Saturday, December 18, 2010

Masakan Malaysia Ke Mata Dunia

CHEF WAN (paling kanan) bersalaman dengan Yen Yen dalam acara pelancaran bukunya Asian Heritage Food Trial with CHEF WAN


SETIAP kali menonton rancangan masakan beliau di kaca televisyen, kita pasti dipimpin dengan resipi masakan yang baru dan pelbagai. Beliau juga satu-satunya chef yang bijak menghibur penonton dengan pelbagai celoteh yang sebenarnya mempunyai makna mendalam.

Celoteh yang paling diingati dan agak kerap didengari daripada chef berkenaan: "Makanan boleh bawa kita bersatu, makanan boleh menghasilkan cinta. Bila makan, kita semua bersama dan wujud cinta."

Mungkin keikhlasan celoteh yang disampaikan beliau telah menjadikan dirinya sebagai satu-satunya chef paling digemari dan mudah didekati.

Beliau yang dimaksudkan ialah Datuk Redzuawan Ismail. Lebih mesra dengan panggilan Chef Wan, beliau kini menjadi chef pertama yang dilantik sebagai Duta Pelancongan Makanan 2010/2012 Kementerian Pelancongan pada satu majlis di Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Anugerah ini, akan menyuntik semangat saya untuk bekerja lebih kuat demi mempromosi masakan Malaysia. Anugerah ini juga akan menggerakkan saya lebih jauh ke hadapan bagi memberitahu seluruh dunia tentang makanan Malaysia," katanya selepas menerima anugerah itu daripada Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran program televisyen ASEAN Heritage Food Trail with Chef Wan juga menyampaikan hasrat untuk memajukan pelancongan makanan di Malaysia melalui pelbagai program televisyen dan program semasa.

Tambah beliau, ASEAN Heritage Food Trail with Chef Wan bukan sekadar mempamer tarikan pelancongan malah memperkenalkan negara-negara ASEAN melalui makanan sebagai usaha mengeratkan hubungan kesemua negara tersebut.

Dalam ucapan ringkas itu, Chef Wan turut berkongsi peluang terbarunya tampil dalam rancangan masakan di saluran terkemuka United Kingdom, Channel 4.

"Saya menjadi anak Malaysia pertama dipilih untuk saluran itu dan ia pasti menjadi satu lagi langkah besar dalam kerjaya saya," katanya.

Hidangan ASEAN

RAMAI orang menyenangi Chef Wan kerana kemahiran memasak dan juga sifat humor dalam perbualan beliau.

Dalam majlis tersebut, turut disediakan makanan dari semua negara ASEAN selain makanan-makanan dan pencuci mulut dari Malaysia.

Antaranya ialah pai tee dari Singapura, popiah udang dan daging dari Vietnam, salad Thai segar, ikan bakar sentuhan Indonesia, salad mangga dari Kemboja, popiah kebanggaan Myanmar, pandag dari Brunei, lumpia dari Filipina dan Cherry Blossom dari Laos.

Antara sajian Malaysia yang diperaga pada majlis itu ialah wajik durian yang dibuat khas oleh Chef Ismail dari Restoran Rebung.

Selain selesksi hidangan tersebut, para pengunjung majlis pelancaran yang terdiri daripada wakil negara ASEAN selain tempatan turut di meriahkan dengan pelbagai makanan tempatan seperti sate, laksa, nasi ayam tauge, ayam percik, ikan bakar, rendang tok, kek, puding, cekodok, air batu campur, cendol dan teh tarik.

Yen Yen dalam ucapan pelancaran menyampaikan rasa teruja beliau berkenaan usaha kementeriannya memperkenalkan Malaysia di persada dunia melalui makanan.

"Kementerian ini mahu mempromosi pelancongan makanan kerana menerusi kempen seumpama ini, kita boleh mewujudkan bidang komersial, peruncitan dan kaitan pelanggan dengan industri hospitaliti dan makanan," kata beliau.

Turut dibentangkan, statistik pelancongan yang semakin memberangsangkan berikutan pelbagai usaha yang diambil pihak kementerian dalam menggalak industri itu.

Kata beliau, pada tahun ini, sehingga bulan Ogos lalu sahaja, Malaysia mencatat kemasukan pelancong asing sebanyak 16.18 juta orang dengan perbelanjaan mencecah RM36.5 bilion iaitu peningkatan sebanyak 5.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Pelancongan makanan tentu sekali memainkan peranan penting apabila statistik tahun 2009 mendedahkan sebanyak 17.4 peratus perbelanjaan pelancongan disumbangkan sektor makanan iaitu sebanyak RM9.29 bilion.

"Berikutan sambutan itu, kami menyasarkan untuk meningkatkan peratusan tersebut kepada 18.4 peratus iaitu RM10.3 bilion pada tahun 2010 iaitu tahun ini," katanya bertenaga.

ASEAN Heritage Food Trail with Chef Wan memulakan penggambaran 13 episod siri pada 11 November lalu sebelum disiarkan di Astro Prima atau Saluran 105 sepanjang dua minggu terakhir bulan ini.

Turut dilancarkan pada majlis itu ialah buku panduan makanan, ASEAN Heritage Food Trail with Chef Wan yang menyenarai pelbagai jenis dan lokasi makanan pilihan Malaysia beserta kadar harga serta sedikit latar belakang tentang chef-chef di Malaysia.

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...