Wednesday, December 21, 2011

HARI INI DALAM SEJARAH

21 DISEMBER 


MENGIMBAU KEMBALI SEJARAH SILAM TANAH AIR KITA. TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA - IBM

BERITA KEBANGKITAN PAHANG SAMPAI KEPADA RESIDEN RODGER

Pada hari ini 21.12.1891, Residen Pahang W.P. Rodger telah menerima berita mengenai serangan oleh kumpulan penentang Inggeris ke atas pasukan polis yang dihantar ke Lubuk Terua. Serangan ini merupakan permulaan berlakunya kekacauan di daerah Semantan yang akhirnya merebak menjadi satu pertempuran besar dikenali dengan  'Pemberontakan Pahang'. Pemberontakan ini diketuai oleh Dato' Bahaman bekas Orang Kaya Indera Pahlawan Semantan. Berita mengenai serangan ini diterima selepas beberapa hari kejadian tersebut berlaku. Serangan yang dilakukan oleh Dato' Bahaman dan pengikut-pengikutnya adalah kemuncak dari dendam yang sekian lama terpendam terhadap Inggeris. Pembesar-pembesar Melayu dengan hasil kutipan cukai mereka biasanya menjadi sasaran utama pentadbiran Inggeris di semua negeri-negeri yang dikuasainya, termasuk Pahang. Dalam hal ini, Dato' Bahaman tidak terkecuali. Sejak awal lagi hubungan antara Dato' Bahaman dengan Inggeris adalah buruk. Inggeris menuduh beliau mengutip cukai secara haram.  Ini diikuti dengan pembinaan sebuah balai polis di kawasannya, di Lubuk Terua. Seterusnya Inggeris telah mempengaruhi Tengku Mahmud yang dilantik menjadi Tengku Besar supaya memecat Dato' Bahaman dan menarik balik gelaran Orang Kaya Indera Pahlawan Semantan, salah seorang dari Orang Besar Delapan Pahang. Serangan ke atas anggota-anggota polis dan Balai Polis Lubuk Terua dibuat setelah tiga orang pengikut Dato' Bahaman ditangkap oleh Inggeris atas tuduhan mengumpulkan hasil hutan tanpa kebenaran. Apabila Residen Rodger menerima berita mengenai serangan ini, Inggeris pun mula mengatur gerakan menghapuskan penentang-penentang pimpinan Dato' Bahaman. Sepasukan anggota polis dari Kuala Kubu yang terdiri dari sepuluh orang polis Melayu dan dua puluh lima orang Sikh, diketuai oleh Kapten Syers telah dikejarkan ke Pahang. Bantuan juga diperolehi dari Selangor dan lain-lain tempat. Sesungguhnya Inggeris telah menggunakan kesempatan ini untuk menumpaskan pengaruh Dato' Bahaman dan pengikut-pengikutnya dari merebak ke.kawasan-kawasan lain, di samping melemahkan kegiatan menentang penjajahan di kalangan orang-orang tempatan.
[SUMBER : ARKIB NEGARA.COM]
Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...