Thursday, March 3, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

Persidangan Dewan Rakyat

SALAM 2 ALL. HARI INI DALAM SEJARAH.......

DEWAN RAKYAT MELULUSKAN RANG UNDANG-UNDANG BAHASA KEBANGSAAN 1967
Tarikh Peristiwa : 03-03-1967

Pada hari ini 3.3.1967 Bahasa Melayu telah dijadikan Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi yang tunggal bila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan 1967. Rang Undang-Undang ini telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman pada 2 Mac 1967 dan telah disokong oleh Menteri Kewangan Tan Siew Sin. Perbahasan yang hangat telah terjadi selama dua hari suntuk dengan bangkangan dari ahli-ahli PAS yang diketuai oleh Dato Mohammad Asri Hj. Muda. Tokoh-tokoh bahasa, sasterawan dan rakyat melayu memang telah lama berjuang untuk menegakkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi. Walau bagaimanapun usaha ini kurang berjaya dan pemimpin-pemimpin kerajaan berjanji akan menaikkan taraf Bahasa Melayu kepada Bahasa Kebangsaan dan rasmi hanya 10 tahun selepas merdeka 1957. Oleh kerana itu Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, Perkara 52, Fasal I, telah mencatitkan bahawa bahasa-bahasa lain tidak boleh ditegah dari digunakan. Fasal 3, 4 dan 5, pula telah membenarkan bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa rasmi, bahasa Undang-Undang, perbincangan dan tugas-tugas mahkamah. Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan 1967 ini adalah bertujuan untuk menghapuskan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dan menggantikannya dengan Bahasa Melayu. Di samping itu juga, perbahasan di parlimen mestilah dijalankan dalam Bahasa Melayu. Walau bagaimanapun bahasa-bahasa lain masih boleh digunakan dalam kehidupan harian ataupun dengan cara membuat terjemahan ke dalam Bahasa Melayu. Di Sabah dan Sarawak, Bahasa Inggeris masih boleh digunakan sebagai bahasa rasmi kecuali kalau ada bantahan dari Dewan Undangan Negeri. Setelah dibahaskan dengan begitu hangat, Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan 1967 telah berjaya diluluskan oleh Dewan Rakyat pada hari ini dalam tahun 1967. Bangkangan-bangkangan terhadap Rang Undang-Undang ini datangnya dari ahli-ahli PAS, berjumlah 9 orang dan beberapa orang tokoh-tokoh politik seperti Dato S.P.Seenivasagam, dan C.D.Devan Nair. Dengan lulusnya Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan 1967 itu Bahasa Melayu akhirnya dimahkotakan sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi yang tunggal di negara kita dan berkuatkuasa mulai 1 September 1967. DAN SETERUSNYA PADA HARI YANG SAMA.....



PENUBUHAN JAWATANKUASA MENGKAJI MATLAMAT-MATLAMAT LATIHAN PERGURUAN
Tarikh Peristiwa : 03-03-1971

Kajian semula merupakan agenda yang penting terutama sekali berkaitan memperbaiki hasil sesuatu keluaran, kos operasi serta ke arah proses-proses memperbaiki mutu. Bagi Kementerian Pelajaran Satu Jawatankuasa Mengkaji Matlamat-matlamat Latihan Perguruan telah ditubuhkan pada 3.3.1971.
Jawatankuasa ini ditubuhkan bertujuan mengkaji serta memperbaiki perkembangan sistem pendidikan dan pelajaran di negara ini. Di samping mewujudkan perpaduan melalui pendidikan.
Beberapa perkara telah diatur bagi menjayakan tugas dan dan tanggungjawab jawatankuasa ini iaitu:

  1. Mengadakan pemilihan calon untuk latihan perguruan dengan teliti dan bijaksana;
  2. Memberi latihan ikhtisas sepenuhnya kepada guru yang bakal menjadi pengajar/pembimbing kepada pelajar-pelajar.
  3. Memupuk semangat taat setia para guru kepada negara dan memberi peluang untuk perkembangan peribadi mereka.

Ekoran daripada cadangan Jawatankuasa ini, program latihan perguruan telah disemak semula dalam tahun 1970an di mana seorang pakar British Prof. Alee Rose dari Universiti of Lacester telah diundang ke Maktab-maktab Perguruan di seluruh negara pada tahun 1972. Untuk mengkaji serta memberi pandangan mengenai masalah memperkemas dan mempertingkatkan mutu latihan perguruan kebangsaan di negara ini. Usaha-usaha bagi memperbaiki latihan perguruan ini, seiring dengan perubahan-perubahan semasa di dalam bidang pendidikan serta usaha-usaha untuk melahirkan generasi pelajar yang mampu menghadapi cabaran abad akan datang.

* KEPADA PARA PEMBACA YANG BUDIMAN SUDI-SUDILAH MEMBACA - IBM

[SUMBER : ARKIB NEGARA]

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...