Saturday, February 19, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

19 FEBRUARI

Assalamualikum Semua Pembaca Yang budiman.



PEJABAT PERHUBUNGAN RAYA DIUBAH NAMANYA KEPADA JABATAN PENERANGAN

Pada hari ini 19.2.1951, Pejabat Perhubungan Raya telah diubah namanya kepada Pejabat Penerangan. Sejarah awal penubuhannya bermula sejak 1945 di bawah Pentadbiran Tentera British dengan nama Jabatan Publisiti dan Cetak. Walaubagaimanapun jabatan ini ditukarkan namanya kepada Jabatan Perhubungan Raya sehinggalah pada hari ini dalam tahun 1951 bilamana ianya sekali lagi berubah nama menjadi Jabatan Penerangan.

Sebagai sebuah jabatan ia kini berfungsi sebagai satu bahagian tetap dalam jentera kerajaan dengan objektifnya seperti berikut:-

  1. mengadakan pertukaran dua hala antara kerajaan dan rakyat dengan menggunakan teknik-teknik komunikasi am dan penerangan bersemuka; dan
  2. Memberi penerangan mengenai dasar-dasar dan tindakan Kerajaan sementara reaksi orang ramai terhadap perkara-perkara tersebut pula diambil perhatian dengan teliti dan laporan maklum balas akan disampaikan kepada agensi Kerajaan yang berkenaan.

Jabatan ini juga bergerak di bawah Ketua Pengarah Perkhidmatan Penerangan yang mempunyai enam bahagian iaitu:

  • Bahagian Perkhidmatan Luar Sivik dan Masyarakat
  • Bahagian Akhbar dan Perhubungan
  • Bahagian Penerbitan
  • Bahagian Pengeluaran Visual
  • Bahagian Pentadbiran dan Kewangan
  • Bahagian Perkhidmatan Am.

Pada tahun 1961, Jabatan Penerangan diletakkan pula di bawah portfolio Kementerian Penerangan.

DAN DI HARI YANG SAMA......

PELANCARAN KEMPEN ANTI DADAH PERINGKAT KEBANGSAAN
Tarikh Peristiwa : 19-02-1983

Pada hari ini dalam tahun 1983, Kempen Anti Dadah Peringkat Kebangsaan telah dilancarkan oleh Y.A.B. Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad di perkarangan Bangunan Angkasapuri, Kuala Lumpur. Dalam ucapannya, beliau telah mengumumkan bahawa kerajaan akan menubuhkan satu pasukan Petugas Anti Dadah di Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras semua kegiatan memerangi dadah di negara ini. Pasukan tersebut akan dianggotai oleh pegawai-pegawai yang dipinjamkan daripada pelbagai kementerian dan jabatan yang terlibat dalam gerakan anti dadah dan akan diwujudkan cawangan di semua negeri. Sebagai satu lagi langkah menentang gejala dadah, kerajaan akan meminda Akta Dadah Merbahaya 1952 bertujuan untuk mengetatkan lagi undang-undang itu. Peruntukan undang-undang yang baru dalam akta tersebut akan memberi kuasa yang lebih kepada pihak penguatkuasa untuk bertindak. Perdana Menteri juga, menyarankan supaya penumpuan lebih diberikan kepada usaha-usaha pencegahan yang membabitkan badan sukarela dan jabatan kerajaan dengan menyusun strategi yang lebih mantap untuk membendung gejala ini. Antara usaha serius kerajaan dalam membendung gejala negatif ini, ialah mewujudkan Pusat Serenti sebagai tempat pemulihan penagih-penagih dadah. Sesungguhnya, masyarakat yang dikuasai dadah akan berdepan dengan berbagai jenayah yang boleh membawa kepada kehancuran agama, bangsa dan negara.


SELAMAT MEMBACA DAN BERISTERIHAT DI HUJUNG MINGGU - IBM

SUMBER : ARKIB NEGARA



Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...