PERASMIAN PERTEMUAN DUNIA MELAYU '82 |
Tarikh Peristiwa Pada 18.12.1983 Pada hari ini 18.12.1982, PERDANA Menteri Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad telah merasmikan Pertemuan Dunia Melayu '82. Pertemuan yang telah dihadiri oleh lebih 500 orang sarjana, penulis dan budayawan Dunia Melayu dari 7 negara ini telah berlangsung di Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka. Di dalam ucapannya Perdana Menteri menyeru umat Melayu supaya jangan memporak-perandakan suasana politik dengan mengapi-apikan nasionalisme Melayu sempit untuk mewujudkan 'Dunia Melayu' sebagaimana dalam sejarah dahulu kala. Beliau menegaskan bahawa segala usaha mestilah digerakkan ke arah 'World View Melayu moden' yang dinamis supaya terus terkongkong dengan adat lama. Kepada para penulis, Perdana Menteri mengingatkan bahawa penulisan merupakan alat yang penting dalam menggerakkan dunia Melayu. Para penulis pula haruslah berusaha untuk membangkitkan semula nilai-nilai mulia, orang-orang Melayu dan mengembalikan semula kegemilangan dunia Melayu yang telah terlepas oleh kedatangan kuasa-kuasa Barat. Sesungguhnya pertemuan Dunia Melayu ini telah dapat mengembalikan sejarah kegemilangan dan semangat melayu sebagaimana yang disebut oleh Perdana Menteri itu. Semoga dengan semangat yang tidak kunjung padam ini kita dapat berusaha kembali menebus maruah dan keperibadian dan peradaban dunia yang mempunyai keperibadian dan peradaban tinggi. Pada hari ini 18.12.1990 Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr. Abdul Hamid bin Othman telah merasmikan Seminar Pemikiran Islam Peringkat Kebangsaan yang Ketiga, bertempat di Pusat Islam, Kuala Lumpur. Seminar tersebut telah dihadiri oleh tokoh-tokoh pengajian Islam tempatan dan luar negara. Matlamat utama Seminar itu diadakan ialah untuk membincangkan peranan dan sumbangan imam Al-Nawawi kepada perkembangan dan pembangunan ilmu dan pemikiran Islam di seluruh dunia. Beberapa kertas kerja telah dibentangkan di seminar tersebut. Di antaranya ialah Kertas Kerja yang disediakan oleh Profesor Madya Abdul Hayei Abd. Syukur mengenai kitab syarh muslim. Kertas kerja itu membentangkan metod Imam AlNawawi dan menyarankan supaya kitab berkenaan dijadikan bahan rujukan utama untuk pelajar-pelajar di peringkat tinggi, di mana akan membolehkan mereka lebih arif dengan sumber-sumber yang dapat memberikan maklumat dan ilmu Islam yang ringkas, tepat dan betul. Dalam ucapannya Dato' Dr. Abdul Hamid berkata bahawa cendekiawan- cendekiawan Islam di negara ini perlu meningkatkan usaha untuk membetulkan salah faham mengenai pendidikan Islam dan sekular di kalangan umat Islam. Kedua-dua sistem itu perlu didekatkan untuk kebaikan semua umat Islam. Sesungguhnya seminar pemikiran Islam peringkat kebangsaan yang diadakan pada hari ini, diharap akan dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang berkaitan dengan umat Islam di negara ini. |