Thursday, December 23, 2010

Hari Ini Dalam Sejarah

23 DISEMBER

Hari berganti hari, minggu berganti minggu, tahun berganti tahun. Bila semuanya itu berlalu, maka tercetuslah bermacam-macam peristiwa (Sejarah) yang perlu kita ingat dan kenangkan kembali. Mari kita imbau kembali apa yang berlaku pada hari ini......

PERASMIAN MASJID JAMEK KUALA LUMPUR
Tarikh Peristiwa Pada 23.12.1909

Pada hari ini 23.12.1909, Masjid Jamek di Jalan Tun Perak Kuala Lumpur telah dibuka dengan rasminya oleh Sultan Selangor Sultan Alauddin Sulaiman Shah. Masjid yang tertua di Wilayah Persekutuan ini menjadi tumpuan orang Islam di sekitar pusat bandar untuk menunaikan sembahyang lima waktu, sembahyang Jumaat dan lain-lain kegiatan keagamaan. Selain dari itu, masjid ini juga menjadi tempat tumpuan pelancong dari dalam dan luar negeri kerana keunggulan senibinanya yang sangat indah dan bersejarah. Kedudukannya yang unik dan strategik iaitu di pertemuan antara Sungai Gombak dan Sungai Kelang mempunyai catatan sejarah sebagai tempat tumpuan saudagar dan peniaga suatu ketika dulu. Pembinaan bangunan asal masjid ini menelan belanja sebanyak RM32,625 di mana RM12,000 daripadanya adalah sumbangan dari masyarakat, manakala bakinya adalah sumbangan dari Kerajaan Negeri Selangor. Arkitek yang bertanggungjawab menghasilkan senibina masjid ini ialah Encik A.B. Hubbock yang bertugas di Jabatan Kerja Raya ketika itu. Beliau mendapat ilham untuk menghasilkan rekabentuk tersebut berpandukan kepada rekabentuk masjid-masjid di Utara India. Malah Encik A.B. Hubbock juga merekabentuk bangunan Keretapi Tanah Melayu di Jalan Sultan Hishamuddin. Kedudukan masjid ini yang dikelilingi oleh pusat-pusat pentadbiran Kerajaan dan swasta, gedung-gedung perniagaan menambahkan lagi bilangan jemaah yang datang untuk menunaikan sembahyang terutamanya untuk bersembahyang Jumaat. Usaha-usaha untuk membaik pulih dan membesarkan Masjid Jamek ini telah dijalankan sejak tahun 1979. Kerja-kerja pemulihan dan pembesaran mula dijalankan pada 10 Mei 1983 melibatkan:

  • usaha merobohkan semua bangunan berbentuk sementara
  • memelihara dan membaik pulih bangunan masjid asal
  • membesarkan masjid ke peringkat optimum tanpa mengubah rekabentuknya yang asal

Hasilnya masjid itu kini boleh menampung kira-kira 3,500 jemaah berbanding dengan hanya kira-kira 1,500 orang sahaja sebelum itu. Selain dari itu, masalah hakisan yang mengancam masjid itu telah juga dapat diatasi dengan pembinaan tebing konkrit yang kukuh. Usaha-usaha membaikpulih ini telah menelan belanja sebanyak RM4 juta. Ia ditanggung oleh kerajaan sepenuhnya. Perbelanjaan ini tidak termasuk kelengkapan-kelengkapan masjid bernilai kira-kira RM400,000 yang diperolehi daripada sumbangan orang ramai.

PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU DIUMUMKAN
Tarikh Peristiwa Pada 23.12.1946

Pada hari ini 23.12.1946, Perjanjian Persekutuan yang kemudiannya dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948, telah diumumkan oleh Kerajaan British. Perjanjian itu penting bukan sahaja kerana ia memansuhkan Malayan Union tetapi juga menyatukan negeri-negeri Melayu dalam sebuah Persekutuan untuk pertama kali. Perjanjian Persekutuan telah digubal oleh Sidang Pleno Inggeris-Melayu sejak bulan Jun hingga awal bulan Disember 1946. Di akhir mesyuaratnya Sidang Pleno telah menghasilkan apa yang dikenali sebagai Blue Book setebal 100 muka surat. Setelah mendapat persetujuan Raja Inggeris maka pada hari ini dalam tahun 1946, Perjanjian Persekutuan itu telah diumumkan dan diedarkan kepada penduduk-penduduk Tanah Melayu, terutama sekali untuk orang-orang bukan Melayu. Tujuan pengumuman ini ialah untuk mendapatkan pandangan orang-orang bukan Melayu yang tidak diwakili dalam Sidang Pleno itu.

Di antara lain Perjanjian Persekutuan menyatakan:

  1. Persekutuan Tanah Melayu akan dianggotai oleh sembilan buah negeri-negeri Melayu dan dua buah Negeri-negeri Selat, iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Untuk kepentingan politik dan keselamatan, Singapura telah dikeluarkan dari Persekutuan Tanah Melayu dan dijanjikan sebuah Koloni Inggeris.
  2. Perkara yang tidak kurang pentingnya terkandung dalam dokumen itu ialah pembukaan Dewan Perundangan Persekutuan yang akan diwakili oleh semua kaum di Persekutuan Tanah Melayu. Dewan Perundangan Negeri akan mengikut peraturan yang serupa dengan Dewan Perundangan Persekutuan.
  3. Mengenai kewarganegaraan, Perjanjian Persekutuan memberi dasar yang longgar. Di antara lain orang-orang yang mengaku Tanah Melayu sebagai tanahairnya akan diberi kewarganegaraan dengan beberapa syarat tertentu.

Perjanjian Persekutuan juga menetapkan kuasa-kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Hal-hal kewangan mestilah dikendalikan oleh negeri masing-masing. DYMM Sultan diberikan kuasa penuh ke atas hal-hal agama dan adat istiadat Melayu. Walau bagaimanapun masalah luar negeri dan pertahanan pula masih dipegang oleh Kerajaan Inggeris. Perjanjian Persekutuan yang diumumkan pada hari ini dalam tahun 1946, telah dijadikan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya telah diisytiharkan dengan rasminya pada 1 Februari 1948.

2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...