Tuesday, December 14, 2010

HARI INI DALAM SEJARAH

14 DISEMBER
PELANCARAN JAM TANGAN PERTAMA BUATAN MALAYSIA `HIPP’ OLEH PRECIMA SDN. BHD.
Tarikh Peristiwa Pada 14.12. 1989

Pada hari ini dalam tahun 1989, Majlis Pelancaran Jam Tangan Pertama buatan Malaysia di bawah jenama `HIPP’ telah dirasmikan oleh Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Y.B. Datuk Sri Rafidah Aziz. Perusahaan jam tangan tersebut telah dijalankan oleh Syarikat Precima Sdn. Bhd. iaitu sebuah Syarikat Swiss yang terlibat dalam pembuatan komponen jam di negara sejak 15 tahun yang lalu. Menurut Pengarah Urusan Precima Sdn. Bhd, Mr. Rolf Schnyder menyatakan bahawa koleksi pertama jam tangan tersebut di bawah jenama `HIPP’ diberi tema Tahun Melawat Malaysia 1990, dengan tujuan membantu memperkenalkan Malaysia di kalangan para pelancong. Menurut beliau, terdapat 10 corak permukaan bagi jam-jam tangan Tahun Melawat Malaysia, yang dijual dengan harga runcit di antara RM 70 hingga RM 80. Di antaranya ialah gambar bendera Malaysia, bangunan Sultan Abdul Samad, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan hidupan liar Malaysia. Sesungguhnya, Majlis Pelancaran jam tangan buatan Malaysia yang pertama telah menjulangkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa dalam bidang sains dan teknologi.

WAN MOHD. SAMAN MENINGGAL DUNIA
Tarikh Peritiwa Pada 14.12.1898

Pada hari ini dalam tahun 1898, Wan Mohd. Saman, tokoh yang terkenal dengan jasanya membangunkan ekonomi negeri Kedah melalui projek-projek pertanian telah meninggal dunia dan dimakamkan di Makam diRaja Langgar. Wan Mohd. Saman telah berkhidmat sebagai Perdana Menteri negeri Kedah semasa pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin dan meneruskan khidmatnya dibawah dua lagi pemerintah negeri Kedah iaitu Sultan Zainal Abidin Muadzam Shah II dan Sultan Abdul Hamid Shah. Beliau bertanggungjawab dalam mengutarakan idea untuk membina sebuah terusan di sepanjang Kota Setar hingga ke Gurun pada tahun 1885. Terusan yang dikenali sebagai terusan Wan Mohd Saman ini telah mengubah negeri Kedah kepada sebuah negeri Jelapang Padi. Terusan ini juga turut berperanan sebagai laluan perdagangan di antara Alor Setar ke Sungai Petani hinggalah ke Butterworth. Malah terusan ini juga telah menjadi asas kepada pembinaan jalan raya utama bagi negeri Kedah. Sesungguhnya, jasa dan sumbangan beliau terhadap kemajuan negeri Kedah adalah amat besar dan layak digelar sebagai Bapa Pembangunan Negeri.


Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...