Sunday, March 27, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

27 MARCH

ASSALAMUALAIKUM SEMUA.

Teruskan membaca demi untuk daya ingatan yang bernas.....

PINDAAN PERLEMBAGAAN NEGERI SEMBILAN DILULUSKAN OLEH MAJLIS NEGERI SEMBILAN
Tarikh Peristiwa : 27-03-1959

Pada hari ini 27.3.1959, Majlis Negeri Sembilan telah meluluskan Pindaan Perlembagaan Negeri Sembilan. Majlis Negeri Sembilan yang lama akan dibubarkan pada 14 April 1959. Pindaan utama di dalam Perlembagaan Negeri Sembilan ialah pembentukan Dewan Perundangan yang mempunyai 24 ahli dengan seorang Menteri Besar yang dipilih. Ia juga mewujudkan Dewan Keadilan Dan Undang. Dewan ini akan memberi nasihat kepada pemerintah di dalam perkara-perkara berkaitan dengan adat orang-orang Melayu dan perkara-perkara yang dirujukkan kepada Dewan ini oleh pemerintah dan undang. Dewan ini dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Pindaan Perlembagaan ini juga telah mengiktiraf perlantikan Dato Shahbandar, Sungai Ujong. Pindaan Perlembagaan Negeri Sembilan telah banyak membawa perubahan di dalam sistem pentadbiran Negeri Sembilan.

MENTERI PERTANIAN DAN SYARIKAT KERJASAMA MERASMIKAN PELANCARAN MOTORBOT PERONDA JABATAN PERIKANAN NEGERI TERENGGANU
Tarikh Peristiwa : 27-03-1969

Keamanan di kawasan-kawasan perairan menangkap ikan merupakan faktor penting kepada nelayan-nelayan dalam usaha mereka untuk mencapai kemajuan yang lebih pesat dalam lapangan perusahaan perikanan. Menyedari kepentingan perkara tersebut Kerajaan telah membekalkan beberapa buah motorbot peronda untuk digunakan dalam menjaga keselamatan kawasan perairan negara ini. Pada hari ini 27.3.1969 Menteri Pertanian Dan Syarikat Kerjasama, Tuan Haji Mohd Ghazali bin Jawi telah merasmikan pelancaran 2 buah motorbot peronda Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, di Kuala Terengganu. Motorbot peronda tersebut yang berharga RM 226,000 telah dibina oleh Limbungan MARA, Kuala Terengganu akan digunakan untuk membuat rondaan di kawasan perairan di Negeri Terengganu.Semasa berucap di perasmian tersebut Tuan Haji Mohd. Ghazali Jawi berkata bahawa dengan penyampaian tauliah kepada 2 buah motorbot peronda tersebut, maka Bahagian Perikanan telah berjaya menyiapkan tiga buah Motorbot Peronda Kelas PA, panjang 45 kaki dan 3 buah lagi Motorbot Peronda yang sampai dijangka siap pada akhir tahun ini ataupun di awal tahun 1970. Dengan pertambahan motorbot peronda, maka ketenteraman dan keselamatan nelayan-nelayan kita boleh diselenggarakan di samping dapat mewujudkan suasana harmoni dan kepercayaan penuh di kalangan nelayan-nelayan kita dalam meneruskan usaha-usaha penangkapan ikan dengan yang demikian dapat menambahkan lagi hasil pengeluaran ikan negara.

SELAMAT MEMBACA. IKHLAS DARI : IBM

[SUMBER : ARKIB NEGARA]


Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...