PELANCARAN RASMI PERSATUAN KEBANGSAAN MENCEGAH SALAH GUNA DADAH Tarikh Peristiwa : 22-03-1976 |
Pada hari ini dalam tahun 1976, Persatuan Kebangsaan Salahguna Dadah telah dilancarkan dengan rasminya oleh Y.A.B Datuk Hussein Bin Onn, Perdana Menteri Malaysia. Ia telah diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumpur. Perdana Menteri dalam perutusannya, menyifatkan masalah penyalahgunaan dadah adalah musuh nasional yang melibatkan penduduk negara ini terutamanya golongan muda. Ia merupakan ancaman yang berat pada negara kerana perbuatan ini akan melemahkan tenaga rakyat dan akan membawa kepada kemerosotan usaha pembangunan dan kemajuan. Kerajaan telah mengambil tindakan tegas dalam hal ini, dengan berusaha menghapuskan penyeludup dan pengedar dadah serta melaksanakan usaha-usaha lain seperti mencegah, memberi rawatan dan pemulihan percuma bertujuan menyelamatkan rakyat negara ini. Sebahagian besar masyarakat sedar akan bahaya dadah, namun kesedaran dan usaha kerajaan itu tidak bermakna jika kerjasama dari masyarakat terutamanya dari segi didikan ibubapa di rumah tidak dilaksanakan dengan baik. Untuk melibatkan masyarakat dan ibubapa dalam usaha mencegah dan mengatasi masalah dadah ini, maka Persatuan Kebangsaan Mencegah Salahguna Dadah ditubuhkan demi kebaikan masyarakat dan negara. |
PERASMIAN PUSTAKA PERINGATAN P. RAMLEE Tarikh Peristiwa : 22-03-1986 |
Sesuatu penghargaan terhadap jasa dan bakti seseorang tokoh Tanah Air, merupakan suatu perkara yang perlu diberi perhatian berat, walau dalam apa bidang sekalipun, sama ada bidang politik, ekonomi, kebudayaan, kesenian dan sebagainya. Justeru itu untuk memperingati jasa dan bakti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam bidang seni tanahari, maka pelbagai usaha oleh Jabatan-jabatan Kerajaan, Institusi Perfileman, keluarga-keluarga Allahyarham dan Allahyarhamah, SENIMAN, PAPITA, media massa dan lain-lain telah dijalankan bagi menubuhkan sebuah Pustaka Peringatan P. Ramlee. Pada hari ini 22.3.1986, Pustaka Peringatan Seniman Agung P. Ramlee telah dibuka dengan rasminya oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Dr. Sulaiman bin Daud. Pustaka ini adalah di bawah pentadbiran dan pengelolaan Jabatan Arkib Negara Malaysia. Pustaka Peringatan P. Ramlee terletak dibekas kediaman Allahyarham di No.22 Jalan Dedap, Taman Furlong, Setapak, antara lain bertujuan:
Di antara bahan-bahan Allahyarham yang dipamerkan termasuk surat-menyurat, dokumen, buku, filem, piring hitam, pita rakaman, anugerah kebesaran serta hadiah-hadiah yang diterima oleh Allahyarham sepanjang penglibatannya dalam dunia seni tanahair. Datuk Dr. Sulaiman Daud dalam ucapan perasmiannya telah mengumumkan pertukaran nama Taman Furlong kepada Taman P. Ramlee. Di samping itu beliau juga berharap melalui penubuhan Pustaka Peringatan P. Ramlee itu akan dapat membuatkan masyarakat menjadikan seniman agong tersebut sebagai contoh ke arah meninggikan lagi dunia seni tanah air. Sesungguhnya dengan penubuhan dan perasmian Pustaka Peringatan P. Ramlee pada hari ini, di harap generasi-generasi muda yang berkecenderungan dalam bidang seni akan menjadikan Allahyarham P. Ramlee sebagai sumber ilham terbaik dalam mengejar cita-cita mereka untuk meningkatkan martabat seni tanah air. SELAMAT MEMBACA SEMUA - IBM [Sumber : ARKIB NEGARA] |