Monday, December 27, 2010

Hari Ini Dalam Sejarah

Salam dan Salam 1 Malaysia,

Begitu pantas masa berlalu. Tak beberapa hari lagi kita akan meninggalkan tahun 2010 dan akan munculah tahun 2011. Aduh, cepatnya... bermacam-macam kenangan yang telah kita lalui, yang baik dan buruk. Apa pun kenangan yang lalu tetap berlalu, tapi elok juga di kenang untuk kenangan kita bersama.

Begitu juga dengan sejarah silam. Oleh itu, marilah kita sama-sama mengimbau kembali apakah sejarah yang telah berlaku pada hari ini, 27 Disember tahun....? mungkin juga hari ini adalah hari jadi anda dan sebaliknya.....jom kita baca.........

Coretan oleh : IBM

27 DISEMBER

PEMBUKAAN RASMI PELABUHAN SELAT KELANG UTARA

Tarikh Peristiwa Pada 27.12.1963


Pada hari ini dalam tahun 1963, Pelabuhan Selat Kelang Utara telah dirasmikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertempat di Pelabuhan Kelang. Projek bernilai $40 juta ini telah dirancang kira-kira tiga tahun sebelum perasmiannya Kerja-kerja pembinaannya telah diuruskan oleh Pentadbiran Keretapi Tanah Melayu dengan kerjasama sebuah syarikat dari Denmark. Peruntukan pula dibiayai dengan pinjaman daripada kerajaan Amerika. Sejak pelabuhan Pelabuhan Kelang atau nama lamanya Port Swettenham ditubuhkan pada tahun 1900, ia telah ditadbirkan sepenuhnya oleh Keretapi Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, menjelang perasmiannya, sebuah lembaga dikenali sebagai Pihak Berkuasa Pelabuhan telah ditubuhkan bagi mengambil alih kerja-kerja mengendalikan pelabuhan ini dari pentadbiran Keretapi Tanah Melayu. Pelabuhan Selat Kelang Utara mengandungi empat buah dermaga air dalam, gudang transit, pusat pemeriksaan kastam, depoh balak dan lain-lain. Sesungguhnya, pembinaan Pelabuhan Selat Kelang Utara diharap dapat menampung aktiviti memunggah barang yang bertambah sebanyak empat kali ganda di pelabuhan sebelumnya di samping meningkatkan peranannya sebagai nadi utama kemajuan perdagangan dan pembangunan ekonomi negara.


ARAHAN MENGGUNAKAN NAMA TELUK INTAN DIKELUARKAN
Tarikh Peristiwa Pada 27.12.1981

Pada hari ini 27.12.1981, Yang Dipertua Majlis Daerah Hilir Perak (MDHP) Encik Abdul Samat Haji Sabri telah mengedarkan surat arahan kepada semua jabatan-jabatan Kerajaan, pihak swasta termasuk kilang-kilang, syarikat-syarikat persendirian serta kedai-kedai perniagaan supaya menggunakan nama Teluk Intan. Mengikut surat arahan yang diedarkan tersebut penggunaan nama Teluk Intan akan mula berkuatkuasa 1 Januari 1982. Menurut Encik Abdul Samat yang juga Pegawai Daerah Hilir Perak menyatakan bahawa dengan pengedaran surat arahan tersebut diharapkan pihak-pihak berkenaan akan mematuhinya dengan menukar nama Teluk Anson kepada Teluk Intan tersebut. Sekiranya ada pihak yang tidak mematuhinya khususnya selepas tarikh kuatkuasa, pihak Majlis Daerah Hilir Perak akan mengambil tindakan yang perlu bagi melaksanakan arahan tersebut. Dengan pengedaran surat arahan itu diharapkan semua penduduk di daerah Hilir Perak amnya dan bandar Teluk Intan khususnya agar dapat mengubah tulisan nama bandar ini pada semua papan tanda yang bertulis perkataan Teluk Anson kepada Teluk Intan. Arahan perubahan nama ini adalah sesuai dengan keadaan masyarakat negara ini lagipun nama Teluk Intan sememangnya telah digunakan sehinggalah pihak pentadbiran Inggeris menukarnya kepada nama Teluk Anson mengambil sempena nama seorang pegawai Inggeris yang bertugas di Perak. Sesungguhnya arahan penukaran nama Teluk Anson kepada Teluk Intan pada hari ini dalam tahun 1981 itu adalah suatu yang baik ke arah mengurang atau menghapuskan nama-nama tempat yang berunsur penjajah di negara ini.

Sumber : Arkib Negara

ULASAN IBM : Kepada semua, selamat membaca !!

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...