Thursday, February 24, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

24 FEBRUARI

Bendera Persekutuan Tanah Melayu

ASSALAMUALAIKUM

Jangan jemu membaca akan sejarah tanah air dan apa yang berlaku pada hari ini.....

PERSIDANGAN PERTAMA MAJLIS PERUNDANGAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU
Tarikh Peristiwa : 24-02-1948
Pada hari ini dalam tahun 1948, Dewan Perundangan Persekutuan Tanah Melayu telah mengadakan persidangan yang pertama di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Persidangan yang bersejarah ini telah dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Inggeris Sir Edward Gent. Turut hadir ialah Menteri Negara bagi Hal Ehwal Tanah Jajahan, Lord Listowel. Pembentukan Majlis ini berasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan 1948, Bahagian Empat yang menyatakan bahawa ahli-ahli majlis mestilah terdiri daripada Pesuruhjaya Inggeris sebagai Presiden, 3 orang Ex-Officio iaitu Ketua Setiausaha, Setiausaha Kewangan dan Peguam Negara, 11 orang ahli rasmi dan 34 orang ahli tidak rasmi. Kesemua ahli majlis ini mestilah warganegara Persekutuan Tanah Melayu ataupun rakyat British, kecuali ahli Ex-Officio. Dalam persidangan ini, Dato' Onn Jaafar telah berucap mewakili orang Melayu menegaskan, bahawa rakyat Persekutuan Tanah Melayu tidak memerlukan campurtangan dan kuasa luar dalam pentadbiran negara. Manakala, orang cina telah diwakili oleh Dr. Ong Chong Keng dan S.B. Palma pula mewakili orang India telah menyatakan kesetiaan dan taat setia terhadap negara. Kesepaduan dan kesepakatan di kalangan rakyat berbilang kaum inilah yang membantu negara untuk mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

DAN PADA HARI YANG SAMA......

PERASMIAN SEMINAR BELIA ISLAM ASIA MENGENAI DAKWAH
Tarikh Peristiwa : 24-02-1977

Seminar, persidangan, bengkel, mesyuarat dan sebagainya merupakan satu keperluan kepada sesebuah organisasi dalam menghasilkan idea-idea yang mantap dan bernas, demi untuk menggerakkan jentera pentadbirannya dengan lancar dan berkesan. Pada hari ini 24.2.1977 Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Hussein Onn telah merasmikan Seminar Belia Islam Asia mengenai dakwah, bertempat di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Seminar itu telah dihadiri oleh wakil-wakil Belia Islam Asia, Menteri-menteri dan Timbalan Menteri Malaysia, wakil-wakil dari Angkatan Belia Islam Malaysia, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dan lain-lain.

Di antara beberapa matlamat utama seminar itu diadakan ialah:

  1. untuk membentuk keimanan belia-belia Islam supaya sentiasa teguh dan mantap.
  2. membincangkan urusan-urusan pendakwahan yang bersesuaian dengan keperluan semua zaman iaitu untuk semasa dan masa akan datang.

Menurut Perdana Menteri, Seminar mengenai Dakwah itu amat besar ertinya terutama kepada umat Islam di Malaysia, kerana ianya diadakan semasa rakyat sedang menghadapi dua ancaman besar iaitu kegiatan dan tipu helah komunis, dan penyalahangunaan dadah secara berleluasa di negara ini. Sesungguhnya dengan adanya seminar Belia Islam Asia mengenai dakwah pada hari ini diharap akan dapat menyelaraskan kegiatan-kegiatan dakwah untuk mengukuhkan keimanan dan ketaqwaan para-para belia kepada Allah yang Esa.


SELAMAT MEMBACA - IBM

[Sumber : Arkib Negara]

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...