MAJLIS AMANAH RAKYAT (MARA) DITUBUHKAN Tarikh Peristiwa : 01-02-1966 |
Pada hari ini dalam tahun 1966, Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah ditubuhkan sebagai sebuah badan berkanun di bawah Akta MARA 1966. Objektif utama penubuhan MARA adalah untuk menambah dan meningkatkan penyertaan kaum Bumiputera dalam kegiatan perdagangan dan perindustrian serta meningkatkan taraf ekonomi dan sosial Bumiputera sejajar dengan Dasar Ekonomi Baru. Ini dilakukan dengan menggalak, membimbing, melatih dan membantu Bumiputera dalam kegiatan perdagangan dan perusahaan ke arah pembentukan masyarakat peniaga Bumiputera yang berjaya. Penubuhan MARA adalah berasaskan cetusan idea dalam Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama yang telah diadakan pada tahun 1965 di Kuala Lumpur. Melalui Kongres tersebut, resolusi yang mahukan agar RIDA disusun semula telah diluluskan. RIDA atau Rural and Industrial Development Authority ditubuhkan pada tahun 1953 bagi membangun dan memajukan masyarakat di kawasan luar bandar. Sejak penubuhannya banyak pembangunan dan kemajuan telah dicapai oleh MARA. Kekuasaan ekonomi Bumiputera menjadi cabaran masa kini dan agenda utama MARA dalam usaha untuk memastikan Bumiputera mempunyai kedudukan yang sewajarnya. |
PERASMIAN MAKTAB PERGURUAN TEKNIK DI CHERAS, SELANGOR |
Tarikh Peristiwa : 01-02-1969 Pendidikan di bidang teknik dan vokasional memainkan peranan yang penting bagi melahirkan golongan pekerja yang terlatih untuk sektor perindustrian, pembuatan serta teknologi. Kerajaan Malaysia, usaha-usaha mengadakan golongan yang berkelayakan untuk mengajar di bidang teknik dan vokasional telah bermula sejak tahun 1960an lagi, usaha-usaha ini bermula dengan penubuhan Maktab Teknik pada 1/3/1969 di Jalan Cheras, Selangor. Pembukaan Maktab Teknik yang berharga 4 juta ini bertujuan untuk mengeluarkan guru-guru teknik selaras dengan perkembangan sekolah-sekolah teknik dan vokasional di negara ini. Berucap semasa merasmikan penubuhan Maktab ini Encik Khir Johari berkata kebanyakan generasi muda berkehendakan latihan di dalam bidang sains, teknik, teknologi dan pertukangan bagi melaksanakan pembangunan negara. Pada tahun 1969, sahaja terdapat 11 buah Sekolah Menengah Vokasional dan 3 buah Sekolah Menengah Teknik di negara ini dan dijangka akan bertambah dengan perkembangan-perkembangan semasa. Peranan pendidikan vokasional dan teknik semakin berkembang hari ini, selaras dengan usaha-usaha negara menuju sebuah negara yang maju pada tahun 2020. TERUSKAN MEMBACA - IBM [SUMBER : ARKIB NEGARA] |