Wednesday, February 23, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

23 FEBRUARI

ASSALAMUALIKUM

Sambil-sambil anda berihat tu, mai baca peristiwa yang berlaku pada hari ini......

SERANGAN KOMUNIS KE ATAS BALAI POLIS BUKIT KEPONG, MUAR, JOHOR
Tarikh Peristiwa : 23-02 1950

Kegagalan Parti Komunis Malaya (PKM) untuk bergiat sebagai sebuah parti politik telah menyebabkan mereka menukar taktik perjuangan kepada perjuangan bersenjata. Berbagai keganasan telah dilakukan bagi melemahkan pentadbiran negara, dan meneruskan cita-cita mereka untuk menguasai negara ini. Pada hari ini 23 Februari 1950 satu lagi keganasan bersenjata telah dilakukan apabila komunis menyerang dan membakar Balai Polis Bukit Kepong yang terletak di Muar, Johor. Dalam insiden serangan ini seramai dua puluh lima orang anggota polis dan orang awam telah terkorban dalam pertempuran akibat serangan pengganas-pengganas komunis ini. Mereka ialah tiga Pegawai Polis berpangkat rendah, enam orang polis biasa, tiga orang polis `Marine', dua orang polis tambahan, lima orang polis bantuan, dua orang isteri serta dua orang anak polis biasa, dan dua orang awam. Jumlah tersebut tidak termasuk kemalangan di pihak pengganas komunis, di mana tiga orang terbunuh dan 17 cedera. Di samping itu 3 buah bangunan telah musnah iaitu Balai Penghulu, Balai Polis dan Berek Polis. Serangan telah dimulakan kira-kira jam 5.00 pagi 23 Februari 1950 oleh segerombolan pengganas komunis seramai 180 orang. Mereka menggunakan senjata-senjata otomatik telah mengepung Balai Polis Bukit Kepong yang ketika itu sedang dikawal oleh 3 orang anggota bertugas. Apabila tembak menembak bermula kesemua anggota termasuk anak isteri mereka turut membantu dan berjuang hingga ketitisan darah terakhir. Balai Polis itu tidak berjaya ditawan oleh pengganas-pengganas komunis tetapi keseluruhan Balai telah dibakar dan mengorbankan nyawa anggota polis dan keluarga mereka. Mereka tetap mempertahankan Balai ini walaupun tahu musuh jauh lebih ramai jumlahnya. Pengorbanan yang dilakukan oleh anggota-anggota polis dengan bantuan orang-orang kampung itu adalah satu pengorbanan yang tidak ternilai harganya. Mereka boleh menyelamatkan diri dengan menyerah diri kepada komunis tetapi terus mempertahankan hak yang jauh lebih mulia dari nyawa mereka, iaitu demi mengekalkan kebebasan dan menyelamatkan negara ini.


DAN PADA HARI YANG SAMA.....

RANG UNDANG-UNDANG KEBANGSAAN UNTUK JADIKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA RASMI DITERBITKAN
Tarikh Peristiwa : 23-02-1967

Bahasa memainkan peranan penting dalam menyatupadukan rakyat dalam sesebuah negara terutamanya bagi negara yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum, telah menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi Negara.
Sebagai langkah untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, maka pada hari ini 23.2.1967 Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan telah diterbitkan oleh Kerajaan dan akan berkuatkuasakan pada 1 September 1967. Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan itu mengandungi 8 Fasal dan akan diperdebatkan sekarang ini di Dewan Rakyat.

Fasal Pertama: Undang-undang Bahasa Kebangsaan ini akan berkuatkuasakan pada 1 September 1967 dan ianya tidak meliputi negeri-negeri Borneo.

Fasal Kedua: Bahasa Kebangsaan akan digunakan untuk urusan-urusan rasmi tetapi tertakluk kepada Fasal 152 Perlembagaan yang menentukan bahawa:

  1. seseorang itu tidak akan dilarang menggunakan atau mengajar serta belajar bahasa-bahasa lain kecuali untuk tujuan-tujuan rasmi.
  2. Kerajaan Federal atau Kerajaan-kerajaan Negeri berhak memelihara dan mengekalkan penggunaan dan pengajaran bahasa-bahasa masyarakat lain di Persekutuan.

Fasal Ketiga: membolehkan penggunaan secara lebih liberal bahasa-bahasa lain di Persekutuan setakat yang dikehendaki seperti sekarang ini.

  1. Undang-undang itu tidak menyentuh hak Kerajaan Federal atau Kerajaan-kerajaan negeri untuk menggunakan sebarang terjemahan naskah-naskah rasmi dalam bahasa sesuatu masyarakat lain di Persekutuan untuk maksud-maksud yang dianggap perlu demi kepentingan umum.
Fasal Keempat: Yang di-Pertuan Agong diberi kuasa untuk mengizinkan penggunaan terus Bahasa Inggeris untuk tujuan-tujuan rasmi yang dianggap perlu.

Fasal Kelima: Ahli Parlimen atau ahli Dewan Negeri boleh menggunakan Bahasa Inggeris dengan keizinan.

Fasal Keenam: Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris akan digunakan untuk perkara-perkara yang telah ditetapkan di dalam rang undang tersebut seperti pindaan undang-undang dll.Fasal Ketujuh: Peruntukan di Fasa 6 tidak menyentuh undang-undang yang telah dibuat sebelumnya kerana undang-undang lama belum diterjemahkan ke dalam Bahasa Kebangsaan.Fasal Kelapan: Semua urusan dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah-mahkamah Rendah akan dijalankan dalam Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris atau kedua-duanya.Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan diharap akan berjaya memenuhi keinginan rakyat untuk mendaulatkan Bahasa Kebangsaan sebagai Bahasa Rasmi yang tunggal.

SELAMAT MEMBACA, KERANA MEMBACA ADALAH SATU AMALAN YANG BAIK DAN MENIMBA BANYAK ILMU - IBM

SUMBER : ARKIB NEGARA
Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...