Tuesday, December 28, 2010

Hari Ini Dalam Sejarah

Salam, Salam sejahtera dan Salam 1 Malaysia kepada semua pembaca-pembaca blog yang dihormati dan dikasehi sekelian.
Hari ini TV merupakan satu keperluan yang amat penting didalam kehidupan harian kita sekeluarga. Tahukah anda semua akan sejarah bermulanya perkhidmatan TV dan bilakah ianya bermula di negara ini ?..jom, mari kita imbas kembali dan kita ingat-ingatkan.......

Coretan Oleh : IBM


28 DISEMBER

PELANCARAN PERKHIDMATAN TV MALAYSIA
Tarikh Peristiwa Pada 28.12.1963

Pada hari ini dalam tahun 1963, Perkhidmatan Televisyen Malaysia (TV telah dilancarkan. Upacara pelancaran dilakukan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dari studio sementara TV Malaysia di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Ampang. Kerajaan Malaysia telah mendapat bantuan dari Suruhanjaya Penyiaran Kanada untuk memperkenalkan perkhidmatan ini. Bantuan tersebut berupa teknikal di bidang kejuruteraan latihan, rancangan dan pentadbiran. Di peringkat awal pelancarannya, masa siaran ialah kira-kira 5 setengah jam sehari atau 44 jam seminggu dengan tambahan masa siaran pada hujung minggu. 50 peratus dari rancangan yang disiarkan dibuat secara terus-menerus dari studio manakala sebahagian lagi adalah filem-filem sumbangan Filem Negara dan lain-lain sumber luar. Sebagai permulaan, penerimaan adalah terhad kepada penonton-penonton ibu negara dan kawasan-kawasan berhampiran. Bagaimanapun dalam tahun 1964, beberapa buah stesen pemancar telah dibina bagi membolehkan lebih ramai penonton menerima perkhidmatan ini. Tiga buah stesen pemancar yang mula-mula dibina terletak di Gunung Kledang Perak, Gunung Tampin Negeri Sembilan dan Gunung Jerai di Kedah. Beberapa stesen pemancar lagi dibina kemudian, antaranya ialah di Gunung Pulai, Johor dan Bukit Maxwell, Perak. Dalam pada itu rancangan juga dibuat untuk studio kekal di sebuah kawasan di Lembah Pantai yang dikenali kini sebagai Kompleks Angkasapuri. Dalam tempoh beberapa tahun sejak pelancarannya, TV Malaysia terus mencatat kemajuan yang pesat. Perubahan dari hitam putih kepada TV warna dalam tahun 1978 merupakan satu lagi kejayaan besar media ini di samping kemajuan kemajuan di segi tambahan masa siaran, penerbitan rancangan tempatan dan sebagainya.

Dan bila pula TV warna di lancarkan ?....jom baca......

PELANCARAN TV WARNA
Tarikh Peristiwa Pada 28.12.1978

Perkembangan di bidang penyiaran pesat berkembang di negara ini, salah satu daripada alat perantara penyiaran di negara ini ialah Televisyen. Di bawah Kementerian Penerangan usaha-usaha telah dijalankan bagi menyediakan kemudahan kepada rakyat di negara ini. Salah satu perkembangan yang pesat pada bidang ini ialah pelancaran TV Warna. Majlis Pelancaran TV Warna ini dilancarkan sempena genap 15 tahun usia siaran TV di Malaysia pada 28.12.1978. Rancangan pertama yang disiarkan dalam bentuk warna ialah program Puspawarna yang disiarkan secara langsung. Berucap semasa merasmikan Pelancaran TV Warna di Auditorium Besar Angkasapuri, Perdana Menteri Datuk Hussein Onn berharap pihak TV dapat memainkan peranan yang penting bagi menyampaikan maklumat yang tepat, terperinci serta jelas dan bertanggungjawab terutamanya untuk mewujudkan perpaduan di kalangan penduduk pelbagai kaum di negara ini. Dalam masyarakat moden hari ini penyiaran terutama TV cukup penting sekali sebagai penyampai maklumat, apatah lagi yang berbentuk siaran langsung kepada rakyat. Hari ini dengan adanya stesen TV swasta limpahan maklumat semakin berkembang kepada rakyat dan ini boleh menjayakan usaha-usaha Kerajaan membentuk masyarakat yang bermaklumat.

ULASAN IBM : Selamat Membaca..!!

SUMBER : Arkib Negara


Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...