Wednesday, February 9, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

09 FEBRUARI
Salam 2 All.
Sama-sama kita mengimbau sejarah Tanah Air kita pada hari ini....

TENTERA JEPUN MENYEBERANG SELAT JOHOR
Tarikh Peristiwa : 09.02.1942

Pada hari ini dalam tahun 1942, tentera Jepun yang diketuai oleh General Tomoyuki Yamashita telah menyeberangi Selat Johor dalam usahanya menyerang Singapura. Sebelum menyeberangi Selat Johor, tentera Udara dan Pasukan meriam Jepun telah membedil sasaran-sasaran di Singapura untuk melemahkan pertahanan tentera Inggeris. Kekuatan tentera Jepun telah berjaya mengundurkan tentera bersekutu Inggeris, India dan Australia. Setelah seluruh Tanah Melayu ditawan, tentera Jepun mara ke Singapura walaupun tambak Johor telah dimusnahkan oleh tentera Inggeris. Tentera Jepun telah menyeberangi Selat Johor melalui bahagian yang tersempit di Selat Johor iaitu di bahagian Barat Laut Pulau Singapura. Pantai itu dipenuhi dengan paya lumpur dan berhutan. Ini memberikan keuntungan kepada tentera Jepun. Pertahanan Inggeris pula tidak menduga tentera Jepun akan menggunakannya. Serangan udara Jepun berjaya memusnahkan kubu-kubu Inggeris dan sistem bekalan air. Gudang yang membekalkan makanan kepada Inggeris di Bukit Timah pula berjaya dikuasai. Tentera Inggeris bertambah lemah dengan kekurangan peluru dan minyak petrol. Akhirnya General Percival bersama tenteranya terpaksa menyerah kalah dan Singapura jatuh ke tangan Jepun pada 15 Februari, 1942.

Dan di Parlimen pula di hari yang sama :
PARLIMEN MELULUSKAN RANCANGAN TANAH MELAYU KEDUA
PARLIMEN MELULUSKAN RANCANGAN TANAH MELAYU KEDUA
Tarikh Peristiwa : 09-02-1961
Pada hari ini dalam tahun 1961, Parlimen telah menerima dan meluluskan Rancangan Lima Tahun Kedua Persekutuan Tanah Melayu 1961-1965. Menurut Rancangan ini jumlah pelaburan yang diperlukan untuk tempoh 5 tahun itu adalah sebanyak $5,050 juta. Daripada jumlah ini, $2,150 juta adalah untuk sektor awam dan $2,900 juta untuk sektor swasta. Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar, Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein dalam ucapannya semasa membentangkan rancangan itu di Parlimen menjelaskan bahawa rancangan ini adalah satu rancangan yang amat berani bagi sebuah negara muda seperti Persekutuan Tanah Melayu, namun amat realistik dan praktikal. Rancangan Pembangunan Luar Bandar yang merupakan bahagian terbesar dalam Rancangan Lima Tahun Kedua ini bertujuan untuk membanteras kemiskinan, mengurangkan kadar kematian dan buta huruf yang amat tinggi di luar bandar. Keadaan ekonomi yang tidak seimbang di antara bandar dan luar bandar mendapat perhatian khusus dalam usaha mewujudkan sebuah negara yang aman makmur dan bahagia. Untuk tujuan itu melalui rancangan ini kerajaan akan menyeimbangkan pembangunan ekonomi dan sosial mengikut nisbah yang sesuai iaitu 71% sektor ekonomi, 24.5% sektor sosial dan 4.5% sektor kerajaan. Keutamaan terhadap pembangunan ekonomi adalah perlu kepada sebuah negara yang muda agar ia mempunyai keupayaan kewangan yang cukup untuk membiayai perkhidmatan-perkhidmatan sosial seperti pelajaran dan kesihatan. Untuk tujuan itu rancangan Lima Tahun Kedua lebih memberatkan kepada pembangunan pertanian dan kemajuan tanah, tanaman semula getah, perindustrian, pengangkutan dan perhubungan. Bagi mencapai maksud itu Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa kerjasama yang bersungguh- sungguh, dedikasi dan pengorbanan dari setiap rakyat negara ini adalah amat perlu. Setiap tenaga dan perbelanjaan bagi Rancangan ini harus digunakan dan dilaksanakan dengan penuh azam dan berdisiplin demi menjamin keutuhan masa depan setiap generasi akan datang agar dapat hidup dalam keadaan sempurna.

Selamat membaca. Ikhlas dari : IBM

Sumber : Arkib Negara

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...