Friday, December 9, 2011

HARI INI DALAM SEJARAH

MENGIMBAU KEMBALI SEJARAH SILAM TANAH AIR KITA. SELAMAT MEMBACA SEMUA  KEPADA PENGEMAR DAN PENGKAJI SEJARAH. - IBM


 09 DESEMBER


SULTAN AZLAN SHAH DITABALKAN SEBAGAI SULTAN PERAK


TARIKH PERISTIWA : 09.12.1985
Pada hari ini 9.12.1985, Sultan Azlan Muhibuddin Shah Ibni Almarhum sultan Yusof Izuddin Ghafarullalu-lah Shah, 55 tahun ditabal sebagai Sultan Perak yang ke-34. Istiadat gilang-gemilang mengikut adat istiadat keluarga Di Raja Perak ini dilangsungkan di Balai Rong Seri Istana Iskandariah Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Dalam majlis ini juga Tuanku Bainun bte Mohamad Ali turut ditabalkan sebagai Permaisuri Perak. Istiadat pertabalan pada hari ini yang dinamakan Tabal Adat adalah salah satu daripada 6 istiadat dalam upacara pertabalan Sultan mengikut adat istiadat kesultanan Perak. Dalam upacara ini Baginda Sultan menerima Pedang Cura Si Manjakini dari Raja Chik Muda Pawang DiRaja. Pedang ini melambangkan kekuasaan baginda. Toh Seri Nara Diraja kemudiannya mempersembahkan Mastika Embun dan menyunting Cap Halilintar ke telinga kanan baginda sambil membisikkan "Ra-sia Nasab Sultan" kemudiannya orang kaya Bendahara Seri Maharaja Tun Syed Zahiruddin Syed Hassan membancakan pemasyhuran pertabalan Sultan mengikut pasal 6 perkara 2 dalam undang-undang Kerajaan Negeri diikuti oleh daulat Tuanku sebanyak tiga kali, paluan Nobat dan tembakan meriam 21 Das. Istiadat pertabalan adat diakhiri dengan titah ucapan baginda Sultan dan bacaan doa selamat oleh Mufti Kerajaan Perak. Antara para pembesar yang hadir di upacara pertabalan ini ialah kerabat-kerabat Diraja, wakil-wakil Sultan Negeri-Negeri di Malaysia, Wakil Sultan Brunei, Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Besar Perak serta para pembesar Negeri. Duli Yang Maha Mulia Sultan Paduka Seri Azlan Muhibuddin Shah diputerakan pada 19 April 1928 di Batu Gajah, Perak. Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Inggeris di Batu Gajah sebelum melanjutkan pelajaran di Kolej Melayu, Kuala Kangsar. Baginda lulus undang-undang dari Universiti Notthingham England. Antara jawatan-jawatan yang pernah disandang oleh baginda sekembalinya ke tanah air ialah Penolong Setiausaha Kewangan Negeri Perak, Majistret, Presiden Mahkamah Sesyen, Peguam Persekutuan, Penasihat undang-undang, Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Besar Malaya dan pada tahun 1982 dilantik sebagai Ketua Hakim Negara. Baginda berkahwin dengan Tuanku Bainun binti Mohd Ali dan baginda berdua dikurniakan dengan dua orang putera dan tiga orang puteri. Sesungguhnya pertabalan baginda sebagai Sultan Perak sahaja kena pada tempatnya memandangkan ketokohan baginda yang telah terbukti tetapi telah juga menempah sejarah di mana seorang Ketua Hakim Negara telah menaiki takhta sebagai Sultan Perak yang ke-34. 
[SUMBER : ARKIB NEGARA.COM]
Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...