Tuesday, February 8, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

08 FEBRUARI

Wajah Perdana Menteri kita yang pertama (Bapa Kemerdekan)

Salam 2 All Malaysian.
Mari kita mengimbau kembali sejarah kelahiran Perdana Menteri Kita yang pertama....

KELAHIRAN Y.T.M TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA AL-HAJ


KELAHIRAN Y. T. M. TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA AL-RAJ
Tarikh Peristiwa : 08-02-1903

Pada hari ini dalam tahun 1903, Bapa Kemerdekaan Malaysia, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al- Haj telah diputerakan di Istana Pelamin, Alor Setar, Kedah. Merupakan putera ke-14 kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah yang ke- 28. Bondanya adalah Cik Menjalara merupakan anak kepada seorang bangsawan Siam bernama Luang Naraborirak. Tunku telah memulakan pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Alor Setar sebelum meneruskan pengajiannya di Sekolah Debsurin, Bangkok dan kemudiaanya di Penang Free School, Pulau Pinang. Pada tahun 1919, Tunku telah melanjutkan pelajarannya ke England dan telah menubuhkan Kesatuan Melayu Great Britain. Sekembali ke Tanah Melayu Tunku telah berkhidmat sebagai Pegawai Daerah di Kedah. Pada tahun 1951, Tunku telah dilantik sebagai Yang Dipertua Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) menggantikan Dato` Onn Jaafar dan seterusnya telah dilantik untuk menyandang jawatan sebagai Ketua Menteri Tanah Melayu yang pertama pada tahun 1955. Sesungguhnya, YTM Tunku Abdul Rahman bertanggungjawab merintis jalan ke arah kemerdekaan Tanah Melayu pada tanggal 31 Ogos 1957 serta merencanakan penubuhan Negara Malaysia pada 16 September 1963. YTM Tunku telah kembali ke Rahmatullah pada tanggal 6 Disember 1990 pada usia 87 tahun dan telah dimakamkan di Makam Diraja Langgar, Kedah.

Dan..dihari yang sama berlaku pula...jom baca :

MINGGU PERPADUAN NEGARA DILANCARKAN SELURUH NEGARA
MINGGU PERPADUAN NEGARA DILANCARKAN SELURUH NEGARA
Tarikh Peristiwa : 08-02-1967
Perpaduan adalah faktor penting ke arah kesejahteraan dan keamanan sejagat, terutama bagi negara yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum. Pada hari ini 8.2.1967 DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Keempat, Tuanku Sultan Ismail Nasiruddin ibnu Al-marhum Sultan Zainal Abidin telah merasmikan Minggu Perpaduan Negara, bertempat di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur. Sebanyak lebih kurang 25,000 orang termasuk murid-murid sekolah, pekerja-pekerja pejabat dan syarikat perniagaan hadir di upacara perasmian bermula pada jam 4 petang.
Dalam ucapan perasmiannya baginda bertitah dan menyeru agar rakyat menunaikan 2 kewajipan terpenting dalam menyambut minggu perpaduan iaitu
:
  1. menghormati lagu kebangsaan kerana ianya menjadi lambang kemerdekaan dan kedaulatan negara.
  2. menderma seberapa yang boleh untuk tabung malapetaka negara
Semua negeri merayakan Minggu Perpaduan Negara pada hari ini, kecuali Perak akan memulakan kempen perpaduan pada 13.2.1967. Di Kuala Lumpur sebanyak suku juta bendera dan pelekat kereta dijual kepada orang ramai oleh 500 orang gadis dan penuntut secara sukarela. Hasil daripada penjualan bendera tersebut akan digunakan untuk membantu murid-murid sekolah di kawasan banjir. Upacara menaikkan bendera diadakan setiap hari jam 8.30 pagi di Padang Kelab Selangor mulai 8-15 Februari 1967, manakala di Kebun Bunga pula diadakan pertunjukkan wayang gambar percuma setiap malam pada tarikh-tarikh berkenaan. Lagu Kebangsaan dinyanyikan oleh pekerja-pekerja pejabat setiap hari. Tunku Abdul Rahman telah berucap dalam upacara penutup Kempen Minggu Perpaduan pada 15.2.1967 di Stadium Merdeka jam 8.00 malam. Di malam penutup itu telah diadakan pertunjukkan anekaragam dan permainan pancaragam, termasuk pancaragam Polis dan Radio Malaysia. Persembahan Taridra Perpaduan oleh KKBS juga diadakan sebagai acara kemuncak selama 1 1/2 jam. Diharap Kempen Minggu Perpaduan Negara akan menimbulkan keinsafan dan kesedaran seluruh rakyat tentang kewajiban mereka terhadap negara.

* Selamat membaca kepada semua - IBM
Sumber : Arkib Negara
Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...