Sunday, February 20, 2011

Hari Ini Dalam Sejarah

20 FEBRUARI

Detik-detik sejarah Tanah Melayu di beri kemerdekaan

PENGUMUMAN KEMERDEKAAN DI PADANG BANDAR HILIR, MELAKA
Tarikh Peristiwa : 20-02 1956
Pada hari ini dalam tahun 1956, Padang Bandar Hilir, Negeri Melaka telah menyaksikan detik-detik bersejarah Pengumuman Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Pengumuman keramat itu telah di lafazkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra dihadapan lebih 100,000 hadirin. Pengumuman Kemerdekaan ini dibuat sekembalinya rombongan Merdeka yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra dari London pada 19 Februari. Mereka telah diarak dan di sepanjang jalan dari Lapangan Terbang hingga ke Padang Bandar Hilir, sorak Merdeka tidak putus-putus kedengaran. Bandar bersejarah itu telah dihias indah sempena upacara penuh gemilang. Seluruh rakyat keluar beramai-ramai membawa bendera-bendera dan cogan-cogan kata mengalu-alukan ketibaan rombongan tersebut. Pada upacara bersejarah itu, Tunku telah mengumumkan bahawa Persekutuan Tanah Melayu akan mencapai Kemerdekaan dengan rasminya pada 31 Ogos 1957. Serentak dengan itu pekikan Merdeka bergema di angkasa. Detik-detik bersejarah ini tidak mungkin luput dalam lipatan sejarah kemerdekaan tanahair. Kejayaan yang ditempa, adalah hasil kerjasama dari rakyat jelata dan pemimpin-peminpin negara yang berwibawa.

DAN DI HARI YANG SAMA......

PERASMIAN HELIKOPTER TERBARU MOFAZ AIR JENI
Tarikh Peristiwa : 20-02-1993

Pada hari ini dalam tahun 1993, Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad telah melancarkan Helikopter terbaru Mofaz Air Jeni jenis Bell 206L-4 Long Ranger bertempat di Stesen Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sungai Besi, Kuala Lumpur. Pada majlis tersebut, Perdana Menteri telah dibawa menaiki pesawat tersebut mengelilingi ibu negara selama 25 minit. Helikopter Bell 206L-4 Long Ranger yang direka berdasarkan versi popular 206L, mempunyai kapasiti membawa 6 orang penumpang dan mempunyai kelajuan 111 knot pada berat kasar maksimum dengan jarak perjalanan 350 batu nautika. Ketika berucap pada majlis tersebut, Perdana Menteri menyarankan agar lebih banyak syarikat tempatan melibatkan diri dalam bidang teknologi penerbangan bagi menggalakkan lagi perkembangan industri tersebut di negara ini. Perdana Menteri juga menyatakan kesediaan kerajaan memberi sokongan dan bantuan kepada syarikat-syarikat berkenaan bagi menarik lebih banyak penyertaan dalam bidang teknologi tersebut. Sesungguhnya, Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) yang telah dianjurkan sejak tahun 1991, merupakan langkah strategik yang membantu menggalakkan perkembangan dan pertumbuhan industri penerbangan di negara ini.


SELAMAT MEMBACA KEPADA PARA PEMBACA YANG BUDIMAN - IBM

SUMBER : ARKIB NEGARA

Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...