Thursday, December 15, 2011

HARI INI DALAM SEJARAH

MENGIMBAU KEMBALI SEJARAH SILAM TANAH AIR KITA. SELAMAT MEMBACA KEPADA SEMUA- IBM

 15 DISEMBER

SULTAN MAHMUD ISKANDAR SHAH (BULAT MERAH)

PERJANJIAN PERDAGANGAN DI ANTARA BELANDA DENGAN SULTAN MAHMUD ISKANDAR SHAH DITANDATANGANI

Pada hari ini 15.12.1653, satu Perjanjian Perdagangan di antara Belanda yang diwakili oleh Joan Trujiman dengan Sultan Perak, Sultan Mahmud Iskandar Shah telah ditandatangani. Perjanjian Perdagangan seperti ini pernah dibuat di antara Belanda dengan Sultan Perak sebelumnya. Almarhum Sultan Muzaffar Shah II dalam tahun 1650. Perjanjian ini dibuat ketika negeri Perak masih lagi diawasi oleh pihak Belanda. Pihak Belanda telah menuntut gantirugi daripada Sultan Mahmud Iskandar Shah kerana dalam tahun 1651, semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah II, orang-orang Perak telah membinasakan loji-loji Belanda di Kuala Perak. Perjanjian ini juga menyatakan bahawa hanya pihak Belanda sahaja dibenarkan membeli bijih timah di Perak. Walaubagaimanapun orang-orang Perak tidak pernah menepati perjanjian tersebut. Mereka masih menjual bijih timah kepada saudagar-saudagar bangsa lain dengan mendapat harga yang lebih tinggi. Keadaan ini menyebabkan perniagaan Belanda terganggu dan merosot. Pihak Belanda terpaksa meninggalkan loji-loji perniagaan mereka di Kuala Perak dan seterusnya telah menyekat dan mengepung Kuala-kuala sungai dan perairan laut di sepanjang pantai Perak dengan tujuan untuk menyekat saudagar-saudagar bangsa lain datang membeli bijih timah di Perak. Semasa pemerintahan Sultan Mahmud Shah juga orang-orang Belanda telah menduduki Pulau Pangkor dan membina sebuah kota di Teluk Gedung bertentangan dengan pantai Teluk Muruk. Pihak Belanda berharap dengan adanya kota yang kuat mereka akan dapat mengawal urusan perniagaan di perairan Perak. Tetapi dalam tahun 1690 orang-orang Perak dengan diketahui oleh Panglima Kulub telah menyerang kota Belanda di Teluk Gedung dan berjaya mengusir orang-orang Belanda dari kota tersebut. Perjanjian demi perjanjian diadakan di antara Belanda dengan negeri Perak, tetapi orang-orang Perak masih enggan mematuhi syarat-syarat yang terkandung di dalam perjanjian-perjanjian tersebut. Begitu juga dengan perjanjian perdagangan di antara Belanda dengan Sultan Mahmud Shah yang ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1653, telah tidak mendatangkan apa-apa kesan faedah.
[SUMBER : ARKIBNEGARA.COM]


Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...