Saturday, March 5, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

05 MARCH

Assalamualaikum semua.
Hari ini dalam sejarah diteruskan......teruskan membaca...

PENGUMUMAN PENUBUHAN MAJLIS SUKAN NEGARA

Tarikh Peristiwa : 05-03.1969

Pada hari ini dalam tahun 1969, penubuhan Majlis Sukan Negara telah diumumkan. Usul penubuhan Majlis Sukan Negara telah diluluskan oleh kabinet pada 27 April 1971 dan ditubuhkan di bawah Akta Majlis Sukan Negara Malaysia 1971 dan Akta Majlis Sukan Negara (pindaan 1979). Majlis Sukan Negara telah dilancar secara rasmi pada 21 Februari 1972 oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein. Pada peringkat awal penubuhannya, program-program sukan berprestasi tinggi dilaksanakan di bawah kendalian Bahagian Sukan, Kementerian Belia dan Sukan. Matlamat penubuhan Majlis ini adalah selaras dengan Dasar Sukan Negara, iaitu bertanggungjawab sepenuhnya ke arah penggalakan, pembangunan dan pencapaian cemerlang sukan dalam pertandingan peringkat tertinggi. Manakala objektif penubuhannya adalah:

i. memaju dan mempertingkatkan prestasi atlet negara daripada peringkat Tunas, Bakat, Pelapis dan Elit bagi menyertai pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa;

ii. mempertingkatkan kualiti, pengetahuan dan kemahiran jurulatih, pegawai teknikal dan pegawai pentadbir sukan tempatan;

iii. menyediakan peluang penyertaan yang lebih luas dalam bidang sukan peringkat negeri dan daerah;

iv. menyediakan program perkhidmatan, khidmat nasihat, kepakaran, dokumentasi, perpustakaan, penyelidikan sains serta perubatan sukan;

v. memperuntukkan Skim Galakan dan ganjaran untuk atlet, jurulatih dan pentadbir sukan sebagai dorongan ke arah peningkatan prestasi yang tinggi;

vi. membantu, memperbaiki dan memperkemaskan persatuan dan pertubuhan sukan peringkat daerah, negeri dan kebangsaan;

vii. membantu memperkemaskan jentera pentadbiran Majlis Sukan Negeri dan merancang bersama pelaksanaan program pembangunan sukan peringkat kebangsaan;

viii. merancang dan menguruskan kemudahan sukan yang diletakkan di bawah tanggungjawab Majlis; dan

ix. menyelaras pengelolaan Sukan Malaysia



SETERUSNYA DIHARI YANG SAMA DI PULAU PINANG.....

PERASMIAN PELANCARAN MELAWAT PULAU PINANG 88’
Tarikh Peristiwa : 05-03-1988
Pada hari ini dalam tahun 1988, Y.B. Dato’ Sabbaruddin Chik, Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia telah merasmikan pelancaran Melawat Pulau Pinang 88’ bertempat di Kebun Bunga, Pulau Pinang. Program Melawat Pulau Pinang 88’ ini berlangsung sehingga bulan Februari 1989 dan melibatkan kira-kira 100 acara. Dalam ucapannya Y.B. Dato Sabbaruddin menyatakan, Industri Pelancongan merupakan penyumbang pendapatan tukaran wang asing yang keempat terbesar kepada ekonomi negara iaitu menghasilkan kira-kira RM 1.79 juta bagi tahun 1987. Beliau juga menyatakan bahawa Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan akan menyusun rancangan pembangunan jangka panjang yang diperlukan oleh industri dari segi pembangunan infrastruktur dan superstruktur serta produk-produk pelancongan lain yang akan diselaraskan oleh Jawatankuasa Induk Pelancongan yang telah ditubuhkan pada akhir tahun 1987. Beliau juga menyeru kepada media massa khususnya akhbar agar tidak menyiarkan perkara-perkara yang boleh merosakkan imej negara. Sesungguhnya, kerjasama di antara kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri serta pihak swasta memainkan peranan penting dalam menjayakan industri pelancongan negara.

* SELAMAT BERISTERIHAT DIHUJUNG MINGGU DAN SELAMAT MEMBACA - IBM
[SUMBER : ARKIB NEGARA]
Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...