Saturday, March 12, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

12 MARCH
ASSALAMUALAIKUM


Gambar Jambatan Kota Kelang


PEMBINAAN JAMBATAN KOTA DI KELANG DILULUSKAN
Tarikh Peristiwa : 12-03-1957

Pembinaan sesuatu jambatan memainkan peranan penting untuk kemajuan dan perhubungan sesuatu tempat. Pada hari ini 12.3.1957, Kerajaan telah meluluskan pembinaan Jambatan Kota di Kelang, Selangor. Jambatan itu dibina oleh Syarikat British Dormon Long, dengan perbelanjaan kira-kira 7 juta ringgit, merupakan jambatan terbesar ketika itu dan panjangnya 1500 kaki. Jambatan itu dibina 2 tingkat dan di bahagian atasnya mempunyai sebatang jalan untuk kenderaan dari Kuala Lumpur ke Port Swettenham dan sebaliknya dan bahagian bawahnya ialah khas untuk beca, basikal dan kenderaan-kenderaan ringan yang lain. Jambatan itu adalah sangat penting kepada ekonomi negara kerana ia menghubungkan Kuala Lumpur dengan Port Swettenham (Pelabuhan Kelang). Jambatan itu juga memainkan peranan penting kepada kemajuan Pelabuhan Kelang. Tanpanya, Pelabuhan Kelang tidak akan maju dan dapat berfungsi sepenuhnya kerana melalui jambatan Kotalah segala hasil dagangan dari Semenanjung Tanah Melayu di bawa untuk dieksport melalui Pelabuhan Kelang dan barang-barang yang diimport dari Pelabuhan itu di bawa ke serata tempat di negara ini. JUGA PADA HARI YANG SAMA....


MARDI CIPTA MESIN BUAT LEMANG
Tarikh Peristiwa : 12-03-1988

Penyelidikan yang dijalankan oleh sektor Kerajaan telah mencapai pelbagai kejayaan. Perkembangan dalam penyelidikan dan pembangunan merupakan faktor penentu hasil ciptaan di sektor ini semakin meningkat. Salah satu daripada badan kerajaan yang menjalankan kajian dan penyelidikan ialah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). Pada hari ini 12.3.1988 Mardi mencipta satu sejarah lagi dalam bidang penyelidikan apabila berjaya menghasilkan mesin mengeluarkan lemang. Mesin pemprosesan lemang ini hasil ciptaan anak tempatan yang bertugas di Mardi iaitu Encik Samsudin Ahmad, Encik Mohd. Zainal Ismail dan Encik Mohd. Shaidi Arifin. Mesin memasak lemang ini mengambil masa dua jam sahaja untuk memasak lemang berbanding dengan menggunakan teknik tradisi yang mengambil masa 6 jam. Antara kelebihan mesin ini ialah mesin ini dapat mengekalkan rasa asli lemang, ringan, mutu terkawal dan lebih seragam lemang yang dimasak. Kos membina mesin ini dengan muatan sepuluh batang ialah RM 1,300.00 dan RM 2,250.00 bagi muatan 20 batang dan jika dijaga dengan baik boleh tahan sampai 10 tahun. Bagi menggantikan buluh, pihak penyelidikan menggunakan keluli tahan karat yang mempunyai kadar pengaliran haba yang sekata. Kemajuan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan telah banyak membantu penghasilan peralatan yang berkaitan dengan penyediaan makanan tradisional untuk dihasilkan dalam kuantiti yang banyak. Usaha sebegini akan dapat meningkatkan pendapatan penduduk terutama masyarakat luar bandar yang mengusahakan perusahaan makanan tradisional.

SELAMAT MEMBACA DAN BERISTERIHAT DI HUJUNG MINGGU - IBM

[SUMBER : ARKIB NEGARA]

[

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...