Friday, December 17, 2010

HARI INI DALAM SEJARAH

17 DISEMBER

MELETUSNYA PERITIWA SEMANTAN
Tarikh Perisitiwa Pada 17.12.1891

Pada hari ini dalam tahun 1891, telah meletus insiden Semantan yang membabitkan Dato’ Bahaman dan Inggeris. Insiden tersebut merupakan kemuncak kepada rasa ketidakpuasan hati Dato’ Bahaman dan pengikut-pengikutnya terhadap campur tangan serta tindak tanduk Inggeris di Pahang. Keadaan menjadi semakin tegang apabila Tengku Mahmud dilantik sebagai Tengku Besar. Pihak Inggeris pula berusaha mengusulkan kepada Sultan supaya memecat Dato’ Bahaman dan menidakkan kedudukannya sebagai Orang Besar Delapan. Dengan pemecatan itu, Dato’ Bahaman telah hilang kuasa memungut cukai tradisi di daerahnya. Namun begitu, beliau tetap meneruskan amalan tersebut. Ekoran dari tindakannya itu, Dato’ Bahaman telah diarah menghadap ke Pekan namun pendakwaan ke atasnya dibatalkan. Pihak Inggeris yang tidak putus asa untuk menyekat tindakan Dato’ Bahaman melakukan tangkapan terhadap tiga orang pengikut beliau. Penangkapan tersebut dilakukan ketika pegawai-pegawai Inggeris sedang memudiki Sungai Semantan. Penangkapan tersebut telah mencetuskan serangan balas oleh Dato’ Bahaman bersama pengikut-pengikutnya lalu terjadilah peristiwa Semantan pada hari ini dalam tahun 1891.

MALAYSIA - ARAB SAUDI TANDATANGANI KERJASAMA BIDANG PENERANGAN


Tarikh Peristiwa Pada 17.12.1982

Hubungan persahabatan di antara pelbagai negara akan mendatangkan hasil yang lebih baik jika kedua-dua pihak kerajaan dapat memberikan komitmen dan penyertaan yang menyeluruh. Pada 17 Disember 1982 satu perjanjian kerjasama bidang penerangan di antara kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Arab Saudi telah diadakan. Malaysia diwakili oleh Pemangku Menteri Penerangan Datuk Rais Yatim dan Arab Saudi diwakili oleh Menteri Penerangan iaitu Sheikh Dr. Mohamad Abdul Yamani. Melalui perjanjian ini kerjasama kedua-dua negara dalam bidang penerangan iaitu meliputi petukaran rancangan-rancangan radio dan televisyen, filem serta buku mengenai pembangunan negara masing-masing. Serentak dengan ini juga kedua-dua negara bersetuju mengadakan rancangan pertukaran kakitangan radio dan televisyen serta wartawan. Melalui kerjasama di bidang penerangan ini diharap rakyat kedua-dua negara akan dapat mengenal dengan lebih mendalam di antara satu sama lain. Bagi menyelaras pelaksanaan projek ini, kedua-dua negara bersetuju menubuhkan satu Jawatankuasa yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan bagi pihak Malaysia dan Timbalan Menteri Penerangan Arab Saudi dan pegawai-pegawai tinggi kementerian penerangan masing-masing. Persetujuan yang dicapai pada hari ini merupakan langkah untuk merapatkan hubungan antara kedua-dua negara dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...