Wednesday, March 23, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

ASSALAMUALAIKUM SEMUA.


23 MARCH


DYMM SULTAN ABDUL HAMID HALIM SHAH DILANTIK SEBAGAI PEMERINTAH KEDAH
Tarikh Peristiwa : 23-03-1882

Sultan merupakan lambang penyatuan rakyat jelata yang bernaung di sesebuah negeri. Ia juga merupakan pemimpin dan lambang ketuanan Melayu di masa silam hingga kini. Pada hari ini 23.3.1882, DYMM Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin telah disahkan perlantikannya sebagai pemerintah Kedah oleh Kerajaan Siam. Pengesahan perlantikan oleh Kerajaan Siam itu telah mengambil masa selama lima bulan ekoran dari perselisihan dan perebutan kuasa yang berlaku di Kedah. Perbalahan berlaku apabila Tengku Kudin (Tengku Ziauddin) yang cuba menaikkan Tunku Kassim sebagai ganti dengan mengenepikan Raja Muda iaitu Tunku Abdul Hamid. Bagaimanapun ianya ditentang oleh Tunku Yaakob, Wan Muhammad Saman dan Wan Hajar yang menyokong Tunku Abdul Hamid untuk ditabal sebagai pemerintah Kedah. Tunku Kudin cuba menaikkan menantunya Tunku Kassim dengan harapan akan dapat menguasai Kerajaan Kedah kemudiannya. Bagaimanapun dengan pemilihan Tunku Abdul Hamid sebagai Sultan Kedah krisis perebutan takhta yang boleh mencetuskan perang saudara telah dapat diatasi. Kerajaan Siam juga turut menolak permintaan Tunku Kudin yang mahukan daerah pemerintahannya sendiri. Dengan perlantikan Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukaram Shah, pada tahun 1882 ini maka bermulalah suatu era baru dalam sejarah Kedah yang akhirnya menjadikan baginda dikenali sebagai Pengasas Kedah Moden. DAN PADA HARI YANG SAMA.........



PENYERAHAN PANJI-PANJI DIRAJA KEPADA PASUKAN ASKAR MELAYU DAN PASUKAN KOR PENINJAU
Tarikh Peristiwa : 23-03-1963

Pada hari ini dalam tahun 1963, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Ibni AI-Marhum Syed Hassan Jamalullail telah berangkat penyempurnakan istiadat penganugerahan Panji-Panji Diraja kepada Pasukan Askar Melayu dan juga Kor Peninjau Persekutuan. Upacara penuh bersejarah ini telah diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dengan dihadiri lebih 15,000 orang. Turut serta di upacara itu ialah DYMM Sultan Terengganu, Sultan Ismail Nasiruddin Shah selaku Kolonel Komandan Pasukan Peninjau Persekutuan dan DYMM Sultan Pahang, Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al Muadzam Shah selaku Kolonel Komandan Askar Melayu Diraja; DYMM. Sultan Brunei; Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dan Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak; Ketua Turus Angkatan Tentera, General Sir Rodney Moore dan Ketua Turus Angkatan Darat, Tentera Persekutuan, Mejar Jeneral Tengku Mohamad Jewa, dan juga diplomat-diplomat asing. Yang di-Pertuan Agong telah menyampaikan Panji-panji Diraja kepada Kapten Hussein bin Hashim bagi pihak Askar Melayu Diraja dan Kapten V. T. Lee bagi pihak Pasukan Peninjau Persekutuan. Penganugerahan Panji-panji Diraja itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada kedua-dua pasukan angkatan bersenjata itu di atas khidmat, jasa-jasa dan kesetiaan yang telah diberikan dalam mempertahankan tanah air dari ancaman musuh, terutamanya semasa serangan Jepun dan keganasan komunis zaman darurat.

SELAMAT MEMBACA. IKHLAS DARI : IBM
[SUMBER : ARKIB NEGARA]
Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...