Tuesday, December 21, 2010

HARI INI DALAM SEJARAH

21 DISEMBER

PERJANJIAN SEMPADAN PERAIRAN SELAT MELAKA

Tarikh Peristiwa Pada 21.12.1971

Pada hari ini dalam tahun 1971, satu perjanjian mengenai perairan Sempadan Selat Melaka telah ditandatangani di antara kerajaan Malaysia, Indonesia dan Thailand di Kuala Lumpur. Malaysia telah diwakili oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Kadir Yusof, sementara Indonesia diwakili oleh Menteri Galiannya Professor Dr. Sumatri Brodjonegoro dan Thailand pula oleh Setiausaha Rendah Negeri bagi Pembangunan Negara di Kementerian Pembangunan Negara Thailand, Encik Vijaya Sethapat. Perjanjian ini menetapkan garis batas laut di perairan Selat Melaka untuk ketiga-ketiga buah negara. Ianya terhasil daripada rundingan yang diadakan di Bangkok bermula pada bulan Oktober. Berikutan daripada termeterainya perjanjian ini, usaha untuk meneroka sumber kekayaan di kawasan yang melampaui sempadan negara masing-masing bagi faedah bersama dapat dilaksanakan. Justeru itu sebarang pertikaian mengenai dasar laut dan lapisan bumi di bawahnya yang mengandungi sumber kekayaan yang belum lagi diterokai dapat dihapuskan. Sesungguhnya, perjanjian ini merupakan sumbangan positif ke arah keamanan dan kestabilan rantau ini. Secara tidak langsung, ia merupakan langkah tegas ke arah merapatkan kerjasama dalam usaha mencari kekayaan dasar laut untuk kemakmuran bersama ketiga-tiga buah negara.

DEWAN RAKYAT SEBULAT SUARA LULUSKAN AKTA WAKTU STANDARD
Tarikh Peritiwa Pada 21.12.1981

Pada hari ini dalam tahun 1981, Dewan Rakyat telah meluluskan Akta Waktu Standard Malaysia yang berkuatkuasa mulai 1 Januari 1982. Ia bertujuan untuk menyeragamkan waktu rasmi bagi seluruh Malaysia. Sebelum akta tersebut diluluskan, Malaysia mempunyai dua waktu rasmi. Satu waktu rasmi bagi Semenanjung yang ditetapkan 7 ½ jam terdahulu dari ‘Greenwich Mean Time’ (GMT) sejak tahun 1941 dahulu, dan satu lagi waktu rasmi bagi Sabah dan Sarawak yang telah ditetapkan 8 jam ke hadapan GMT. Perbezaan waktu selama ½ jam ini telah memberi kesan kepada permulaan dan penamatan waktu bekerja di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Berikutan itu, kerajaan telah mengkaji cadangan untuk menyeragamkan waktu rasmi bagi seluruh negara dan penentuan waktu yang sesuai. Hasil daripada kajian tersebut, waktu rasmi Sabah dan Sarawak, iaitu 8 jam terdahulu daripada GMT telah dipilih sebagai waktu standard bagi Malaysia. Sesungguhnya, kelulusan Akta Waktu Standard telah menyeragamkan waktu komunikasi rasmi urusan pejabat di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak di samping merapatkan hubungan antara keduanya.

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...