Monday, December 20, 2010

HARI INI DALAM SEJARAH

20 DISEMBER
THE NEW STRAITS TIMES PRESS (MALAYSIA) BERHAD

Tarikh Peristiwa Pada 20.12.1961

Pada hari ini dalam tahun 1961, The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) telah ditubuhkan di bawah nama The Times Packaging Company Limited. NSTP adalah syarikat penerbitan suratkhabar yang terbesar di Malaysia. Tumpuan utama perniagaan kumpulan NSTP adalah dalam bidang penerbitkan dan pemasaran surat-surat khabar. NSTP menerbitkan empat jenis akhbar dalam bahasa Inggeris dan dua lagi akhbar dalam bahasa Malaysia. Di antara akhbar-akhbar bahasa Inggeris yang diterbitkan oleh syarikat ini termasuklah New Straits Times, New Sunday Times, The Malay Mail dan The Sunday Mail. Berita Harian dan Berita Minggu pula merupakan dua akhbar dalam bahasa Malaysia. Pusat operasi NSTP ialah di Balai Berita, Jalan Riong, Bangsar Kuala Lumpur. Antara aktiviti lain yang dijalankan oleh kumpulan tersebut termasuklah perkhidmatan teleteks dan penerbitan, pemborong dan perniagaan runcit majalah, akhbar berkala, buku, alat permainan bercorak pendidikan dan alatulis. Sesungguhnya, NSTP telah memainkan peranan penting sebagai media untuk mendidik dan menyampaikan maklumat kepada rakyat dalam mencapai wawasan negara.
PELANCARAN RANCANGAN BUKU HIJAU

Tarikh Peristiwa Pada 20.12.1974

Pada hari ini dalam tahun 1974, Perdana Menteri Tun Abdul Razak bin Hussein telah melancarkan Rancangan Buku Hijau, di Bilik Gerakan, Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur. Rancangan Buku Hijau atau “Gerakan Bumijaya” ini telah diperkenalkan semasa negara menghadapi masalah akibat inflasi dan merupakan lanjutan daripada Gerakan Pembaharuan yang telah dilancarkan oleh Tun Abdul Razak pda tahun 1972. Tujuan utama rancangan ini ialah untuk menambahkan hasil pengeluaran makanan dengan memaksimumkan penggunaan tanah. Melalui rancangan ini kerajaan berharap rakyat akan bergiat cergas dalam memajukan bidang ekonomi terutamanya dalam sektor pertanian. Ketika berucap pada majlis tersebut, Tun Abdul Razak menyatakan bahawa Rancangan Buku Hijau ini merupakan satu tindakan proaktif kerajaan dalam menghadapi inflasi melalui pengemblengan seluruh tenaga dan jentera untuk meningkatkan hasil pengeluaran makanan. Antara rancangan yang telah diberi penekanan ialah galakan tanaman jangka pendek dan penternakan ayam itik dan juga pemeliharaan ikan air tawar serta sistem pemasaran yang lebih licin melalui agensi-agensi seperti FAMA, LPP, RISDA dan Jabatan Pertanian .
Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...