Monday, December 13, 2010

HARI INI DALAM SEJARAH

13 Desember

RUMAH P. RAMLEE DIBUKA DENGAN RASMINYA DI JALAN P. RAMLEE, PULAU PINANG
Tarikh Peristiwa Pada 13-12-1981


Pada hari ini dalam tahun 1981, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan YB. Dato’ Sabbaruddin Chik telah merasmikan Rumah P. Ramlee, di Jalan P. Ramlee (Jalan Counter Hall) Pulau Pinang. Rumah tersebut telah dibina pada tahun 1926 oleh bapa P. Ramlee bersama bapa saudaranya, Rejab Hussain dan telah diperbaiki semasa zaman pendudukan Jepun. Memandangkan rumah tersebut adalah tempat tumpah darah Allahyarham P. Ramlee, maka Jabatan Arkib Negara Malaysia telah mengambil alih dan membaikinya. Projek membaik pulih rumah P. Ramlee merupakan sambungan kepada projek Pustaka Peringatan P. Ramlee dengan dua matlamat penting iaitu memelihara rumah tempat lahir Allahyarham P. Ramlee dan mengenengahkan maklumat mengenai Wira Seni Tanah Air. Rumah tempat kelahiran Allahyarham P. Ramlee tersebut mempunyai sebuah bilik, ruang tamu, serambi dan dapur. Pameran di dalam rumah tersebut meliputi koleksi asal bahan-bahan Allahyarham dan bahagian luar rumah mempamerkan basikal sezaman yang digemari oleh Allahyarham. Sesungguhnya, perasmian rumah P. Ramlee telah menarik minat para pelancong dan menjadi mercu tanda dan kenangan abadi kepada peminat-peminat seni tanah air masa kini dan generasi akan datang.


DASAR BELIA NEGARA DIUMUMKAN
Tarikh Peristiwa Pada 13.12.1985


Pada hari ini 13.12.1985, Dasar Belia Negara yang matlamat akhirnya membina belia untuk kesejahteraan negara diumumkan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Dr. Sulaiman Haji Daud. Dasar Belia Negara telah dirancang sejak 13 tahun lalu. Ianya telah menjadi kenyataan bila mana Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan Kerjasama Kementerian yang lain, Majlis Belia Malaysia, Majlis Perpaduan Belia Negara dan Institusi-institusi Pengajian Tinggi serta orang-orang perseorangan berganding tenaga dan fikiran menggubal dasar yang penting ini. Dasar Belia ini diwujudkan atas kesedaran bahawa 47% penduduk negara adalah terdiri daripada golongan belia. Dengan jumlah mereka yang ramai ini Kerajaan menyedari para belia boleh menjadi 'force' yang penting dan sumber utama tenaga dan 'asset' yang penting dalam pembangunan negara. Dalam dasar ini dinyatakan pembangunan belia hendaklah berasaskan prinsip-prinsip berikut:-

  1. Mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara.
  2. Mempunyai Semangat Perpaduan dan kesukarelaan dan mengamalkan prinsip autonomi.
  3. Mempunyai sifat-sifat kepimpinan yang matang dan bertanggungjawab
  4. Menggalakkan penyertaan dalam proses perancangan negara.
  5. Mempunyai moral yang tinggi dan sikap yang mementingkan kesihatan dan kecergasan diri.
  6. Mempunyai taraf keilmuan yang luas dan mendalam.

Datuk Dr. Sulaiman Daud di dalam kenyataannya melahirkan harapan agar Dasar ini dapat membentuk generasi belia yang sempurna, terancang dan bersatu padu. Juga diharapkan Dasar Belia Negara yang diumumkan pada hari ini dalam tahun 1985 menjadi garis panduan yang seragam dan menyeluruh untuk Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan juga pertubuhan belia yang lain dalam mengadakan programnya bagi matlamat pembangunan belia dan cita-cita negara.

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...