Wednesday, December 15, 2010

HARI INI DALAM SEJARAH

15 Disember
TUNKU ABDUL RAHMAN MERASMIKAN KONGRES KERJASAMA DI UNIVERSITI MALAYA

Tarikh Peristiwa Pada 15.12.1966


Semenjak negara mencapai kemerdekaan kerajaan telah berusaha dengan cara yang bersungguh-sungguh untuk membangun dan meningkatkan ekonomi bumiputra negara ini. Melalui rancangan Malaysia Pertama pelbagai program sektor ekonomi diberi penekanan. Penubuhan syarikat-syarikat kerjasama merupakan satu langkah bijak kepada kaum bumiputra dalam usaha-usaha untuk meningkatkan ekonomi masing-masing. Pada hari ini 15.12.1966 Y.A.B. Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra telah sudi merasmikan Kongres Kerjasama, bertempat di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Melalui kongres kerjasama tersebut beberapa perkara penting telah dibangkitkan di antaranya ialah:

  1. cadangan penubuhan persatuan kerjasama kebangsaan, yang mana akan menggabungkan lebih daripada 3000 buah syarikat kerjasama di bandar dan luar bandar.
  2. cadangan penubuhan Bank Kerjasama oleh semua syarikat kerjasama.

Dalam ucapan perasmiannya Tunku berkata bahawa hanya ada satu saja jalan yang boleh membawa kemajuan kepada bumiputra dalam bidang ekonomi sekarang iaitu menerusi syarikat-syarikat kerjasama. Dan sekiranya selama ini orang-orang Melayu secara bersendirian hanya dapat memohon kontrek kerja- kerja kecil, maka dengan menubuhkan syarikat kerjasama, kerajaan akan dapat memberikan kontrek kerja-kerja besar kepada mereka. Sesungguhnya Kongres Kerjasama yang diadakan pada hari ini diharap akan dapat meningkatkan lagi tahap ekonomi bumiputra, di samping itu diharap lebih ramai lagi bumiputra akan menceburi diri dalam syarikat-syarikat kerjasama.

PERJANJIAN PERDAGANGAN DI ANTARA BELANDA DENGAN SULTAN MAHMUD ISKANDAR SHAH DITANDATANGANI
Tarikh Peristiwa Pada 15.12.1653

Pada hari ini 15.12.1653, satu Perjanjian Perdagangan di antara Belanda yang diwakili oleh Joan Trujiman dengan Sultan Perak, Sultan Mahmud Iskandar Shah telah ditandatangani. Perjanjian Perdagangan seperti ini pernah dibuat di antara Belanda dengan Sultan Perak sebelumnya. Almarhum Sultan Muzaffar Shah II dalam tahun 1650. Perjanjian ini dibuat ketika negeri Perak masih lagi diawasi oleh pihak Belanda. Pihak Belanda telah menuntut gantirugi daripada Sultan Mahmud Iskandar Shah kerana dalam tahun 1651, semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah II, orang-orang Perak telah membinasakan loji-loji Belanda di Kuala Perak. Perjanjian ini juga menyatakan bahawa hanya pihak Belanda sahaja dibenarkan membeli bijih timah di Perak. Walaubagaimanapun orang-orang Perak tidak pernah menepati perjanjian tersebut. Mereka masih menjual bijih timah kepada saudagar-saudagar bangsa lain dengan mendapat harga yang lebih tinggi. Keadaan ini menyebabkan perniagaan Belanda terganggu dan merosot. Pihak Belanda terpaksa meninggalkan loji-loji perniagaan mereka di Kuala Perak dan seterusnya telah menyekat dan mengepung Kuala-kuala sungai dan perairan laut di sepanjang pantai Perak dengan tujuan untuk menyekat saudagar-saudagar bangsa lain datang membeli bijih timah di Perak. Semasa pemerintahan Sultan Mahmud Shah juga orang-orang Belanda telah menduduki Pulau Pangkor dan membina sebuah kota di Teluk Gedung bertentangan dengan pantai Teluk Muruk. Pihak Belanda berharap dengan adanya kota yang kuat mereka akan dapat mengawal urusan perniagaan di perairan Perak. Tetapi dalam tahun 1690 orang-orang Perak dengan diketahui oleh Panglima Kulub telah menyerang kota Belanda di Teluk Gedung dan berjaya mengusir orang-orang Belanda dari kota tersebut. Perjanjian demi perjanjian diadakan di antara Belanda dengan negeri Perak, tetapi orang-orang Perak masih enggan mematuhi syarat-syarat yang terkandung di dalam perjanjian-perjanjian tersebut. Begitu juga dengan perjanjian perdagangan di antara Belanda dengan Sultan Mahmud Shah yang ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1653, telah tidak mendatangkan apa-apa kesan faedah.

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...