Tuesday, June 21, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

DARI MEJA IBM :
ASSALAMUA'LAIKUM W.B.T SALAM UKHWAH DAN SALAM SEJAHTERA KEPADA SEMUA

21 JUN


MAJLIS PERAYAAN ULANGTAHUN YANG KE 75 (JUBLI INTAN) MAKTAB MELAYU KUALA KANGSAR, PERAK
Tarikh Peristiwa : 21.06.1980

Maktab Melayu Kuala Kangsar telah ditubuhkan pada 1905 yang mana ianya merupakan sebuah sekolah berasrama penuh bagi anak-anak lelaki Melayu. Sultan Idris telah menyokong penuh penubuhan maktab itu dan bersedia untuk menyediakan tapaknya di bandar Diraja Kuala Kangsar, Perak. Encik W. Hargreaves telah ditugaskan sebagai Guru Besar yang pertama di mana beliaulah yang mengasaskan corak perkembangan maktab tersebut. Pada hari ini 21.6.1980 ke bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’Ayatuddin Al-Mu’adzam Shah dan Ke Bawah DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tengku Hajjah Afzan binti Tengku Muhammad telah berkenan berangkat mencemar duli ke upacara majlis perayaan Jubli Intan, ulangtahun yang ke 75 Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak. Dalam Majlis tersebut Ke bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong telah bertitah bahawa baginda merasa bangga kerana bekas penuntut-penuntut maktab itu telah dan sedang meneroka serta membanjiri semua bidang perkhidmatan masyarakat samada dalam jurusan sosial, politik, ekonomi ataupun lapangan profesional yang lain. Baginda juga bertitah bahawa masalah penyalahgunaan dadah dan gerakan subversif adalah merupakan bahaya yang amat besar kepada masyarakat. Selalunya murid-murid atau belia tidak sedar yang mereka itu diperalatkan oleh anasir-anasir yang bertanggungjawab kepada pengedaran dadah dan gerakan subversif, kerana usaha anasir-anasir ini untuk memujuk dan mendapatkan mangsanya adalah terlalu halus. Adalah menjadi tanggungjawab guru-guru dan ibu bapa serta penuntut-penuntut sendiri, supaya mengawasi kedua-dua bahaya ini. Di samping itu Baginda mengingatkan bahawa kejayaan sesebuah Institusi Pelajaran, memang dapat dicapai, asalkan sahaja adanya kerjasama antara guru-guru dengan ibu bapa serta pelajar-pelajar. Baginda yakin sekiranya ketiga-tiga ini bekerjasama dan menunaikan kewajipannya masing-masing maka sesebuah institusi pelajaran itu boleh mencapai kejayaan yang dikehendaki dengan tidak mengirakan di manakah sesebuah institusi itu berada, samada di kampung-kampung atau di bandar-bandar. Bersempena dengan lawatan tersebut, Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong telah berkenan melakukan upacara meletakkan batu asas Bangunan Makmal Bahasa, Maktab Melayu Kuala Kangsar. Sesungguhnya dengan adanya Majlis Jubli Intan pada hari ini diharap akan meningkatkan lagi kualiti pendidikan maktab tersebut ke tahap yang lebih cemerlang, di samping menjadi tauladan kepada institusi-institusi pendidikan lain dalam membentuk generasi muda yang beriltizam dan berwawasan.



SELAMAT MEMBACA : IKHLAS DARI : IBM
SUMBER : ARKIB NEGARA
Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...