Friday, February 17, 2012

SEMANGAT PERJUANGAN ANAK SENI



LATIHAN menembak Platun Seni Rejimen Askar Wataniah (RAW) bersama media yang berlangsung baru-baru ini di lapang sasar Kem Perdana Sungai Besi benar-benar memberi pengalaman baharu bukan sahaja kepada pihak media yang menyertainya tetapi juga barisan artis RAW yang turut hadir pada sesi latihan yang berlangsung selama empat jam itu.
Perhatian lebih tertumpu kepada artis wanita terutamanya Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang berjaya mengutip 70 markah dengan 18 butir peluru mengenai sasaran untuk sesi latihan individu manakala ketika sesi latihan berkumpulan yang diadakan secara pertandingan kalah mati, kumpulan Siti akur dengan kehebatan kumpulan lain.
Tidak hanya Siti, dua pelakon yang bernaung di bawah payung MIG Production, Yana Shamsudin dan Mon Ryanti turut turun padang memberi persaingan sengit meskipun Yana menghadapi masalah tulang belikat dan Mon Ryanti kini sibuk dengan promosi filem terkininya, Hantu Dalam Botol Kicap.
Selain mereka, Platun Seni RAW yang ditubuhkan sejak pertengahan Jun 2011, turut disertai ramai artis popular lain termasuk Aizat Amdan, Intan Ladyana, Shaheizy Sam, Ana Raffali serta Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG), David Teoh.
Siti idam konsert besar
Siti Nurhaliza pernah bercita-cita untuk menjadi seorang anggota polis, justeru tidak hairanlah terdapat sisi lasak dalam dirinya. Memegang senjata M16 buat pertama kali bukan satu masalah besar buatnya apatah lagi setiap bidikannya mengena pada sasaran.
Keseronokkan jelas kelihatan di wajah mulusnya, meskipun matahari semakin berdiri tegak di atas kepala dan peluh mula memercik, Siti tetap setia di padang sasar dan melakukan sehingga tamat semua sesi latihan yang diaturkan buat Platun Seni RAW.
"Ini kali pertama saya menembak menggunakan M16, sebelum ini pernah diajar cara penggunaannya di kem dan pernah pegang M16 untuk sesi fotografi tetapi benar-benar menembak ini pengalaman pertama saya.
"Seronok menembak kerana bagi saya ia sangat mencabar dan memberi kepuasan setiap kali tembakan saya mengenai sasaran. Cabarannya adalah minda harus tenang dan cara pernafasan juga penting," ujarnya.
Jelasnya lagi, sejak menyertai Platun Seni RAW, perubahan paling ketara yang dialaminya adalah, Siti kini menjadi seorang yang lebih berani dan bersemangat.
"Sebenarnya, bila kita sarung sahaja pakaian uniform askar, automatik semangat dan aura berjuang itu timbul, jadi perkara yang susah pun menjadi senang buat saya. Sekarang, saya juga menjadi lebih berani dalam melakukan apa sahaja perkara," katanya yang sering berkongsi informasi latihan bersama anak Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Nurul Hidayah.
Sungguhpun sibuk dengan jadual seni, Siti sebolehnya mahu menghabiskan sesi latihan keseluruhan yang berdurasi sebanyak 240 jam secepat yang mungkin.
"Saya sibuk, jadi bila ada masa terluang sahaja saya akan menghadiri sesi latihan. Seperti hari ini, pada sebelah petang saya ada penggambaran untuk produk kecantikan, sesi latihan pada sebelah pagi jadi sempat jalani latihan.
Memang sangat seronok bila saya sertai RAW. Bermacam-macam perkara yang telah saya pelajari, bagi saya RAW bagus untuk wanita kerana kita diajar bagaimana untuk pertahankan diri.
"Kepada artis atau orang di luar saya yang berkira-kira untuk menyertai RAW, nasihat saya jika sudah ada niat sertailah RAW. Saya pun tidak boleh paksa orang untuk sertai RAW kerana ia disertai secara sukarela," tuturnya yang bakal melancarkan produk baharu Simply Siti iaitu Dermamagic tidak lama lagi.


SITI NURHALIZA dan Yana bergambar kenangan dengan tiga orang anggota tentera yang terlibat sama dalam latihan RAW.




Selain sibuk dengan latihan RAW dan perniagaan produk kecantikan, Siti mengidam untuk mengadakan sebuah konsert besar pada tahun ini. Lokasi serta tarikh masih belum dapat disahkan, tetapi perancangan konsert sudah ada dalam diari tahunannya.
"Tahun ini saya memang nak buat satu konsert besar, mungkin di jalanan seperti yang dilakukan oleh Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, mungkin di Istana Budaya dan mungkin juga di stadium. Saya tidak tahu lagi, semuanya bergantung kepada penaja yang sudi menaja konsert saya nanti," katanya yang kali terakhir mengadakan konsert di Singapura baru-baru ini.
Rezeki murah Yana
Pengarah dan aktres yang semakin popular, Yana Shamsudin juga tidak kekok menjalani latihan yang disediakan buat Platun Seni RAW kerana bapanya adalah pesara tentera. Jelasnya, dia sudah terbiasa mendengar arahan dan disiplin yang ketat kerana bapanya juga menerapkan disiplin ketenteraan ketika di rumah.
"Ayah saya dulu berada di pasukan meriam, biasalah kalau askar di rumah ayah garang. Jadi, saya sudah terbiasa dengan cara didikannya, jadi bila saya masuk RAW saya tidak kekok," katanya yang melakukan latihan menembak untuk kali kedua.
Bagaimanapun keputusannya untuk menyertai RAW ditentang keras oleh bapanya sebelum ini, namun selepas diberitahu Platun Seni RAW mempunyai kelonggaran kerana kesibukan kerja artis, bapanya mula memberi sokongan.
"Sebelum ini ayah tidak sokong kerana dia tahu latihan ketenteraan sangat susah dan dia takut saya tidak tahan ditambah pula dengan jadual harian saya yang sibuk. Selepas saya beritahu yang Platun Seni istimewa, dia terus memberi lampu hijau.
"Malah, kalau saya menjalani latihan ayah yang akan tolong gosokkan baju dan kilat kasut. Sebenarnya bila saya sertai RAW, saya berbangga kerana sebagai anak pesara tentera ini saya meneruskan legasinya walaupun tidak secara sepenuh masa sekurang-kurangnya saya memperoleh pengalaman seperti mana ayah saya alami," jawabnya yang telah menjalani latihan sebanyak 60 jam.
Beralih kepada kerjaya seni, nampaknya tahun ini peminat filem tempatan akan menonton wajah Yana di pawagam sepanjang tahun kerana untuk tahun ini sahaja lima buah filemnya akan ditayangkan. Lima buah filem itu adalah Adnan Sempit 2, Tiga Temu Janji, Aku Ada Kau Ada, 8 Jam dan Minyak Dagu.
Yana yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Strawbery Cinta bergandingan dengan bekas kekasihnya, pengarah dan aktor Pierre Andre untuk filem tersebut dan juga filem Tiga Temu Janji.
"Mula-mula bergandingan untuk filem Tiga Temu Janji saya gementar juga tetapi kami profesional dan bila lakukan penggambaran filem Strawbery Cinta semuanya menjadi mudah. Kami okey sahaja dan berkawan macam biasa. Memori lama itu perlu ada untuk menghayati watak dalam filem tetapi sebaik penggambaran selesai kami buat hal masing-masing," ujarnya yang tidak kisah andai peminat lebih menerimanya sebagai pelakon daripada seorang pengarah.
Mon Ryanti kalis kontroversi
Buat pendatang baharu dunia seni Mon Ryanti Sahudina Lee, 24, terpancar gementar di wajahnya apabila diminta bergandingan dengan Datuk Siti Nurhaliza buat pertama kalinya. Katanya dia amat kagum dengan penyanyi nombor satu negara itu.
Kali kedua berada di lapang sasar dan menjalani latihan tembakan, Mon Ryanti amat menggemari latihan tembakan kerana padanya bukan semua orang memperoleh peluang sepertinya.
"Bukan semua orang dapat pegang senjata M16 dan membuat latihan menembak, saya sangat seronok dan dalam masa yang sama latihan ini membentuk diri saya menjadi seorang yang lebih fokus." ujarnya.
Walaupun masih hijau dalam dunia lakonan, Mon Ryanti yang kini hangat dalam drama Santau Merasuk telah berlakon sebanyak empat buah filem iaitu Keramat, Assalamualaikum Cinta dan filemnya yang sedang ditayangkan di pawagam Hantu Dalam Botol Kicap.

BERSEMANGAT. Mon, Siti dan Yan teruja kerana berkesempatan menembak menggunakan senjata jenis M16.



Malah, nama Mon Ryanti juga sempat terkena tempias kontroversi dek aksi ghairahnya dalam filem Keramat lakonannya bersama Zul Suphian.
"Saya bersyukur kerana mempunyai rezeki dalam bidang lakonan. Sebenarnya banyak lagi perkara yang saya harus pelajari, sempat terkena kritikan dan kontroversi saya bersyukur kerana orang ramai menyedari kehadiran saya dalam industri seni," katanya.
Aktres yang juga bekas model ini merupakan graduan jurusan perakaunan dan kewangan dari Kolej Segi memberitahu, sungguhpun dia menuntut ilmu yang lari daripada bidang seni, namun daripada dahulu sehingga kini, dia sedar, lakonan adalah perkara yang ingin dilakukannya.
"Habis sahaja belajar saya fokus kepada lakonan dan Alhamdulillah rezeki saya ada dalam bidang ini. Bukan tidak mahu bekerja dalam bidang yang saya pelajari tetapi kerana minat terhadap bidang lakonan saya tinggalkan dahulu apa yang saya belajar dan fokus dengan apa yang saya lakukan sekarang iaitu lakonan," jawabnya yang terjun ke dunia lakonan dengan hanya gambar kakinya sahaja terpampang di poster filem V.3.
Anak kedua daripada tiga adik-beradik itu juga mempunyai impian untuk menjalankan perniagaan sendiri pada masa depan.
"Saya bercita-cita untuk mempunyai salon dan restoran sendiri. Mungkin pada masa itu saya akan gunakan kembali apa yang saya belajar di kolej," bicaranya yang berasal dari Johor Bahru.
p/s : IBM Kata : "Setinggi tahniah kepada Siti dan rakan-rakan artisnya yang telah menunjukkan semangat menyertai Askar Wataniah. Dan dikhabarkan mereka-mereka di dah pandai menembak. Moga ramai lagi artis-artis yang mengikut jejak Siti n the gang. Waalaupun Siti dan rakan-rakannya sibuk dengan dunia seni, tapi mereka dapat juga hadir menjalani latihan menembak. Syabas sekali untuk mereka."
SUMBER BERITA HIBURAN : KOSMO ONLINE.COM. TERIMA KASIH KOSMO.
TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA
Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...