Saturday, December 11, 2010

HARI INI DALAM SEJARAH

11 DESEMBER

PERJANJIAN PERSAHABATAN DI ANTARA KERAJAAN JOHOR DAN INGGERIS
Tarikh Periatiwa Pada 11 Desember 1985

Pada hari ini dalam tahun 1885, satu perjanjian persahabatan di antara kerajaan Johor dengan Inggeris telah ditandatangani di Pejabat Tanah Jajahan Inggeris di London. Perjanjian tersebut telah berlangsung di antara Maharaja Abu Bakar bagi pihak kerajaan Johor dengan Setiausaha Negara bagi Tanah Jajahan, Frederick Arthur Stanley, yang mewakili kerajaan Inggeris. Dengan termaktubnya perjanjian ini negeri Johor bersetuju menerima seorang pegawai Inggeris yang berjawatan sebagai Konsular di negeri itu. Antara lain perjanjian ini menyatakan bahawa Johor tidak akan mencampuri urusan politik dan pentadbiran di negeri-negeri Melayu yang lain manakala pihak Inggeris pula mengakui Maharaja Abu Bakar dan keturunan baginda sebagai waris takhta kerajaan Johor. Perjanjian ini terhasil daripada rundingan Maharaja Abu Bakar berserta rombongan baginda yang telah berlangsung selama enam bulan di London. Maharaja Abu Bakar telah tiba di London pada bulan Mei 1885 dan telah dibantu oleh Setiausaha baginda, Datuk Seri Amar Diraja Abdul Rahman yang fasih berbahasa Inggeris dan faham dengan segala tipu muslihat penjajah Inggeris. Sesungguhnya dengan termeterainya Perjanjian Persahabatan ini negeri Johor terselamat daripada jatuh kepada Inggeris secara pemerintahan Residen.

DAP SOKONG PENUH GERAKAN CINTAILAH BAHASA KITA
Tarikh Peristiwa pada 11 Desember 1987

Pada hari ini dalam tahun 1987, Democratic Action Party (DAP) telah menyatakan sokongan penuhnya terhadap Gerakan Cintailah Bahasa Kita. DAP telah memainkan peranannya dalam gerakan tersebut dan turut membantu usaha kerajaan yang bertujuan untuk menggalakkan rakyat menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa perhubungan antara satu sama lain. Proses memaju dan mengembangkan Bahasa Malaysia telah dilakukan tanpa menafikan kedudukan dan fungsi bahasa-bahasa lain sebagai bahasa bukan rasmi dan bahasa ibunda kaum-kaum tertentu serta kedudukan dan peranan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di negara ini. Dalam usaha mengembangkan Bahasa Kebangsaan, rakyat yang bahasa ibundanya ialah Bahasa Melayu mempunyai peranan yang istimewa. Kehadiran pihak DAP telah membuktikan sokongan terhadap kempen yang menggalakkan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa perhubungan dan perpaduan Negara. Sesungguhnya, gerakan Cintailah Bahasa Kita telah berjaya mencapai matlamat kerajaan untuk membimbing orang ramai terhadap penggunaan bahasa Malaysia dan membina masyarakat yang berjiwa Malaysia


# IBM : Informasi untuk semua. Selamat membaca, membaca menambah pengetahuan ........!!

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...