POLITEKNIK UNGKU OMAR, IPOH PERAK
26 APRIL
ANDA SEORANG PENGEMAR DAN PENCINTA SEJARAH..?..JOM BACA KERANA.....
"SEJARAH WARISAN NEGARA DAN SEJARAH TUNJANG KETERBILANGAN"
UPACARA PERLETAKAN BATU ASAS POLITEKNIK UNGKU OMAR |
Pada hari ini 26.4.1969 telah berlangsung upacara meletakan Batu Asas Politeknik Ungku Omar di Ipoh, Perak. Upacara ini dilakukan oleh Menteri Pelajaran Encik Mohd Khir Johari. Politeknik yang berharga 15 juta ringgit itu mendapat sumbangan khas sebanyak 45 juta ringgit dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ia diberi nama Politeknik Ungku Omar kerana mengambil sempena dan mengenang jasa-jasa tokoh pelajaran negara Prof. Dr. Ungku Omar bin Ahmad yang banyak berusaha memajukan dan meninggikan taraf pelajaran negara dibidang sains dan teknologi. Penubuhan Politeknik Ungku Omar adalah merupakan sebahagian dari usaha kerajaan untuk mencapai matlamat Rancangan Malaysia Kedua iaitu untuk menambah bilangan tenaga terlatih disektor awam dan swasta. Ini penting dalam usaha memesatkan kemajuan perusahan di negara ini. Politeknik itu memberi tumpuan kepada Kursus Juruteknik, dan beberapa kursus yang lain termasuk perakaunan, teknologi galian, perancang bandar dan kampung, pengajian tanah dan trengkas. Sumbangan Politeknik Ungku Omar yang dirasmikan pembukaannya oleh perdana Menteri Tun Abdul Razak pada 10hb.Mei, 1974, memang luas. Sejak ia memulakan sessi ekonomi dalam tahun 1969 hingga tahun 1974 ia telah berjaya melahirkan seramai 1,200 tenaga terlatih yang telah pun bekerja di sektor awam dan swasta. Sesungguhnya tahun perletakan batu asas Politeknik Ungku Omar merupakan tahun yang menjadi batu tanda dalam perkembangan sekolah-sekolah teknik dan Vokasional. Penubuhan sekolah seumpama itu adalah selaras dengan dasar kerajaan untuk mempelbagaikan ekonomi Malaysia. Kejayaan Malaysia mendapat bantuan asing dan kesanggupan agensi-agensi seperti UNESCO, UNPD dan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi bantuan adalah bukti keyakinan mereka terhadap perkembangan ekonomi Malaysia.
SUMBER : ARKIB NEGARA.GOV.MY
TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBACA
|