupakan bapa kepada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Turut menerima anugerah sama tetapi bagi kategori wanita ialah wanita Melayu pertama bergelar doktor perubatan, Tan Sri Dr. Salma Ismail. Hassan diberi pengiktirafan itu atas sumbangan beliau dalam bidang keagamaan sehingga pernah menerima Tokoh Maal Hijrah 2002 manakala Dr. Salma pula kerana sumbangannya dalam bidang perubatan. Teruskan perjuangan mu wahai UMNO. Perjuangan kita masih belum selesai. Hidup UMNO!! Wasallam ~ IBM [Ehsan dari : UtusanOnline]
"TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA"
Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...